Berapa perlu anda labur untuk miliki rumah idaman?

34 Terma Pelaburan Anda Perlu Tahu

terma
ASNB Logo
ASNB Academy

11 minit masa membaca

Pelaburan merupakan satu daripada elemen penting dalam pengurusan kewangan. Namun begitu, masih ramai yang enggan atau teragak-agak untuk melabur kerana bimbang menanggung kerugian.

Justeru, kami kumpulkan beberapa istilah pelaburan yang mungkin dapat membantu anda memahami mengenai pelaburan dan melabur dengan lebih baik untuk membina kehidupan lebih selesa.

Berikut ialah 34 istilah pelaburan yang perlu anda tahu:

1. Aset

Aset ialah barang yang anda miliki yang boleh dijual serta mempunyai nilai serta potensi untuk menjana kekayaan. Ada aset dalam bentuk nyata dan tidak nyata. Antara aset nyata ialah saham dan hartanah manakala aset tidak nyata seperti goodwill atau jenama.

2. Peruntukan Aset

Pengagihan aset dalam portfolio pelaburan. Pakar menyarankan gabungan pelbagai jenis instrumen pelaburan untuk mencapai matlamat jangka panjang dan mengurangkan risiko. Peruntukan aset perlu mengambil kira toleransi risiko dan jangka masa persaraan untuk membina portfolio yang seimbang.

3. Kategori Aset

Kategori pelaburan dengan ciri-ciri dan profil risiko yang sama, sama ada rendah, sederhana atau tinggi.

Risiko rendah : ASB, Deposit tetap bank

Risiko sederhana : Hartanah, emas, unit amanah

Risiko tinggi : Pasaran saham, Forex

4. Bon

Kategori aset utama yang terdiri daripada sekuriti pendapatan tetap yang dikeluarkan oleh kerajaan atau syarikat perniagaan. Bon biasanya memberi pulangan rendah dan stabil kepada pelabur. Namun begitu, wang yang dilaburkan biasanya "terikat" dan tidak boleh ditebus sehingga tempoh matang bon berkenaan. Tempoh matang bon juga berbeza, antara satu hari hingga 100 tahun.

5. Keuntungan Modal

Keuntungan modal ialah pulangan yang diperoleh apabila harga atau nilai aset yang dibeli, meningkat berbanding harga belian.

Kerugian modal pula berlaku jika situasi adalah sebaliknya. Katakan anda membeli rumah pada harga RM200,000 pada 2020 dan hari ini, harga jualan rumah anda ialah RM400,000. Ini bermakna anda meraih keuntungan modal sebanyak RM200,000 sekiranya anda menjual rumah berkenaan.

compound-interest-concept.

6. Kuasa Faedah Kompaun

Kuasa Faedah Kompaun ialah konsep faedah atas faedah hasil daripada dividen atau pulangan yang diterima.

Sebagai contoh, anda melabur RM1,000 dalam saham ABC dan menerima dividen sebanyak 10 peratus. Apabila anda tidak mengeluarkan dividen berkenaan, ia akan menjadi sebahagian modal anda yang kini berjumlah RM1,100.

Tahun berikutnya, anda sekali lagi menerima dividen 10%, menjadikan jumlah modal anda berkembang kepada RM1,210 hasil daripada dividen RM110.

Apabila anda mengekalkan dividen, kuasa faedah kompaun mampu menggandakan wang anda dalam tempoh tertentu bergantung kepada dividen yang diterima.

Melabur merupakan kaedah terbaik supaya wang "bekerja" untuk anda.

7. Mata Wang Kripto

Ini merujuk kepada mata wang digital / mata wang maya yang diedarkan dalam lejar awam dikenali sebagai blockchain. Tiada undang-undang tertentu yang mengawal kadar pertukaran kripto, justeru volatilitinya juga tidak menentu, menjadikannya pelaburan berisiko tinggi. Antara contoh mata wang kripto adalah Bitcoin, Ethereum, dan Cosmos.

8. Diversifikasi

Diversifikasi bermaksud anda melabur dalam pelbagai jenis pelaburan yang berlainan risiko dan jangkaan pulangan untuk dalam portfolio pelaburan anda. Ia sama seperti pesanan 'jangan meletakkan semua telur dalam satu bakul'.

9. Pendapatan Sesaham

Pendapatan sesaham ialah untung yang diperolehi syarikat dibahagikan dengan jumlah saham syarikat. Syarikat boleh melakukan dua perkara dengan pendapatan ini.  Pertama ialah menyimpannya untung mengembangkan syarikat dan kedua ialah dengan membayar dividen.

10. Portfolio

Portfolio pelaburan merupakan rekod pelaburan yang dimiliki oleh individu atau institusi yang menunjukkan dimana pelaburan dilakukan dan pendedahan kepada risiko yang perlu ditanggung pelabur. Contohnya pelaburan dalam bentuk tunai, saham, bon, dan aset lain yang dimiliki oleh pelabur individu atau pengurus dana. .

11. Ekuiti

Ia merupakan pemilikan seseorang individu dalam sesebuah syarikat berdasarkan jumlah saham yang dimilikinya.

12. Risiko

Risiko ialah kemungkinan kehilangan modal yang perlu anda tanggung sekiranya melabur. Kebiasaannya lebih tinggi risiko, lebih tinggilah peluang mendapat keuntungan lebih banyak.

Risiko biasanya diukur berdasarkan volatitili nilai sesuatu instrumen pelaburan itu berubah, contohnya kekerapan perubahan harga seunit saham.

13. Bursa Saham

Bursa saham adalah sebuah organisasi yang menyediakan tempat dimana broker saham dan pelabur boleh membeli dan menjual saham dan sekuriti lain. Setiap negara mempunyai bursa saham sendiri yang akan menyenaraikan saham syarikat dan sekuriti lain yang telah diluluskan. Sebagai contoh, di Malaysia bursa sahamnya dikenali sebagai Bursa Malaysia.

14. Saham

Setiap satu unit saham mewakili satu unit pemilikan dalam sesebuah syarikat yang disenaraikan. Mereka yang memiliki saham sesebuah syarikat boleh menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan dan mengundi untuk cadangan yang dikemukakan. Ada saham yang diniagakan di Bursa Saham dan boleh dibeli menerusi IPO atau pada harga semasa ia ditawarkan.

15. Pasaran Saham

Pasaran saham ialah pasaran dimana saham sesebuah syarikat didagangkan dalam bentuk terbitan pada harga yang ditetapkan.

Pasaran saham dikawal selia oleh badan tertentu, justeru pelabur bebas membeli dan menjual selagi tidak melanggar undang-undang ditetapkan.

investment-bull-bearish

16. Pasaran Bull

Pasaran yang merujuk kepada aliran apabila berlakunya kenaikan harga menyeluruh dalam pasaran saham dan memberi keyakinan positif kepada pelabur.

17. Pasaran Bear

Merujuk kepada pasaran dimana berlakunya penurunan harga menyeluruh dan mewujudkan sentimen negatif pelabur.

18. Caj Jualan

Caj jualan yang dikenakan apabila anda ingin melabur dalam instrumen pelaburan seperti unit amanah. Kebiasaannya jumlah yang dikenakan ialah sekitar 5% daripada jumlah pelaburan yang dilakukan.

19. Unit Amanah

Unit amanah ialah satu tabung yang terhasil daripada wang yang dikumpul daripada pelabur, yang mana tabung ini kemudiannya diuruskan oleh pengurus dana profesional untuk menjana pendapatan.

Kebiasaannya dana dalam tabung ini dilaburkan berdasarkan portfolio yang telah ditetapkan bergantung kepada kategori tabung dan jangkaan keuntungan. Keuntungan yang diagihkan tabung ini dikenali sebagai agihan pendapatan.

20. Kadar Faedah

Kadar faedah merujuk kepada caj yang dikenakan penyedia pinjaman seperti bank kepada peminjam. Sebagai contoh, jika anda meminjam RM50,000 untuk membeli kereta, biasanya bank akan mengenakan caj faedah sebanyak antara 2-3 peratus setahun untuk pinjaman berkenaan.

Kadar faedah juga merujuk kepada pulangan yang diterima sekiranya anda meletakkan wang dalam akaun simpanan dan deposit tetap.

21. Dividen

Pengagihan keuntungan sesebuah syarikat yang dipersetujui ahli lembaga pengarah, untuk diberikan kepada pemegang sahamnya.

22. Modal Pelaburan

Modal pelaburan ialah wang yang anda laburkan dalam mana-mana instrumen pelaburan dengan harapan mendapatkan pulangan/keuntungan.

23. Toleransi Risiko

Tahap risiko yang sedia ditanggung oleh seseorang apabila mereka ingin melabur. Setiap individu mempunyai tahap toleransi risiko yang berbeza bergantung kepada profil diri sendiri. Mereka yang sukakan aktiviti lasak, biasanya dianggap sebagai mempunyai tahap toleransi risiko tinggi kerana mereka berani mengambil risiko.

24. Volatiliti

Perubahan atau kadar turun naik harga biasanya digunakan sebagai ukuran risiko untuk satu-satu jenis pelaburan. Sebagai contoh, pasaran saham mempunyai volatiliti yang tinggi kerana harga seunit saham boleh berubah pada bila-bila masa manakala unit amanah mempunyai volatiliti sederhana kerana harga seunit hanya berubah sekali setiap hari.

25. Kecairan

Kecairan merujuk kepada betapa mudahnya satu-satu aset ditebus untuk pelabur mendapatkan semula modal mereka. Lebih mudah satu-satu pelaburan itu ditebus, lebih tinggilah kadar kecairannya. Kecairan juga merujuk kepada berapa mudahnya jenis pelaburan tersebut boleh dibeli atau dijual tanpa memberi kesan yang signifikan kepada harga.

26. Pengurus Dana

Pengurus dana ialah syarikat yang bertanggungjawab menguruskan dana yang dikumpul daripada pelaburan untuk menjana keuntungan. Sebagai contoh, pengurus dana ASB ialah Permodalan Nasional Berhad

27. Dana Lindung Nilai (Hedge Fund)

Dana Lindung Nilai ialah kerjasama terhad antara pelabur persendirian yang mana dana mereka akan diuruskan oleh pengurus dana profesional yang mengguna pakai strategi meluas, termasuk leveraj atau perdagangan aset bukan tradisional dengan matlamat menjana pulangan lebih tinggi berbanding instrumen pelaburan lain.

28. Opsyen

Kontrak yang memberi hak kepada pembeli untuk membeli atau menjual aset tertentu pada harga tertentu sebelum atau pada tarikh tertentu.

29. Kontrak Hadapan (Futures)

Kontrak kewangan yang mengikat pembeli untuk membeli atau penjual untuk menjual aset pada harga yang telah ditentukan pada tarikh dimasa hadapan yang telah ditentukan.

30. Nisbah P/E (P/E Ratio)

Suatu ukuran penilaian syarikat yang dikira dengan membahagikan harga saham dengan pendapatan bersih setiap saham.

ipo-initial-public-offering

31. IPO (Initial Public Offering)

Jualan saham awal untuk disenaraikan di pasaran saham oleh syarikat swasta kepada orang awam untuk mengumpulkan modal bagi membiayai pengembangan syarikat.

32. Pulangan Ekuiti

Ukuran keuntungan syarikat yang dikira dengan membahagikan pendapatan bersih dengan ekuiti pemegang saham.

33. Kos Pemurataan Dollar (Dollar-Cost Averaging)

Salah satu strategi pelaburan di mana seorang pelabur melabur dalam jumlah yang tetap setiap bulan untuk satu tempoh tertentu. Dengan cara ini, pendedahan terhadap risiko dapat dikurangkan. Dengan jumlah pelaburan yang sama, contohnya dalam unit amanah, pelabur akan membeli unit yang banyak sekiranya harga turun dan sebaliknya. Pada akhir tempoh pelaburan, jumlah unit terkumpul dinilaikan berdasarkan harga semasa.

Anda boleh membaca lebih lanjut di sini untuk memahami dengan lebih baik konsep dollar-cost averaging (DCA).

34. Amanah Saham Bumiputera (ASB)

ASB ialah unit amanah harga tetap yang ditawarkan oleh ASNB pada harga RM1 seunit. Pelaburan permulaan ialah RM10 manakala pelaburan maksimum ialah RM300,000. Oleh kerana ia merupakan pelaburan berisiko rendah, anda tidak perlu bimbang akan kehilangan modal, sebaliknya berpeluang untuk membina tabungan berikutan peluang menerima dividen konsisten setiap tahun.

Adakah anda sudah bersedia untuk melabur?

Dengan memahami terma pelaburan, anda boleh mula melabur dan mengurusnya dengan lebih baik.

Jangan bimbang dengan terma yang digunakan kerana ia mungkin nampak asing apabila anda baru bermula, namun apabila anda sudah biasa, ia akan menjadi perkara yang mudah difahami. Seperti kata pepatah, 'alah bisa, tegal biasa'.

Jadi, janganlah menangguhkan lagi hasrat anda untuk mula melabur jika anda belum berbuat demikian. Ini kerana pelaburan, walau penuh dengan risiko, tetapi jika diurus dengan baik, mampu membantu anda membina kekayaan dan hidup dengan tenang.