Masih Muda? Tip Kewangan Ini untuk Anda
Apabila menyebut mengenai usia muda, kebanyakan daripada kita membayangkan usia 18 hingga 28 tahun, yang mana ia merupakan titik permulaan kita mula hidup berdikari selepas menamatkan persekolahan atau pengajian tinggi.
Ada antara kita terus terjun ke alam pekerjaan selepas menamatkan tingkatan 5, ada antara kita meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi seperti sijil, diploma dan ijazah sarjana muda.
Walau apa pun pilihan yang diambil selepas menamatkan persekolahan, perkara paling utama yang perlu diberi perhatian ialah pengurusan kewangan yang bijak kerana ia merupakan satu-satunya cara untuk menikmati kehidupan yang selesa.
Usia muda sewajarnya tidak disia-siakan dengan membina hutang tidak perlu, sebaliknya perlu digunakan untuk membina tabungan dan kekayaan. Ingat, kuasa faedah kompaun hanya akan memberi kelebihan kepada mereka yang bermula awal.
Bagaimana caranya untuk mengurus kewangan dengan bijak? Berikut ialah 7 panduan mengurus kewangan dengan bijak yang boleh anda amalkan. Mana tahu, anda bukan sahaja berpeluang menikmati hidup selesa, tetapi juga memiliki kekayaan yang bernilai jutaan ringgit. Semuanya perlu bermula dengan langkah pertama.
1. Buat Bajet Dari Gaji Pertama
Bajet meupakan dokumen mudah yang akan membantu anda memantau aliran masuk dan keluar wang anda. Katakan gaji bulanan anda ialah RM1,500. Catatkan jumlah ini sebagai aliran masuk, manakala semula bentuk perbelanjaan dan komitmen merupakan aliran wang keluar.
Untuk memastikan anda dapat meneruskan kewangan dengan selesa, bajet mestilah memberi keutamaan kepada pelaburan, keperluan dan bil seperti elekrtik, air dan telekomunikasi.
Oleh kerana hutang bukanlah keperluan, ia sepatutnya tidak berada dalam bajet anda ketika anda baru saja mula berdikari, kecuali jika anda mengambil PTPTN untuk membaiayai kos pengajian.
Aplikasi bajet seperti Spendee boleh digunakan untuk membuat bajet dan memantau perbelanjaan anda. Aplikasi ini juga akan memberi gambaran keseluruhan mengenai tabiat perbelanjaan anda.
Jika boleh pastikan bajet anda bebas hutang untuk sekurang-kurangnya 6 bulan hingga setahun, dan mempunyai peruntukan untuk pelaburan walau serendah RM50 untuk membina tabung kecemasan.
2. Melabur
Anda perlu mengamalkan gaya hidup labur dahulu baru belanja, seiring dengan tren yang sering disebut pada masa ini. Amalan melabur jika ada lebih sudah lama ditinggalkan oleh mereka yang bijak mengurus kewangan.
Oleh kerana anda masih muda dan belum mempunyai banyak komitmen, ketepikan sekurang-kurangnya 10 peratus daripada pendapatan anda untuk pelaburan. Tetapkan matlamat untuk membina Tabung Kecemasan yang menyamai sekurang-kurangnya 6 bulan gaji semasa anda.
Pelaburan bukanlah pilhan, sebaliknya ia adalah keperluan, yang mana kedudukannya sama seperti wajibnya anda membayar bil elektrik dan air.
Jangan biarkan saja wang gaji anda dalam akaun simpanan, sebaliknya melaburlah dalam pelaburan berisiko rendah seperti Amanah Saham Bumiputera (ASB) atau Deposit Tetap Bank untuk membina tabung kecemasan.
Tahukah anda, anda boleh melabur dalam ASB sehingga RM300,000 dan wang yang dilaburkan itu akan menerima dividen tahunan yang membolehkan wang pelaburan anda berkembang dan bertambah setiap tahun?
Kuasa faedah kompaun akan mengembangkan pelaburan selagi modal dan dividen tidak dikeluarkan.
Oleh itu, tetapkan matlamat untuk melabur demi mencapai impian seperti membina tabung kecemasan, perkahwinan dan rumah idaman, atau mengembara keseluruh dunia dengan mengutamakan pelaburan dalam kehidupan anda.
Sebagai contoh, anda ingin menamatkan zaman bujang lima tahun dari sekarang dan anda mempunyai impian perkahwinan yang sederhana. Sekiranya anda melabur RM500 setiap bulan, anda boleh memiliki pelaburan terkumpul RM34,000 sekiranya menerima purata dividen tahunan sebanyak 5%.
Jangan sesekali berhenti melabur walau ada impian yang telah dicapai, kerana hanya dengan pelaburan anda berpeluang menikmati kehidupan selesa dan membina kekayaan.
Namun awas, elakkan melabur dalam pelaburan berisiko tinggi seperti Forex, Bitcoin atau pasaran saham selagi anda belum memiliki tabungan yang cukup sebagai sumber kewangan waktu kecemasan dan ilmu untuk menangani risiko.
3. Urus Hutang dengan Bijak
Tahukah anda, tiada siapa mempunyai hutang sehinggalah kita membinanya untuk memenuhi keinginan dan kehendak terutamanya hutang seperti kad kredit dan pinjaman peribadi.
Hutang merupakan punca kepada masalah kewangan hinggakan ramai yang terpaksa hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang berikutan komitmen yang terlalu tinggi dan tidak seiring dengan pendapatan yang diterima.
Oleh itu, elakkan menggunakan kad kredit untuk membiayai kehendak seperti membeli barangan berjenama, bercuti atau bermewah-mewah dengan rakan-rakan atau sekadar untuk menunjuk-nunjuk. Malahan ada yang melakukan kesilapan besar apabila menggunakan dua jenis hutang untuk satu tujuan, contohnya menggunakan pinjaman peribadi untuk deposit rumah selain mengambil pinjaman perumahan.
Apabila kita membina hutang secara berterusan, kewangan kita akan terbeban secara berterusan kerana kebanyakan hutang, apabila sudah besar jumlahnya, memerlukan tempoh yang panjang untuk dilunaskan.
Justeru, sebelum mengambil pinjaman, buatlah pertimbangan dengan rasional dengan meneliti perkara seperti kadar faedah, tempoh pinjaman, ansuran bulanan, insurans serta terma dan syarat pinjaman.
Jadi sebaiknya, melabur dan bina tabungan untuk membeli sesuatu yang anda idamkan dan hanya ambil pinjaman untuk rumah dan kereta. Itupun, ratio hutang kepada pendapatan mestilah tidak melebihi 40 peratus gaji anda.
4. Jana Pendapatan Sampingan
Ketika anda masih muda dan belum berkeluarga, ketika inilah masa terbaik untuk pulun dan mencari kewangan tambahan untuk pelaburan.
Pendapatan sampingan akan membantu anda melabur dalam jumlah yang besar setiap bulan dan dengan cara ini, pelaburan anda boleh berkembang dengan lebih pantas. Ketika ini, ada banyak platform yang boleh membantu anda menjana pendapatan tambahan seperti membuat blog atau laman web, aktif di laman sosial dan YouTube, menjual gambar di laman web seperti Shutterstocks atau bekerja sambilan di Food Panda atau Grab
Oleh kerana ia adalah pekerjaan sambilan, anda boleh bekerja secara bebas mengikut kesesuaian dan ia boleh menjadi salah satu aktiviti bermanfaat untuk memenuhi hujung minggu atau mengisi masa lapang.
5. Ambil Takaful/Insurans
Ramai yang tidak nampak kepentingan mengambil Takaful/Insurans dari muda kerana tidak melihat kepentingannya dalam kehidupan. Kelebihan mengambil Takaful/insurans ketika masih muda dan sihat ialah jumlah premium bulanan yang tidak terlalu besar.
Takaful/Insurans ini amat penting untuk memastikan sumber kewangan dilindungi sekiranya berlaku perkara luar dugaan seperti kemalangan yang menjejaskan keupayaan anda untuk bekerja, termasuk membayar bil perubatan dan pampasan.
Cuma pastikan anda mengambil polisi yang betul dan tidak membayar premium berlebihan. Oleh itu, dapatkan pandangan daripada beberapa orang ejen insurans sebelum membuat sebarang keputusan.
Pastikan juga anda tidak terlepas membayar premium bulanan kerana perlindungan boleh terhenti dengan sendirinya jika anda gagal melunaskannya untuk tempoh tertentu dan wang anda akan hilang begitu sahaja.
6. Bayar Cukai Pendapatan
Belajar mengenai cukai pendapatan dan bagaimana untuk menguruskannya dengan betul supaya anda dapat meminimumkan jumlah cukai perlu bayar dan menerima lebihan cukai sekiranya layak.
Bagaimana meminimumkan cukai pendapatan? Pastikan anda ambil tahu mengenai pemgecualian cukai untuk pelaburan tertentu, potongan dan pelepasan serta rebat cukai.
Semua ini penting dalam pengurusan kewangan tahunan anda kerana setiap pelaburan, perbelanjaan atau sumbangan yang anda lakukan, akan membolehkan anda membuat tuntutan apabila membuat taksiran cukai pendapatan, seterusnya mengurangkan jumlah cukai boleh bayar.
Jangan sesekali mengelak membuat taksiran cukai tahunan untuk mengelak cukai pendapatan, kerana dalam jangka panjang anda sebenarnya yang rugi, lebih-lebih lagi kerana sebahagian besar daripada kita sebenarnya sudah membayar cukai setiap bulan menerusi Potongan Cukai Berjadual (PCB) menerusi potongan gaji.
Jika kita tidak membuat taksiran, kita tidak dapat menuntut lebihan cukai, menyebabkan kita kerugian.
7. Belajar Ilmu Perancangan Kewangan dan Pelaburan
Gunakan usia muda ini untuk belajar dan memahami ilmu pelaburan dan perancangan kewangan. Kenali apa itu caj faedah, dividen, kaitan risiko dan keuntungan dan banyak lagi ilmu yang akan membantu anda membuat keputusan kewangan yang bijak.
Banyak masalah kewangan bermula kerana kita tidak mempunyai ilmu untuk mengurus kewangan dengan bijak, jadi apa yang boleh anda lakukan ialah sentiasa belajar dan belajar supaya setiap kali anda perlu membuat keputusan berkaitan kewangan, anda boleh membuat keputusan yang wajar.
Anda laman web yang boleh anda ikuti ialah ASNBAcademy yang menyediakan pelbagi ilmu dan maklumat berkaitan perancangan kewangan.
Sorotan Kandungan
- Anda boleh mengurus kewangan dengan labih baik jika bermula dari muda, dengan memberi tumpuan terlebih dahulu kepada pelaburan dan mengelak membina hutang tidak perlu.
- Cuba untuk menjana pendapatan tambahan untuk pelaburan kerana kuasa faedah kompaun akan mengembangkan pelaburan dengan lebih pantas sekiranya tempoh masa lebih panjang
- Bina gaya hidup berdasarkan kemampuan kerana hanya dengan cara ini, anda boleh menikmati kehidupan selesa