Berapa perlu anda labur untuk miliki rumah idaman?

Ajaibnya Kuasa Faedah Kompaun

kuasa-faedah-kompaun-ASB
ASNB Logo
ASNB Academy

5 minit masa membaca

Apa yang istimewanya mengenai kuasa faedah kompaun sehinggakan saintis terkenal, Albert Eisntein menggelarnya sebagai keajaiban dunia yang ke-8?

Malahan beliau menjelaskan bahawa sesiapa yang memahami mengenai kuasa faedah kompaun ini, mereka akan menerima manfaat sedangkan mereka yang tidak memahaminya, akan menanggung kerugian.

Justeru, sudah pasti kuasa faedah kompaun ini mempunyai kelebihan tersendiri, jadi bagaimana kita boleh mengambil kesempatan daripadanya terutamanya dari segi pengurusan wang?

Sebenarnya, dalam konsep kewangan, kuasa faedah kompaun dikatakan mempunyai keajaiban kerana ia mampu mengembangkan wang yang dilaburkan dengan lebih pantas sekiranya wang berkenaan tidak dikeluarkan untuk satu jangka masa tertentu.

Bagaimana Caranya?

Caranya ialah dengan tidak mengeluarkan dividen. Dividen yang tidak dikeluarkan ini akan menambah kepada modal pelaburan dan dalam jangka masa panjang, jumlah dividen akan terus menerus bertambah seiring pertambanhan jumlah modal pelaburan.

Oleh itu, untuk memastikan wang yang dilaburkan terus berkembang, apa yang anda perlu ada ialah komitmen jangka panjang untuk kekal melabur dan tidak mengeluarkan modal dan dividen. Dalam jangka masa panjang, modal pelaburan anda akan berkembang dengan lebih pantas.

Oleh itu, apabila melabur, pastikan anda anda tidak mengeluarkan modal dan dividen kerana dividen merupakan penyumbang utama kepada keajaiban kuasa faedah kompaun.

Selain tidak berkembang, nilai wang yang dilaburkan sebenarnya terus mengecil kerana inflasi sekiranya dividen terus menerus dikeluarkan.

Bagaimana kuasa faedah kompaun berfungsi?

Empat perkara ini merupakan asas kepada kuasa faedah kompaun dan keupayaannya mengembangkan modal.

1.  Modal Pelaburan : Anda mastilah mula melabur untuk mula menikmati keajaiban kuasa faedah kompaun. Modal pelaburan ini akan menjadi modal pokok, yang akan terus berkembang kerana dividen tidak dikeluarkan.

2. Pengumpulan Faedah: Seiring masa, pelaburan anda akan menerima faedah bergantung kepada terma dan syarat produk kewangan tersebut. Melalui perkongsian keuntungan, faedah yang diperolehi ditambahkan kepada pokok, dan pengiraan faedah masa depan akan berdasarkan baki baru, iaitu pokok ditambah faedah.

3. Labur Semula : Apabila melabur, anda akan menerima faedah atau dividen, bergantung kepada terma dan syarat instrumen pelaburan yang anda pilih. Dividen yang tidak dikeluarkan ini, akan dilaburkan semula dan menambah kepada modal.

4. Masa : Lebih lama tempoh pelaburan, lebih besar jumlah terkumpul. Kuasa pengkompaunan menjadi lebih hebat sekiranya tempoh pelaburan lebih panjang.

Faktor utama yang akan memberi kesan kepada kepantasan pengembangan modal pelaburan ialah:

 1. Kekerapan Pengkompaunan : Lebih kerap faedah/dividen menerima kesan pengkompaunan, lebih pantaslah modal pelaburan berkembang. Sebagai contoh, kesan pengkompaunan setiap hari akan mengembangkan modal pelaburan lebih pantas berbanding kesan pengkompaunan tahunan.

 2. Kadar Faedah : Lebih tinggi kadar faedah, lebih pantas pelaburan akan berkembang kerana kita menerima dividen yang lebih besar jumlahnya

3. Tempoh Masa : Lebih lama melabur, lebih besarlah kesan pengkompaunan. Kesan ini sering dirujuk sebagai ‘nilai masa wang’.

Ilustrasi

Katakan anda melabur RM1,000 dan menerima purata dividen tahunan 5%. Selepas setahun, anda menerima dividen sebanyak RM50, jadi modal anda akan bertambah kepada kepada RM1,050 sekiranya dividen tidak dikeluarkan.

Untuk tahun kedua,  anda akan menerima dividen berdasarkan jumlah baharu berkenaan, ada akan menerima dividen sebanyak RM52.50 dan wang anda akan bertambah kepada RM1,102.50.

Dengan bertambahnya modal menerusi pertambahan dividen, modal menjadi lebih pesat dan ia berpotensi untuk berganda atau lebih daripada itu.

Bagaimana pula jika anda hanya melabur RM100 setiap bulan? Berapa yang akan anda kumpul selepas 5 tahun jika purata dividen tahunan yang diterima ialah 5%? Jumlahnya ialah kira-kira RM6,629 yang mana RM629 merupakan dividen terkumpul.

Untuk mengembangkan pelaburan, anda memerlukan disiplin dan komitmen untuk melakukannya untuk jangka masa panjang. Tanpa disiplin dan komitmen, anda mungkin tidak mampu untuk mempunyai walau RM1,000 dalam tabungan, apatah lagi memiliki tabung kecemasan. Sebaiknya anda sentiasa beringat bahawa pelaburan akan membantu anda untuk menangani perkara luar dugaan, dan pada masa yang sama, memiliki kebebasan kewangan.

Sebenarnya, melabur dan membina tabungan tidaklah sesukar yang dibayangkan lebih-lebih lagi dengan adanya pilihan pelaburan berisiko rendah seperti Amanah Saham Bumipiutera (ASB) dan Deposit Tetap, yang mana anda tidak akan kehilangan modal.

Untuk memulakan pelaburan dengan komitmen dan disiplin tinggi, anda boleh melanggan kemudahan pelaburan bulanan automatik. Mualakanlah walau hanya serendah RM10 setiap bulan kerana anda perlu mula melabur untuk menikmati keajaiban kuasa faedah kompaun.

Apa yang perlu anda fahami mengenai kuasa faedah kompaun ialah lebih lama anda membiarkan wang yang dilaburkan, lebih besar kesannya terhadap wang yang terkumpul.

Memahami asas kuasa pengkompaunan amat penting untuk memastikan anda berjaya membina tabung kecemasan, tabung persaraan dan juga merealiasikan matlamat kewangan.

Mula awal dan sentiasa konsisten adalah cara terbaik untuk membolehkan anda menikmati keajaiban kuasa faedah kompaun supaya anda memiliki masa depan kewangan yang lebih terjamin.

CTA Button-BlueYellow-BM