Bajet Bijak

Rancang Kewangan Menerusi Bajet Bijak.
Ramai mengelak membuat bajet untuk perbelanjaan harian atau bulanan di atas kertas kerana berasakan ia adalah tugas leceh yang memerlukan masa yang panjang.
Justeru ramai antara kita membuat bajet di dalam minda dan keadaan ini menyebabkan kita seringkali tidak dapat menjejak ke mana perginya pendapatan yang diterima setiap bulan, dan mendapati ianya habis apabila tiba hujung bulan.
Bukan saja yang berpendapatan kecil tetapi juga yang berpendapatan besar megalami masalah dalam mengesan ke mana perginya wang pendapatan yang diterima. Bak kata pepatah, besar periuk besarlah keraknya.
Justeru apa yang boleh kita lakukan? Penasihat kewangan profesional sering menasihatkan supaya bajet bulanan dibuat di atas kertas. Tujuannya, supaya kita boleh menjejak semula ke mana perginya semua pendapatan yang kita terima.
Langkah ini sangat penting ke arah memastikan kita mempunyai aliran tunai yang positif, yang akhirnya akan membawa kita keluar dari perasaan terbeban setiap hujung bulan kerana ketidakcukupan wang.
Percayalah, walau ia seperti satu tugasan yang leceh, hasilnya akan memberi anda panduan terhadap aliran perbelanjaan anda, dan anda akan terkejut melihat berapa banyak wang yang anda belanjakan untuk perkara remeh dan tidak perlu.
Perkara-perkara remeh ini jika diuruskan dengan baik, akan membantu anda mengawal aliran keluar wang dan membantu anda kekal bernafas sehingga hujung bulan.
Langkah Mudah Membuat Bajet
- Mulakan dengan mencatatkan pendapatan yang diterima dan perbelanjaan anda dalam bulan semasa seperti kos makan dan minum, minyak kereta, bil dan hutang serta perbelanjaan lain termasuk yang kecil. Di akhir bulan nanti, anda akan dapat lihat berapa jumlah sebenar perbelanjaan dan berapa baki yang anda miliki.
- Sekiranya anda dapati bahawa mempunyai lebihan wang, ia adalah keputusan yang sebaiknya dan anda sudah boleh mula melabur dengan segera. Menangguhkan langkah melabur mungkin menyebabkan anda terpengaruh untuk berbelanja. Namun jika anda dapati wang anda tidak mencukupi untuk terus bertahan ke akhir bulan, atau cukup-cukup makan saja, anda perlu menilai semula perbelanjaan anda.
- Bagaimana mahu menilai perbelanjaan? Anda perlu mula memahami perbezaan antara keperluan dan kehendak. Keperluan lebih merupakan perbelanjaan wajib manakala kehendak adalah perbelanjaan yang tidak perlu, tetapi anda beli kerana ingin memuaskan hati anda. Sebagai contoh, membeli kasut baru sedangkan sepuluh kasut sedia ada yang anda miliki masih elok dan boleh digunakan.
- Apabila anda mula berbelanja berdasarkan penilaian asas antara kehendak atau keperluan, anda akan dapati bahawa kebanyakan perbelanjaan anda sebenarnya lebih tertumpu kepada perkara tidak perlu. Keadaan bertambah sukar jika anda berbelanja untuk keperluan menggunakan kad kredit, yang menyebabkan anda perlu pula mengetepikan pendapatan anda untuk membayar hutang yang mengenakan caj yang tinggi. Justeru mulalah ketepikan perbelanjaan untuk keperluan secara perlahan-lahan dan langsaikan hutang terutamanya hutang kad kredit anda.
- Anda sudah boleh menyusun semula bajet dan perbelanjaan anda. Namun kali ini, apabila menetapkan perbelanjaan wajib, masukkan pelaburan sebagai salah satu item yang diutamakan selain makan dan minum, bil dan hutang. Ini kerana langkah menjadikan pelaburan sebagai pilihan akhir, jika ada lebihan sebenarnya akan menyebabkan anda secara berterusan tidak akan mempunyai tabungan.
- Tetapkan matlamat anda untuk tabungan yang dibina itu. Tidak kiralah ia untuk persaraan, kecemasan, bayaran muka rumah atau kereta atau mungkin juga percutian, di penghujungnya andalah orangnya yang akan menerima manfaat daripada kebijaksanaan anda merancang kewangan.
Memulakan pelaburan kini lebih mudah di myASNB. Untuk maklumat lanjut layari https://www.myasnb.com.my/.