Berapa perlu anda labur untuk miliki rumah idaman?

Pinjaman Peribadi: Fahami sebelum Terjebak

pinjaman-peribadi-kesan-kewangan-anda
ASNB Logo
ASNB Academy

9 minit masa membaca

Pinjaman peribadi merupakan antara kemudahan pembiayaan yang semakin meluas penggunaannya kerana ia boleh dikatakan sangat mudah untuk diperoleh.

Namun begitu, untuk anda yang sedang menimbangkan untuk mengambil kemudahan pembiayaan ini, anda perlu mengambil sikap berhati-hati sebelum membuat keputusan.

Ini kerana dengan kadar faedah yang agak tinggi dan tempoh pinjaman yang agak panjang, ia mungkin menjadi bebanan kewangan sekiranya tidak diurus dengan baik.

Bagaimana pinjaman peribadi memberi kesan kepada kewangan anda?

definisi-pinjaman-peribadi

Apa Itu Pinjaman Peribadi?

Pinjaman peribadi ialah pinjaman tanpa cagaran yang ditawarkan pihak bank dan institusi kewangan diluluskan kepada orang ramai. Kelayakan mendapatkan pinjaman akan dinilai berdasarkan sejarah kewangan dan pendapatan bulanan individu.

Berbeza dengan pinjaman kereta atau rumah, pinjaman peribadi tidak memerlukan sebarang cagaran, justeru ia sangat mudah diperoleh. 

Walau bagaimanapun, tahukah anda bahawa data Jabatan Insolvensi menunjukkan bahawa hampir 42 peratus daripada individu yang diisytiharkan muflis sepanjang empat tahun lalu menyatakan pinjaman peribadi sebagai punca utama mereka muflis.

Antara sebab utama ialah kegagalan peminjam membayar ansuran bulanan disebabkan komitmen kewangan yang terlalu tinggi.

Oleh kerana kelulusan untuk mengambil pinjaman peribadi ini sangat mudah, ramai yang tidak mengambil kira kemampuan membayar semula untuk jangka panjang.

Apabila bebanan kewangan menjadi terlalu besar, mereka mula gagal membayar ansuran bulanan dan akhirnya diisyitiharkan muflis.

Mekanisma Pinjaman Peribadi

Pinjaman peribadi mudah diperoleh bukan sahaja kerana ia tidak memerlukan sebarang cagaran, tetapi juga kerana ia ditawarkan dengan kadar faedah yang tinggi berbanding pinjaman rumah atau kereta.

Walaupun bank akan menilai kredit kelayakan dan sejarah kewangan anda, prosesnya tidak seketat pinjaman lain. Semakin sihat skor kredit anda, semakin mudah anda mendapatkan pinjaman dan kadang-kadang anda menerima kadar faedah yang lebih rendah berbanding mereka dengan skor kredit yang tinggi.

Bagaimanapun, sepertimana jika anda memohon pinjaman lain, anda perlu membuat pertimbangan teliti sebelum membuat sebarang keputusan.

Dua elemen utama yang perlu anda pertimbangkan ialah kadar faedah dan tempoh pinjaman yang akan menentukan ansuran bulanan anda.

Sebagai contoh, anda perlu membayar ansuran bulanan yang lebih tinggi untuk pinjaman 10 tahun dengan kadar faedah 10% berbanding pinjaman 10 tahun dengan kadar faedah 8%.

Jika kadar faedah tidak boleh diubah, maka anda perlu mempertimbangkan tempoh pinjaman. Semakin panjang pinjaman, semakin rendahlah ansuran bulanan, tetapi pada masa yang sama, kos pinjaman (jumlah pinjaman + faedah) sebenarnya menjadi lebih besar.

Kos Pinjaman Peribadi

1. Kadar Faedah

Salah satu kelemahan terbesar pinjaman peribadi adalah kadar faedah yang tinggi. Kadar faedah yang lebih tinggi ini akan memberi lebih keuntungan kepada bank dan kerana itulah, mereka tidak segan silu menawarkan pinjaman ini kepada anda.

Kebanyakan bank di Malaysia mengenakan kadar faedah tetap untuk pinjaman peribadi, yang dikenakan kepada jumlah pokok yang dipinjam.

Ini bermakna kos faedah anda kekal sama sepanjang tempoh pinjaman, tidak kira berapa banyak yang telah anda bayar.

Kadar faedah untuk pinjaman peribadi di Malaysia bermula dari 3% hingga 18% dengan syarat dan terma yang tertentu.

Selain itu, peminjam juga dikenakan caj lewat bayar bermula dari 1% hingga 10% daripada baki tertunggak sekiranya lewat membayar ansuran bulanan.

Oleh itu, setiap kali anda lewat melunaskan bayaran ansuran, hutang anda juga akan bertambah tanpa disedari.

Justeru, memahami syarat dan terma pinjaman adalah sangat penting. Jika anda masih tidak pasti, dapatkan khidmat nasihat daripada pegawai bank sebelum bersetuju menerima tawaran pembiayaan yang diberikan.

2. Tempoh Pinjaman

Semakin panjang tempoh pinjaman, semakin rendah ansuran bulanan, namun kos pinjaman (pokok dan faedah) juga menjadi lebih besar.

Oleh itu, apabila anda memilih berapa lama anda sanggup berhutang, kira dahulu berapakah kos tambahan yang perlu anda tanggung jika anda meminjam untuk tempoh yang panjang.

Jika anda bersedia menanggung kos pinjaman yang lebih besar, maka bolehlah memilih tempoh pinjaman yang lebih lama.

Namun, jika anda mempunyai kemampuan untuk membayar ansuran bulanan sekiranya meminjam untuk tempoh 7 tahun, janganlah pula sengaja memanjangkan tempoh kepada 10 tahun semata-mata kerana inginkan ansuran bulanan yang rendah. Langkah ini hanya merugikan kewangan anda.

Berikut adalah contoh bagaimana tempoh pinjaman akan mempengaruhi faedah yang akhirnya anda perlu bayar:

perbezaan-tempoh-pinjaman

Walaupun bayaran bulanan untuk pinjaman 10 tahun adalah RM708, jauh lebih rendah berbanding RM1,125 untuk pinjaman 5 tahun, anda sebenarnya perlu membayar kos pinjaman lebih besar.

Perbezaan antara Pinjaman Peribadi dan Ah Long (Pemberi Pinjaman Haram)

Kadangkala kita berada dalam keadaan terdesak dengan kewangan yang semakin parah dan kita tiada pilihan selain meminjam dengan pemberi pinjaman haram.

Dari segi luaran, memang mudah mendapatkan pinjaman daripada mereka ini, namun kesan jangka panjang sebenarnya amat menakutkan jika anda gagal melunaskan hutang.

Ada yang tertipu dan menyangka pinjaman yang diberikan oleh pemberi pinjaman ini sama dengan pinjaman peribadi kerana ia mudah diperoleh.

Namun ia sebenarnya sangat berbeza kerana pinjaman peribadi ditawarkan dibawah undang-undang tertentu manakala peminjam wang haram adalah sebaliknya.

Berikut adalah perbezaan antara pinjaman peribadi dan pinjaman dari Ah Long:

perbezaan-pinjaman-peribadi-ahlong

Sebaiknya elakkan meminjam, terumatanya untuk perkara tidak pelu dan lebih bersifat kehendak. Jangan pula nanti, keluarga dan jiran turut menjadi mangsa apabila anda gagal melunaskan bayaran pinjaman yang telah ditetapkan.

Kesan Pinjaman Peribadi

1. Kestabilan Kewangan

Mengambil pinjaman peribadi boleh membawa bebanan hutang berterusan jika tidak diurus dengan betul.

Ada yang mengambil pinjaman peribadi kerana ingin membiayai keinginan memiliki barangan berjenama dan mewah, bercuti, membina rumah dan menjadikannya modal perniagaan.

Sebaiknya elakkan daripada menggunakan pinjaman peribadi untuk perkara berbentuk kehendak dan belum dapat dipastikan pulangannya, walaupun anda mampu untuk membayar ansuran bulanan.

Mungkin pada masa anda mengambilnya, 2-3 ratus ringgit sebulan bukanlah sukar untuk dilunaskan, tetapi siapa tahu kedudukan kewangan anda 5 tahun dari sekarang.

Oleh itu, ambil sikap berhati-hati dan elakkan membina hutang tidak perlu, lebih-lebih lagi hutang dengan kadar faedah yang tinggi.

2. Skor Kredit

Pinjaman peribadi memberi kesan kepada skor kredit anda, justeru sekiranya anda sudah mengambil pinjaman ini, pastikan anda membayar ansuran bulanan dalam masa ditetapkan.

Langkah ini bertujuan memastikan skor kredit anda sentiasa sihat, kerana jika tidak, anda mungkin sukar mendapat pembiayaan yang lebih penting membeli rumah. dan kenderaan.

Ramai antara kita melihat pinjaman peribadi sebagai jalan keluar mudah dan ini menjadikan populariti pinjaman ini terus meningkat, seiring dengan kad kredit dan kemudahan 'beli dulu, bayar kemudian'.

Tahukah anda, hutang mudah diperoleh ini telah menybabkan ramai yang berdepan beban kewangan yang berat, kerana pertimbangan mudah yang digunakan ketika mengambil pinjaman, akhirnya menjerat diri sendiri.

Oleh itu, sebaiknya, buat pertimbangan rasional dan lihat kemampuan membayar balik dalam tempoh jangka panjang.

Adalah lebih baik, jika anda memilih untuk melabur demi mencapai impian kerana tahukah anda, kos melabur sebenarnya jauh lebih rendah berbanding meminjam?

Mana tidaknya, jika meminjam anda mambayar semula pada kadar faedah 18% tetapi apabila melabur, contohnya dalam ASB, anda mungkin menerima dividen sekitar 4-5% setahun.

Tip Ambil Pinjaman Peribadi

1. Sebelum mengambil sebarang pinjaman, pertimbangkan dua faktor ini iaitu kadar faedah dan tempoh pinjaman kerana kedua-duanya menentukan ansuran bulanan.

2. Pastikan anda menilai kedudukan kewangan semasa terlebih dahulu sebelum mengambil pinjaman dan tanyakan pada diri anda, sama ada anda benar-benar memerlukan pinjaman itu.

3. Fahami semua terma dan syarat serta baca semua butiran penting terutamanya kadar faedah, jadual pembayaran balik, dan denda untuk pembayaran lewat.

4. Pertimbangkan pilihan lain dengan menyusun semula bajet dan melabur sebelum mengambil pinjaman peribadi.

CTA Button-BlueYellow-BM