ASB Plus Peluang Tambah Pulangan Anda

Sudah menjadi kebiasaan pada setiap hujung tahun, pengumuman dividen ASB ialah antara detik yang dinanti-nantikan ramai. Ada yang menganggapnya sebagai penutup tirai kepada tahun kewangan, dan bagi ramai, inilah masanya untuk menilai sejauh mana usaha, disiplin dan komitmen untuk melabur sepanjang tahun telah membuahkan hasil.
Kini, dengan lima bulan lagi sebelum tibanya detik tersebut, tahun ini menjanjikan sesuatu yang lebih istimewa. Melalui ASB Plus, anda bukan sahaja menanti pulangan seperti biasa, malah berpeluang menikmati pulangan tambahan ke atas pelaburan ASB anda.
Apa Itu ASB Plus?
ASB Plus ialah pelan pelaburan khas yang menggabungkan dua dana unit amanah sama ada Amanah Saham Bumiputera (ASB) atau Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB 2), dengan unit amanah harga berubah ASN Imbang 2. ASB Plus memberi anda peluang untuk menikmati pulangan tambahan 1% untuk bahagian pelaburan dalam ASB atau ASB 2 anda. Pelaburan minimum bagi ASB plus ialah RM1,000 dan ia ditawarkan di semua kaunter cawangan ASNB dan melalui portal myASNB bermula 1 Ogos 2025 hingga 30 September 2025.
Jika anda sudah melabur dalam ASB atau ASB 2, pelaburan sedia ada tersebut tidak akan disertakan secara automatik dalam pelan ASB Plus. Untuk menikmati potensi pulangan tambahan, anda perlu membuat pelaburan secara khusus ke dalam pelan ASB Plus.

Kelebihan ASB Plus
1. Peluang Jana 2 Sumber Pulangan
ASB Plus memberi anda peluang untuk menjana dua jenis pulangan daripada pelaburan yang sama. Sumber pertama ialah pulangan tambahan sebanyak 1%, iaitu ganjaran eksklusif yang diberikan di samping dividen tahunan ASB. Ini bermakna, pelaburan anda melalui ASB Plus akan menerima pulangan tambahan 1% di atas kadar dividen tahunan ASB yang akan diumumkan kelak. Sumber kedua pula ialah dari peluang kenaikan harga unit sepanjang tempoh pelaburan melalui dana harga berubah.
Dengan gabungan dua sumber pulangan ini, simpanan anda berpeluang untuk berkembang, demi matlamat kewangan jangka panjang anda.
2. Peluang Manfaatkan Kuasa Faedah Kompaun
Apa yang menjadikan ASB Plus lebih menarik ialah pulangan tambahan akan dikreditkan seawal Januari 2026 untuk pelaburan ASB dalam pakej 1 ASB Plus, dan untuk pakej 2 ASB Plus, pulangan tambahan ASB 2 pula akan dikreditkan pada April 2026. Kelebihan dari segi masa ini boleh memberi impak yang ketara kerana memberi peluang kepada hasil tersebut untuk mula menjana pulangan, dan untuk anda memanfaatkan kuasa faedah kompaun. Hasil pelaburan boleh mula “bekerja” untuk anda dengan lebih awal.

3. Kepelbagaian dalam Satu Pakej
Selain itu, salah satu kelebihan ASB Plus ialah kepelbagaian portfolio pelaburan melalui gabungan antara dana harga tetap ASB atau ASB 2 dan dana harga berubah. Dana harga tetap memberikan potensi pulangan tahunan yang konsisten, manakala penyertaan dalam dana harga berubah membuka ruang kepada potensi kenaikan nilai unit bergantung kepada prestasi pasaran. Gabungan ini membantu menjadikan portfolio anda lebih seimbang, bersedia menghadapi pelbagai fasa pasaran, dan potensi membina asas kewangan yang lebih kukuh untuk masa hadapan.
4. Kekal Konsisten Sepanjang Turun Naik Pasaran
Tempoh terkunci (lock-in period) selama satu tahun membantu anda untuk kekal konsisten dalam pelaburan. Ia bukan sekadar memastikan anda terus berada di landasan yang betul, tetapi juga membantu anda mengekalkan fokus terhadap matlamat yang lebih besar, tanpa terganggu oleh turun naik pasaran atau emosi dan godaan untuk membelanjakan simpanan yang sudah anda bina.
Melangkah Lebih Jauh
Dengan hanya lima bulan berbaki sebelum pengumuman dividen ASB, inilah masa terbaik untuk menyusun langkah seterusnya. ASB Plus memberi anda peluang untuk bukan sekadar pasif menanti tetapi memaksimumkan pelaburan sedia ada anda, dan melangkah lebih jauh daripada kebiasaan.
Sama ada untuk masa depan anak-anak, persaraan yang selesa atau untuk memperkukuhkan simpanan, biarlah setiap ringgit yang anda laburkan “bekerja” untuk mencapai impian kewangan anda.
Sertai ASB Plus dan ambil peluang ini untuk memberi nilai tambah kepada pelaburan anda.