Berapa perlu anda labur untuk miliki rumah idaman?

DCA bantu pelabur tangani risiko pelaburan

Dollar-cost-average
ASNB Logo
ASNB Academy

8 minit masa membaca

Apabila menyebut mengenai pelaburan, kita pastinya mengaitkannya dengan risiko kerugian dan ini merupakan antara faktor yang menyebabkan ramai antara kita tidak melabur.

Justeru wang gaji, bonus dan sebagainya dibiarkan sahaja dalam Akaun Simpanan atau dimasukkan ke dalam Deposit Tetap Bank dengan alasan lebih selamat dan mudah dikeluarkan.

Di negara ini kita bernasib baik kerana adanya pelaburan berisiko rendah seperti Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Tabung Haji yang mampu memberi pulangan lebih tinggi sedikit berbanding Akaun Simpanan dan Deposit Tetap.

Mengapa DCA?

Secara umumnya, terdapat 3 kategori pelaburan iaitu pelaburan berisiko rendah, sederhana dan tinggi yang masing-masing menawarkan pulangan atau keuntungan rendah, sederhana dan tinggi.

Jadi sekiranya anda inginkan pulangan lebih tinggi berbanding ASB atau Tabung Haji, anda mungkin boleh cuba untuk melabur dalam pelaburan berisiko sederhana dan tinggi seperti unit amanah (harga berubah), dana indeks, ETF dan pasaran saham. Namun begitu, anda juga kenalah bersedia untuk menanggung risiko kehilangan modal.

Oleh itu, jika anda benar-benar ingin mencuba, ada satu kaedah mengurangkan risiko yang boleh digunakan iaitu Dollar Cost Averaging (DCA) atau Kos Pemurataan Dollar. Dalam artikel ini, kita akan merujuk DCA sebagai Kos Pemurataan Ringgit.

Bagaimanapun, anda perlu faham bahawa kaedah DCA bukanlah satu jaminan untuk mendapat keuntungan atau mengelak kerugian, tetapi merupakan kaedah yang boleh membantu mengurangkan risiko.

Definisi-DCA

Apa itu Dollar Cost Averaging? Apabila anda menggunakan kaedah DCA, ini bermakna anda melabur dalam jumlah yang sama setiap bulan, contohnya RM1,000. Berikut ialah harga seunit saham yang anda beli sepanjang 2023.

Rekod-harga-seunit-saham-1

Berdasarkan jadual di atas, dengan modal yang sama setiap bulan anda akan memiliki jumlah unit yang berbeza bergantung pada harga seunit saham.

Jika harga seunit saham tinggi pada bulan tersebut, jumlah unit yang anda miliki akan berkurang berbanding sekiranya dibeli pada harga seunit saham yang lebih rendah di mana unit yang dimiliki lebih banyak.

Apa yang akan berlaku kepada pelaburan anda sekiranya harga seunit saham meningkat pada Januari 2024? Adakah pelaburan anda akan rugi atau untung? Anda boleh lihat pengiraan yang ditunjukkan seperti jadual di bawah:

Table-DCA-BM

Anda juga boleh menggunakan perkhidmatan yang disediakan seperti membuat arahan tetap bulanan bagi membolehkan anda terus melabur secara konsisten setiap bulan tanpa perlu mengambil kira harga seunit saham sepanjang tempoh pelaburan.

Kelebihan Menggunakan Teknik DCA

Terdapat beberapa kelebihan apabila anda menggunakan kaedah DCA dalam pelaburan terutamanya untuk pelaburan jangka masa panjang. Mari kita lihat empat (4) kelebihan utama DCA.

1. Menangani Risiko Dengan Lebih Mudah: Sekiranya anda melabur dalam jumlah yang besar secara sekaligus, risiko untuk mengalami kerugian juga lebih tinggi. Ini kerana turun naik harga seunit amat sukar ditelah malah kadangkala berubah tanpa sebab. Justeru, DCA sangat sesuai jika anda sudah membuat keputusan untuk melabur dalam jangka panjang tanpa mengambil kira turun naik pasaran. Dengan cara ini, anda menangani risiko dengan lebih baik kerana anda tidak perlu lagi membuat keputusan terburu-buru setiap kali berlakunya peristiwa luar jangka. Anda juga tidak perlu meluangkan masa yang panjang untuk mengurus pelaburan kerana anda sudah memperuntukkan satu jumlah pelaburan yang tetap setiap bulan.

2. Kos Purata Harga Saham: Dengan menggunakan kaedah DCA, anda berurusniaga pada harga purata untuk setiap unit saham. Apabila menggunakan harga purata, anda mengambil harga yang tidak terlalu tinggi dan terlalu rendah dalam pelaburan anda, dan ini membantu anda mengawal pelaburan dengan lebih baik dan meraih keuntungan dalam jangka panjang.

3. Mengawal Emosi: Turun naik harga saham boleh menyebabkan sesiapa pun mengalami sakit jantung lebih-lebih lagi jika berlaku peristiwa luar dugaan. Ini pastinya mengganggu emosi kerana anda sentiasa tidak pasti apa yang akan berlaku pada hari esok, minggu hadapan atau bulan hadapan. DCA boleh membantu anda mengurangkan tekanan emosi dalam mengurus pelaburan dan lebih tenang berdepan sebarang situasi kerana anda tahu anda melabur untuk jangka panjang.

4. Sesuai untuk Pelaburan Jangka Panjang: DCA sesuai untuk pelaburan jangka panjang kerana ia menggunakan kos purata. Turun naik harga saham dalam jangka panjang akan memberi harga purata yang lebih menguntungkan.

Kaedah DCA ini memang sesuai digunakan untuk menangani risiko sekiranya anda ingin dalam instrumen pelaburan berisiko sederhana seperti unit Amanah dan tinggi seperti pasaran saham untuk jangka panjang.

Siapa sepatutnya guna DCA?

Namun, sekiranya anda adalah seorang ‘’trader’’ yang memburu keuntungan besar dalam jangka pendek, mempunyai kepakaran dan banyak masa untuk mengurus pelaburan, maka DCA mungkin tidak sesuai untuk anda.

Sebaliknya jika anda baharu hendak berjinak-jinak dalam pelaburan dan ingin melihat sejauh mana pelaburan, contohnya dalam unit amanah atau pasaran saham boleh memberi pulangan lebih tinggi berbanidng instrumen berisiko rendah, kaedah DCA sangat sesuai digunakan sementara anda menambah ilmu dan mengasah kemahiran dalam pelaburan.

Sorotan Kandungan

1. Gunakan kaedah DCA jika anda ingin melabur dalam instrumen berisiko sederhana dan tinggi sedangkan anda belum mempunyai ilmu dan kemahiran untuk mengurus pelaburan berkenaan dan tidak mempunyai masa untuk memantaunya

2. DCA membantu anda melabur secara konsisten setiap bulan untuk jangka masa panjang tanpa dipengaruhi emosi.

3. Tetapkan jumlah yang bersesuaian dengan kemampuan kewangan anda untuk melabur. Ini boleh membantu anda untuk terus konsisten dan tidak terbeban dengan masalah kewangan pada masa akan datang.

4. Jangan biarkan emosi mempengaruhi anda dalam membuat keputusan pelaburan. Walaupun harga saham sentiasa berubah, dengan DCA ia boleh membantu anda mengurangkan risiko.

CTA Button-Blue Gradient