Akhir Tahun: 8 Tip Nilai Kewangan

Kita telahpun sampai ke penghujung tahun 2023. Pejam celik, pejam celik, sudah hampir 12 bulan kita lalui dengan pelbagai cabaran dan pencapaian yang menghiasi hidup kita tahun ini.
Bagaimana dengan kedudukan kewangan anda? Adakah ia semakin baik ataupun sebaliknya? Seiring dengan tahun yang semakin hampir ke penghujungnya ini, apa kata kita menilai dan menyemak kedudukan kedudukan kewangan kita tahun ini berbanding tahun lalu dan tahun-tahun sebelumnya.
Bagaimana dan apakah yang perlu dinilai? Kami kongsikan beberapa perkara penting yang boleh anda lihat dan perbandingkan supaya anda dapat menilai dimana anda pada penghujung tahun ini berbanding penghujung tahun lalu.
1. Semak berapa banyak pelaburan tahun ini berbanding tahun lalu
Lihat dan semak semula ASB atau jumlah keseluruhan pelaburan anda. Berapa banyak yang telah anda laburkan tahun ini? Berapakah peratusan peningkatan berbanding tahun lalu atau tiada langsung penambahan?
Selain pelaburan tunai, adakah anda telah berjaya menjadikan impian membeli rumah satu kenyataan dengan membayar deposit, atau sudah memiliki tabung untuk perkahwinan impian, atau paling tidak, anda sudah berjaya membina tabung kecemasan yang menyamai sekurang-kurangnya enam bulan gaji semasa anda?
Jika anda menjawab ya kepada mana-mana impian dan matlamat anda, Tahniah! kerana anda telah berjaya menambah baik kedudukan kewangan anda. Teruskan usaha dan kekal komited untuk melabur dan menambah kakayaan.
Walau bagaimanapun, jika anda masih lagi ketinggalan dalam mencapai objektif kewangan anda, usah berputus asa kerana selagi anda mempunyai kudratdan pendapatan, anda boleh berusaha ke arah mencapai impian dan matlamat anda. Memiliki kestabilan kewangan memerlukan masa, usaha dan konsistensi dan juga keberanian untuk mengubah diri.
Antara yang boleh anda lakukan tahun depan untuk menyusun semula kewangan anda ialah mula mengamalkan konsep labur dahulu baru belanja, kurangkan berhutang dan berbelanja dengan berhemah.
2. Semak Bajet dan Nilai Hutang Anda
Mulakan penilaian bajet dengan mengkaji corak perbelanjaan anda sepanjang tahun ini dengan menilai sejauh mana bajet sedia ada membantu anda menambah baik kedudukan kewangan anda. Adakah anda mematuhi bajet berkenaan atau bajet itu tidak mampu diikuti kerana realiti kehidupan tidak sama dengan bajet yang digariskan.
Sekiranya anda berjaya mematuhinya, ini bermakna bajet anda menceminkan kemampuan anda dan ia hanya perlu ditambah baik untuk turut mengambilkira kemungkinan berlakunya perubahan besar dalam hidup anda tahun hadapan.
Namun jika sebaliknya, anda perlu menyemak dan menyusun semula bajet anda. Perkara paling penting ialah anda perlu membezakan antara keperluan dan kehendak. Ada kemungkinan anda gagal mematuhi bajet kerana terdapat perubahan dalam kos sara hidup yang kini semakin meningkat, justeru adalah penting untuk memastikan bajet sentiasa disemak dan ditambahbaik untuk memastikan keberkesanannya dalam membantu anda mengawal perbelanjaan.
Justeru apabila membuat bajet, tumpukan kepada keperluan terlebih dahulu seperti perbelanjaan asas untuk diri dan keluarga, jumlah hutang dan komitmen bulanan serta pelaburan.
Sekiranya ada lebihan, barulah anda peruntukkan wang untuk kehendak seperti makan diluar, menonton wayang, bercuti dan sebagainya.
Semak juga sama ada bajet anda sekarang membantu anda untuk melabur? Jika jawapan anda adalah tidak, anda perlu nilai semula bajet berkenaan kerana pelaburan merupakan antara sebab utama mengapa kita mempunyai bajet.
Selain itu dalam menyemak dan menyiapkan bajet tahun hadapan, jangan lupa mengambil kira peristiwa penting yang mungkin berlaku seperti perkahwinan, kelahiran bayi, atau berpindah ke rumah baharu kerana peristiwa seperti ini seringkali membawa bersamanya implikasi kewangan yang besar.
Sebagai contoh, perkahwinan melibatkan perbelanjaan agak besar dan komitmen selepas berkahwin pastinya berubah seperti kos sewa rumah dan sarahidup. Kehidupan anda sekali lagi akan berubah apabila menyambut kelahiran bayi dengan kos seperti pakaian, lampin pakai buang dan susu. Sekiranya anda berpindah ke rumah baharu pula, antara kos tambahan ialah kos berpindah, kos pengangkutan harian, dan sebagainya.
Dengan menyusun semua perbelajaan sedia ada dan baharu dalam bajet yang selari dengan kemampuan, anda pasti boleh menguruskan kewangan dengan lebih baik tahun hadapan, seterusnya membuka ruang untuk menambah baik kedudukan kewangan.
3. Periksa hutang yang belum selesai (termasuk kad kredit, pinjaman, dan pinjaman perumahan)
Berikan keutamaan untuk melunaskan hutang dengan kadar faedah tinggi, kerana ia akan memberikan ketenangan fikiran dan meningkatkan aliran tunai anda.
Jika bajet sedia ada tidak membantu anda untuk mengurangkan hutang, ini bermakna anda tidak berada di landasan kewangan yang betul adan bajet berkenaan perlu disemak semula.
Bina bajet yang memberi tumpuan kepada keperluan dan pelaburan supaya pergantungan anda terhadap kad kredit boleh dikurangkan.
Mulakan dengan menyediakan bajet tahun hadapan yang memfokus kepada strategi mengurangkan hutang kad kredit dengan mengurangkan perbelanjaan yang menyebabkan anda bergantung kepada kad kredit dan pastikan anda tidak menambah hutang baharu menerusi pinjaman peribadi dan kemudahan beli dulu, bayar kemudian.
Kedudukan kewangan anda hanya boleh ditambah baik jika hutang dikurangkan dan and amula memfokus kepada membina kekayaan menerusi pelaburan.
4. Perancangan Cukai
Perancangan cukai yang betul akan membolehkan anda menerima lebihan cukai sekiranya anda bijak mengurus kewangan dengan mengambil kira semua insentif, potongan dan rebat yang disediakan oleh kerajaan.
Ini kerana ketiga-tiga perkara berkenaan akan membantu anda mengoptimumkan jumlah cukai kena bayar. Jadi jika anda belum melakukannya, pastikan anda manfaatkan masa yang masih ada ini untuk mengambil kesempatan daripada semua kemudahan yang disediakan.
Oleh itu, jangan lupa untuk membayar zakat dan membeli barangan yang layak untuk potongan cukai sebelum akhir tahun ini untuk membuat tuntutan untuk tahun taksiran semasa.
Contohnya, jika anda merancang untuk membeli peralatan sukan, sekiranya anda membeli sebelum tahun ini berakhir, anda layak menuntut pelepasan cukai pendapatan untuk tahun 2023.
Jangan lupa untuk menyimpan semua resit pembelian sebagai bukti pembelian, Walaupun ketika membuat tuntutan, resit tidak perlu dikemukakan, namun LHDN boleh membuat semakan pada bila-bila masa dan tidak mempunyai resit pastinya akan memberi masalah kepada anda.
5. Perancangan Persaraan
Lihat semula simpanan untuk persaraan anda dan semak jika simpanan pencen anda di landasan yang betul. Tahukah anda bahawa 6.3 juta ahli KWSP di bawah umur 55 (48 peratus) mempunyai kurang dari RM10,000 dalam akaun mereka pada 30 September 2023?
Angka ini telah meningkat daripada 4.7 juta ahli (37 peratus) yang dicatat pada April 2020, sebelum pengenalan pengeluaran istimewa disebabkan pandemik Covid-19. Dengan simpanan persaraan kurang dari RM10,000, ahli-ahli ini dijangkakan mempunyai pendapatan kurang dari RM42 sebulan selama 20 tahun setelah mereka bersara kelak.
Memiliki tabung persaraan yang cukup adalah penting untuk menikmati persaraan yang selesa. Oleh itu, anda dinasihatkan untuk menyemak jumlah tabung persaraan setiap tahun untuk memastikan anda tahu dimana kedudukan anda dan adakah matlamat untuk bersara dengan selesa boleh dicapai.
Menyemak jumlah KWSP anda kini sangat mudah menerusi aplikasi I-Akaun. Kepentingan menyemak pelaburan ini sangat penting terutamanya sekiranya anda ada melabur dalam unit amanah menggunakan wang KWSP.
6. Perancangan Harta
Selain itu, semak juga perancangan perwarisan anda terutamanya penama KWSP, penerima pelaburan anda dalam ASB, takaful/insurans dan Tabung Haji.
Perancangan harta yang berkesan dan terkini akan membantu waris yang ditinggalkan membuat tuntutan dengan mudah. Ini akan mengurangkan kerumitan apabila waris ingin membuat tuntutan serta mengelak berlakunya konflik antara waris kerana berebut harta.
7. Perlindungan Insurans / Takaful
Nilai semula perlindungan insurans / takaful anda untuk memastikan ianya masih sesuai dengan peringkat kehidupan semasa anda.
Sekiranya anda masih belum mempunyai insurans/takaful hayat, mungkin anda boleh mula menimbangkan untuk memilikinya tahun hadapan kerana kos perubatan yang semakin meningkat.
8. Matlamat Kewangan Masa Depan
Teliti semula matlamat kewangan anda untuk jangka pendek dan jangka panjang. Sekarang adalah masa yang sesuai untuk mengubah atau menetapkan matlamat baru untuk tahun akan datang.
Sama ada anda merancang untuk membeli rumah, berkahwin, atau menyimpan untuk pendidikan anak anda, anda boleh memulakan dengan merangka langkah-langkah untuk mencapai matlamat ini.
Menilai semula kedudukan kewangan anda pada setiap hujung tahun adalah langkah penting yang perlu diambil untuk memastikan kestabilan kewangan dan juga ketenangan fikiran. Gunakan peluang ini untuk menilai semula dan merancang strategi untuk pastikan situasi kewangan anda baik di tahun hadapan.
Panduan untuk pastikan keadaan kewangan anda stabil di tahun hadapan
1. Semak berapa banyak pelaburan anda berjaya lakukan tahun ini, atau adakah sebaliknya?
2. Teliti bajet anda tahun ini, adakah bajet sekarang membantu anda untuk menguruskan wang dengan baik tahun ini?
3. Periksa hutang yang belum selesai, dan berikan keutamaan untuk melunaskan hutang dengan kadar faedah tinggi.
4. Nilai semula perlindungan insurans / takaful anda dan pastikan ia masih sesuai dengan peringkat kehidupan semasa anda dan juga untuk tanggungan anda.
5. Teliti semula matlamat kewangan anda untuk jangka pendek dan jangka panjang dan mula dengan merangka langkah-langkah untuk mencapai matlamat tersebut.
