Berapa perlu anda labur untuk miliki rumah idaman?

Perkahwinan Idaman: Perlukah Berhutang?

dream wedding costing
ASNB Logo
ASNB Academy

9 minit masa membaca

Perkahwinan merupakan antara perisitwa paling penting dalam hidup seseorang dan kebanyakan daripada kita mempunyai impian perkahwinan tersendiri.

Walaupun kita mempunyai impian untuk memiliki perkahwinan gilang gemilang, namun kos pastinya merupakan elemen penting yang perlu diberi perhatian sebelum membuat sebarang keputusan.

Ada pasangan yang hanya impikan perkahwinan sederhana berdasarkan kemampuan, namun dihalang keluarga yang inginkan majlis besar-besaran. Ada keluarga yang sanggup membantu, ada pula yang terpaksa ambil pinjaman demi perkahwinan impian.

Adakah wajar mengambil pinjaman untuk majlis perkahwinan? Sudah pasti mengambil pinjaman terutamanya pinjaman peribadi bukanlah penyelesaian kepada mana-mana masalah kewangan kerana ia datang bersama beban kewangan yang berpanjangan.

Jadi bagaimana anda boleh bersedia untuk perkahwinan tanpa beban hutang yang keterlaluan? Ikuti beberapa panduan berikut:

1. Mula Menyimpan Awal

Setiap daripada kita pastinya mempunyai impian untuk berkahwin dan memiliki keluarga sendiri. Jadi apa salahnya jika kita memulakan persediaan awal ke arah hari bahagia berkenaan sebaik kita mula bekerja.

Oleh itu, mula merancang kewangan anda dengan mengetepikan sebahagian daripada gaji untuk mula melabur dan membina tabungan sebaik anda mendapat gaji pertama.

Pelaburan terutamanya dalam instrumen berisiko rendah seperti Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan deposit tetap bank boleh membantu anda membina tabungan dengan pantas menerusi pulangan tahunan yang diterima.

Untuk memastikan anda melabur secara konsisten dan berdisplin, gunakan kemudahan automatik seperti Auto Labur atau potongan tetap.  Dengan cara ini, anda dapat memantau pelaburan anda pada setiap masa.

Tips-Wedding-One

2. Bajet dan Rancang Perbelanjaan Majlis Perkahwinan

Tetapkan bajet untuk majlis perkahwinan anda dari awal untuk mengelakkan perbelanjaan luar kemampuan.

Kenalpasti konsep perkahwinan dan pastikan konsep berkenaan selari dengan keadaan kewangan anda dan pasangan anda supaya anda mempunyai dana yang cukup untuk membiayainya.

Dalam bajet, tetapkan perkara yang perlu ada dalam majlis anda dan pastikan ia diberi keutamaan berbanding perkara lain.

Pastikan juga anda sentiasa mempunyai pilihan kedua atau ketiga sekiranya pilihan pertama tidak diperoleh. Jika bajet anda ialah RM30,000, pastikan semua perbelanjaan anda adalah dalam jumlah ini.

Pastikan anda mempunyai senarai semak untuk memantau perbelanjaan dengan memberi fokus utama kepada perkara penting terlebih dahulu seperti katering, hantaran, pakaian, pengurusan majlis, hadiah, pengangkutan, dan penginapan supaya anda mempunyai bajet yang cukup untuk semua ini sebelum berbelanja untuk perkara sampingan yang lain.

Gunakan aplikasi seperti Excel untuk mencatat dan memantau setiap perbelanjaan.

3. Bersedia Lebih Awal untuk Mendapatkan Harga Terbaik

Setiap majlis memerlukan anda membuat banyak keputusan dan pertimbangan, antaranya termasuklah lokasi perkahwinan, katering, mak andam, dan banyak lagi.

Untuk mendapatkan harga terbaik, persediaan awal adalah penting supaya anda mempunyai masa untuk membuat perbandingan antara beberapa pembekal untuk membuat pilihan terbaik berdasarkan harga yang sesuai.

Persiapan awal juga menyediakan ruang kepada anda untuk memanfaatkan jualan istimewa dan potongan harga, antaranya dengan menghadiri pameran perkahwinan.

Anda juga boleh berbincang mengenai harga untuk barangan yang ditempah awal kerana kadangkala tempoh penyediaan memberi kesan kepada harga akhir barangan.

Sebagai contoh, kos pakaian pengantin ditawarkan dari minimum RM300 hingga lebih RM100,000, begitu juga kos lokasi perkahwinan yang mana harga sewa dewan dan hotel juga pasti berbeza.

Oleh itu, waktu yang panjang memberi lebih fleksibiliti untuk anda membuat pilihan yang sesuai dengan bajet yang ada.

4. Kenal Pasti Konsep Majlis Anda

Konsep perkahwinan juga memberi kesan kepada keseluruhan kos perkahwinan. Jika bajet anda tidak besar, buat saja majlis santai di dewan atau dirumah.

Tetapi jika bajet anda besar dan ibu bapa pula sanggup membiayai separuh kos terlibat, mungkin anda boleh buat majlis dihotel.

Pastikan anda juga mempunyai perancangan yang jelas untuk memastikan semuanya lancar pada hari majlis tersebut.

manage wedding cost

Sebagai contoh, majlis perkahwinan Melayu mungkin lebih formal, dengan tempat duduk yang sudah ditetapkan untuk semua tetamu, atau boleh jadi juga berkonsep hidangan bufet. Bergantung pada tema majlis, bilangan tetamu anda juga akan berbeza.

Selain itu, jika anda ingin tema perkahwinan tertentu, sebagai contoh, konsep perkahwinan taman.

Anda perlu semak berapa kos lokasi dan dekorasi yang akan dikenakan bagi tema yang anda inginkan.

Berapa majlis yang anda dan keluarga merancang untuk diadakan? Sesetengah pasangan menggabungkan majlis resepsi perkahwinan mereka, manakala sesetengah dilakukan berasingan.

Sebagai contoh, bagi majlis perkahwinan Melayu, keluarga pengantin perempuan biasanya menjadi tuan rumah majlis ijab kabul dan resepsi perkahwinan untuk tetamu dan keluarga pengantin perempuan, yang bermaksud dua majlis.

Bagi perkahwinan Cina, selain daripada resepsi perkahwinan, biasanya terdapat upacara teh, dan sesetengah pasangan juga mengadakan acara heng tai (cabaran untuk pengantin lelaki dan pengiring pengantin ).

Pelbagai upacara juga terlibat dalam perkahwinan India, dari upacara mehndi sebelum perkahwinan hingga upacara perkahwinan di kuil dan kemudian resepsi di lokasi lain dengan jamuan makan besar.

Oleh itu, rancang butiran perkahwinan anda dan konsepnya dengan jelas, kerana ia akan menentukan kos perkahwinan anda.

5. Elak Berhutang

Sesebuah majlis perkahwinan tidak semestinya gah dan mewah untuk menjadikannya majlis yang diingati.

Jika anda tidak mempunyai bajet yang mencukupi untuk majlis yang mewah, rancang majlis yang sederhana dan meriah.

Usah mengambil jalan pintas mengambil pinjaman peribadi untuk memastikan impian perkahwinan menjadi kenyataan tanpa menilai kemampuan diri.

Ini kerana akhirnya anda dan pasangan yang perlu menanggung beban kewangan dan membayar kos perkahwinan berkali ganda berbanding jika anda tidak meminjam. Contohnya, anda mengambil pinjaman peribadi sebanyak RM20,000 pada kadar faedah 5.2% untuk 7 tahun. Kadar bayaran bulanan anda ialah RM325. Namun, jumlah keseluruhan bayaran balik yang perlu anda lunaskan ialah RM27,280.

kesan-ambil-pinjaman-peribadi-perkahwinan

Malangnya mengambil pinjaman tidak menjanjikan kebahagian berpanjangan kerana ada pasangan yang berpisah sebelum sempat pun melangsaikan pinjaman perkahwinan. Tahukah anda, masalah kewangan merupakan antara punca utama pasangan bercerai di negara ini?

Oleh itu, jangan bandingkan diri anda dengan rakan yang mungkin mempunyai lebih sumber kewangan lebih besar untuk perkahwinan mereka, sebaliknya lihat kemampuan diri sendiri terlebih dahulu.

Jika anda tidak mempunyai wang yang mencukupi, berbincanglah dengan ibu bapa dan keluarga supaya mereka memahami situasi kewangan anda.

Dengan cara ini, anda dapat menjaga hati mereka, dan pada masa yang sama dapat menganjurkan majlis yang sesuai dengan kedudukan kewangan anda.

6. Fikirkan Tentang Kehidupan Anda Selepas Majlis Perkahwinan

Selain daripada menyediakan wang untuk perkahwinan, jangan sesekali melupakan keperluan kewangan selepas perkahwinan apabila anda mula hidup sebagai pasangan suami isteri.

Anda memerlukan wang untuk menyewa rumah dan membeli barangan penting untuk memulakan hidup baru.

Jangan pula kerana wang habis untuk perkahwinan dan masih pula menanggung hutang, anda terpaksa menumpang di rumah ibu bapa sehingga mempunyai anak.

Jadi jangan habiskan semua wang tabungan untuk majlis perkahwinan semata-mata tanpa memandang jauh ke hadapan.

Merancang dan menyimpan dengan bijak akan membolehkan anda mengadakan majlis perkahwinan impian tanpa membebankan kewangan anda atau mereka yang hampir dengan anda.

Majlis perkahwinan tidak semestinya gilang gemilang untuk meninggalkan kesan di hati tetamu, sebaliknya majlis yang diatur dengan ikhlas dan penuh kesederhanaan cukup untuk memberi barakah kepada pasangan pengantin, keluar dan semua tetamu yang hadir.

Oleh itu, sentiasa beringat isu kewangan boleh membawa kepada kehancuran perkahwinan, dan beringat juga bahawa kebahagiaan tidak semestinya bergantung pada jumlah wang yang dihabiskan.

Komunikasi adalah penting, dan anda harus sedar tentang situasi kewangan anda dan juga pasangan anda semasa merancang majlis perkahwinan. Ini akan memberikan ketenangan fikiran apabila anda tidak memulakan kehidupan baru sebagai pasangan yang baru berkahwin dengan hutang yang tidak akan pernah berkesudahan.

Sorotan Artikel

1. Perancangan Kewangan Awal: Mula menyimpan dan melabur seawal mungkin untuk bina dana perkahwinan. Pelaburan yang berisiko rendah seperti ASB dan deposit tetap untuk pertumbuhan jangka panjang.

2. Susun Bajet dan Keutamaan: Tetapkan bajet yang realistik, beri keutamaan kepada perbelanjaan penting, dan pastikan mempunyai wang persediaan untuk kos yang tidak dijangka.

3. Elakkan Hutang: Sebaiknya, elak dari meminjam atau mengambil pinjaman untuk majlis perkahwinan anda. Komunikasi terbuka dengan keluarga dan pasangan mengenai kekangan kewangan adalah penting untuk mengelakkan beban hutang yang tidak perlu.