Ingin kira penjimatan jika anda kurangkan secawan kopi seminggu?

Bijak Berbelanja, Raya Bahagia

Oped Raya poster ASNB (BM)
ASNB
ASNB Academy

6 minit masa membaca

Hari Raya bakal menjelang tidak lama lagi dan suasana di sekeliling semakin ceria. Keluarga dan sahabat handai berkumpul, merancang pelbagai aktiviti untuk merayakan hari yang penuh makna ini.

Namun, di sebalik keceriaan ini, ada dalam kalangan kita yang menghadapi cabaran, terutamanya dari segi kewangan.

Tahun ini misalnya, mungkin ramai dalam kalangan ibu bapa akan berasa sedikit terkesan kerana baru sahaja mengeluarkan belanja untuk sesi persekolahan yang baru dibuka. Diikuti pula dengan bulan puasa dan hari raya yang bakal menjelang. Ini semua memerlukan persediaan mental dan pastinya kewangan yang mencukupi.

Setidak-tidaknya sepersalinan pakaian baharu perlu disediakan untuk anak-anak sempena hari raya. Begitu juga dengan hidangan untuk hari raya.

Astro AWANI pada Januari 2025 melaporkan bahawa perbelanjaan pengguna di Malaysia dijangka akan tetap kukuh pada suku pertama tahun ini, dipacu oleh aktiviti perbelanjaan yang meningkat sempena musim perayaan. Namun, peningkatan ini membawa bersama tekanan inflasi yang lebih tinggi, terutama disebabkan oleh kenaikan harga barangan seperti makanan dan pakaian menjelang Ramadan, menurut laporan itu lagi.

Menjadikan Alif yang kisahnya pernah disiarkan semasa ASB menyambut ulang tahun ke-35 tidak lama dulu sebagai contoh individu yang bijak merancang kewangan, beliau sentiasa melakukan persiapan awal untuk keperluan diri dan keluarga.

 “Musim perayaan memang menggembirakan, tetapi kadang-kadang ia boleh menjadi beban,” fikir Alif.

Dia sedar bahawa kini harga barang-barang keperluan telah meningkat dipengaruhi oleh peningkatan permintaan dan perbelanjaan isi rumah semasa musim perayaan. Tambahan pula, promosi jualan murah yang memenuhi media sosial sering kali menggoda orang ramai untuk berbelanja lebih.

Menyedari hal ini, Alif dan isterinya, Laila, membuat senarai keperluan untuk Hari Raya seawal hujung tahun lalu. Mereka menentukan perbelanjaan mengikut kategori—iaitu keperluan asas, keinginan, dan simpanan.

Mereka mengguna pakai formula perancangan kewangan 30-30-30-10.

Pembahagian ini merangkumi:

● 30% untuk keperluan: Termasuk perumahan (bayaran bulanan kepada bank / bayaran sewa rumah), bil utiliti, makanan, dan pengangkutan.

30% untuk keinginan: Perbelanjaan untuk hiburan, makan luar, dan membeli pakaian.

● 30% untuk simpanan dan pelaburan: Ini termasuk tabungan dan pelaburan persaraan.

●  10% untuk bayaran hutang: Pembayaran hutang kad kredit, pinjaman pelajaran, dan kewajipan lain.

Kaedah ini menekankan pembahagian yang jelas untuk perbelanjaan dan termasuk peruntukan untuk pembayaran hutang.

Untuk memastikan simpanan yang konsisten, Alif tidak begitu risau kerana telah mula menggunakan khidmat Auto Labur ASNB sejak ia mula dilancarkan pada 2019, yang memudahkannya melabur berterusan setiap bulan.

Alif juga menambah amaun simpanan berkalanya setiap tahun, dan menggunakan Penasihat Pelaburan Robo atau ringkasnya (RIA), perkhidmatan yang menyediakan pemilihan portfolio secara automatik, berdasarkan penilaian risiko individu.

Dengan pemprofilan risiko intuitif dan portfolio pengimbangan semula automatik dari semasa ke semasa, RIA menjadikan pelaburan boleh diakses oleh semua orang, tanpa mengira tahap pengalaman atau latar belakang kewangan pengguna.

Ini bererti, soal simpanan dan pelaburannya telah terjaga, dan kini Alif hanya perlu menumpukan kepada merancang perbelanjaan keluarga, khususnya untuk persiapan hari raya.

Selain itu, ada satu lagi kaedah merancang kewangan yang popular, iaitu kaedah 50-30-20 yang telah diperkenalkan oleh Elizabeth Warren, bekas pensyarah undang-undang dari Universiti Harvard. Kaedah ini banyak dipraktikkan oleh individu dan dinasihati oleh pakar kewangan.

●     50% dari pendapatan: Digunakan untuk keperluan asas seperti tempat tinggal, makanan, dan bil utiliti.

●     30% untuk keinginan: Perbelanjaan untuk hiburan dan aktiviti lain yang tidak kritikal untuk kelangsungan hidup.

●     20% untuk simpanan atau pelaburan: Ini termasuk tabungan, pelaburan persaraan, dan pembayaran hutang.

Walaupun musim perayaan akan meningkatkan perbelanjaan pengguna, Alif memilih untuk membeli barangan yang ditawarkan oleh peniaga-peniaga pada harga potongan istimewa. Dengan cara ini, Alif masih dapat membeli barangan berkualiti pada harga yang berpatutan.

Alif berasa gembira kerana apabila Hari Raya tiba tidak lama lagi, keluarganya dapat menyambut dengan penuh kegembiraan, tanpa rasa tertekan tentang kewangan, kerana perancangan yang dibuat memastikan keperluan keluarga dapat dipenuhi.