8 Panduan Kewangan Untuk Wanita
Sebagai wanita, kita sering mengabaikan situasi kewangan sendiri kerana lebih fokus kepada orang lain seperti ibu bapa, suami, dan anak-anak sehingga kita sering terlupa bahawa sekiranya berlaku perkara luar dugaan, kita hanya mempunyai diri sendiri untuk meneruskan kehidupan.
Namun begitu, perancangan kewangan bukanlah perkara yang boleh diambil ringan oleh sesiapa pun, terutamanya oleh wanita hebat diluar sana kerana ia memberi impak besar kepada kualiti hidup kita.
Oleh itu, kami kongsikan 8 tip untuk membantu anda menjadi wanita yang bijak mengurus wang supaya masa depan anda lebih terjamin dan mampu menangani apa jua cabaran berkaitan kewangan.
1. Belajar Literasi Kewangan
Mempunyai kefahaman mengenai literasi kewangan merupakan elemen penting untuk meningkatkan kualiti hidup.
Sebagai wanita, usah berkira untuk melaburkan masa dan tenaga untuk belajar dan memahami mengenai perancangan kewangan termasuklah mengenai pengurusan wang, pelaburan, insurans, cukai dan sebagainya.
Semakin banyak pengetahuan anda mengenai kewangan, semakin beranilah anda untuk membuat keputusan kewangan. Ingat, ilmu adalah kunci kepada kemerdekaan kewangan.
2. Fahami Hak Kewangan
Sebagai seorang wanita, anda harus menyedari hak anda, tidak kiralah sebagai anak perempuan atau sebagai isteri.
Memahami kedudukan sebagai anak perempuan dan isteri ialah penting kerana dalam Islam, setiap wanita dijamin hak warisan dalam Faraid.
Setelah berkahwin, fahami hak sebagai wanita untuk harta sepencarian sebagai persediaan jika berlaku perkara luar dugaan. Sememangnya ketika awal perkahwinan, semuanya indah belaka, tetapi banyak boleh berlaku tanpa diduga.
Berbincanglah secara terbuka bersama suami mengenai kewangan semasa, Hibah, Penama dan sebagainya kerana ia penting untuk memastikan kestabilan dan keharmonian dalam keluarga ketika pasangan anda masih ada atau selepas dia tiada.
3. Asah Kemahiran
Tahukah anda, walaupun wanita di Malaysia telah menapak jauh dalam kerjaya sejak enam dekad lalu, masih ada jurang yang ketara antara wanita dan lelaki dalam penyertaan tenaga kerja? Kadar penyertaan tenaga kerja wanita Malaysia antara yang terendah di ASEAN, pada tahap 55.6%.
Mengambil kira keadaan semasa, wanita harus melabur untuk mengasah dan mengukuhkan kemahiran menerusi pembelajaran berterusan. Jika boleh, jadikan kemahiran yang anda ada sebagai sebahagian sumber kewangan yang stabil.
Sentiasa berusaha untuk meningkatkan kemahiran dan kepakaran dengan sentiasa mengikuti aliran terkini industri, mendapatkan sijil profesional, atau mengikuti kursus untuk mendapatkan pelbagai ilmu baharu.
Semua ini akan memastikan anda sentiasa relevan dan berdaya saing dalam bidang yang anda minati dan ceburi.
4. Belajar Urus Wang Dengan Bijak
Tidak kira status anda, wanita bujang, isteri atau ibu tunggal, pengetahuan mengurus wang dengan bijak adalah penting.
Mulakan untuk menyimpan dan melabur semasa anda muda; elakkan hutang yang tidak perlu terutamanya kad kredit, beli dulu bayar kemudian dan pinjaman peribadi; dan fokus untuk meningkatkan kemahiran dan membangunkan kerjaya.
Sediakan bajet bulanan yang realistik supaya anda boleh menguruskan wang dengan bijak untuk mencapai matlamat kewangan anda. Tidak kira anda bujang atau berumahtangga, bajet akan membantu anda mengurus pendapatan dengan lebih baik.
Catat semua perbelanjaan kurang atau hapuskan perbelanjaan yang tidak perlu supaya anda boleh mengetepikan duit untuk pelaburan.
Bajet yang dikendalikan dengan baik adalah asas kestabilan kewangan, ia membolehkan anda mengawal kewangan anda dengan yakin dan memberikan ketenangan fikiran.
Sentiasa berusaha supaya anda mampu mencapai kebebasan kewangan, memiliki rumah dan kereta tanpa bergantung kepada suami atau keluarga.
5. Bina Tabung Kecemasan
Pastikan anda membina tabung kecemasan sebagai persediaan jika berlaku perkara luar dugaan atau perbelanjaan luar jangka. Sebaiknya, bina tabungan yang menyamai tiga hingga enam bulan kos sara hidup semasa.
Tabung ini akan bertindak sebagai jaringan keselamatan yang akan membantu anda mendepani cabaran kewangan luar jangka tanpa terlalu membebankan diri atau lebih parah lagi, menyebabkan anda terjerat hutang atau menggugat rancangan jangka panjang anda.
Sekiranya anda seorang suri rumah yang tidak mempunyai pendapatan sendiri, cuba peruntukkan sebahagian daripada wang yang diberikan oleh suami untuk pelaburan.
Walau anda melabur serendah RM50 sebulan dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB) pun, wang itu boleh berkembang dan menjadi tabung kecemasan selagi anda komited untuk melabur setiap bulan.
Paling penting ialah wang dan dividen jangan dikeluarkan kecuali ada keperluan yang sangat mendesak.
Sebaiknya, elakkan daripada terlalu bergantung kepada orang lain. Pastikan anda mempunyai pelaburan dan akaun bank sendiri, atas nama anda, supaya ia akan sentiasa menjadi milik anda.
6. Pelbagaikan Pelaburan dan Rancang Untuk Persaraan
Selepas berjaya membina tabung kecemasan, jangan berhenti sebaliknya rancang untuk terus mengembangkan kekayaan menerusi pelaburan.
Dalam membangunkan strategi pelaburan, pastikan anda memberi tumpuan utama kepada matlamat untuk bersara dengan selesa.
Antara yang perlu anda labur dan miliki untuk persaraan selesa ialah tabung persaraan dan rumah bebas hutang.
Pastikan persaraan anda akan selesa dengan perancangan awal, agar apabila masanya tiba, anda tidak perlu bimbang tentang bekerja lagi.
Apabila melabur, pertimbangkan pilihan pelaburan yang sesuai dengan toleransi risiko dan matlamat kewangan anda.
Ada banyak peluang pelaburan, tetapi pilihlah yang sesuai dengan keupayaan, pengetahuan, dan juga personaliti anda.
Antara pilihan terbaik untuk berisiko rendah adalah deposit tetap dengan bank manakala pelaburan berisiko sederhana adalah emas, hartanah, dan unit amanah.
Jika anda berani dan mempunyai wang lebih untuk dilaburkan, mungkin anda boleh mencuba pelaburan berisiko tinggi seperti pasaran saham.
7. Ketahui Manfaat Pekerjaan Anda
Antara aspek penting yang perlu anda fokus apabila memilih tempat kerja ialah manfaat yang ditawarkan oleh bakal majikan.
Antara elemen yang perlu dinilai adalah manfaat perubatan, sumbangan KWSP, dan bonus prestasi.
Selain itu, anda juga mungkin perlu menilai jarak pejabat dari rumah anda, fleksibiliti, dan peluang untuk kenaikan pangkat.
Ada golongan wanita yang mengabaikan aspek ini dan akhirnya tidak memilih majikan terbaik, walaupun ada peluang untuk berbuat demikian.
Malahan ada yang terpaksa melepaskan kerjaya yang baik setelah berkeluarga kerana lokasi perkerjaan yang jauh dan masa yang tidak fleksibel.
8. Perlindungan untuk Kesihatan dan Aset
Lindungi kesihatan dan aset anda dengan perlindungan insurans.
Insurans kesihatan dan insurans hayat boleh melindungi anda dari kerugian kewangan dan membantu menampung kos perubatan.
Fahami polisi insurans dan pilih perlindungan yang sesuai dengan keperluan anda sebagai seorang wanita.
Sebagai contoh, sebagai seorang wanita, anda berisiko mendapat penyakit seperti kanser payudara dan kanser serviks.
Oleh itu, belilah insurans kesihatan yang menawarkan perlindungan untuk penyakit berkenaan kerana kos rawatan yang tinggi.
Pastikan anda ambil insurans dari muda kerana lebih awal anda ambil insurans, lebih rendah premium yang dikenakan.
Sebagai wanita, anda bertanggungjawab untuk mengukuhkan kedudukan kewangan diri dan usaha ini sebenarnya merupakan satu perjalanan yang panjang dan berterusan.
Kami harap panduan yang kami kongsikan ini akan membantu anda menjadi seorang wanita yang sentiasa proaktif dan yakin dalam mengendalikan kewangan anda.
Sebagai wanita, andalah nadi keluarga, oleh itu pastikan anda boleh membuat keputusan kewangan terbaik untuk diri sendiri dan keluarga dan pada masa yang sama, membina tabungan sebagai persediaan jika berlaku perkara luar dugaan.