Ingin kira penjimatan jika anda kurangkan secawan kopi seminggu?

Punca Pelaburan Tidak Berkembang

pelaburan tidak berkembang
ASNB
ASNB Academy

3 minit masa membaca

Anda melabur sejak 10 tahun lalu, namun setiap kali anda menjenguk Akaun ASB anda, jumlahnya tidak banyak berubah.

Semakin lama anda merasakan bahawa tiada gunanya anda melabur jika jumlah tabungan tidak bertambah sedangkan anda terpaksa berjimat dan berbelanja dengan berhemah setiap bulan semata-mata untuk melabur.

Namun begitu, ada rakan-rakan anda yang bercerita bahawa mereka mampu membayar deposit rumah dengan duit yang terkumpul dalam ASB. Ada juga rakan yang sentiasa mampu menyelesaikan masalah berkaitan kewangan menggunakan wang tabungan walau gaji mereka lebih kurang sama saja dengan anda.

Anda berasa hairan mengapa wang anda tidak berkembang, sedangkan anda sudah melabur setiap bulan? Malahan anda juga melanggan kemudahan AutoLabur@myASNB untuk memastikan anda dapat melabur secara konsisten.

Apakah agaknya kemungkinan kesilapan yang telah anda lakukan sehingga menyebabkan pelaburan anda tidak berkembang?

1. Pelaburan sering dikeluarkan

Anda melabur awal bulan, dan mengeluarkan pelaburan berkenaan setiap kali hujung bulan atau apabila memerlukan wang.

Wang yang dikeluarkan mengecilkan modal pelaburan. Justeru, jika anda melabur dalam ASB, kemungkinan besar anda hanya akan menerima jumlah dividen yang kecil sahaja kerana ASB membuat pengiraan dividen berdasarkan baki minimum bulanan.

Ini bermakna setiap kali anda mengeluarkan wang, baki wang dalam ASB akan berada pada pada paras terendah dan apabila dividen dikira, ia dikira berdasarkan jumlah terendah pada bulan berkenaan.

Oleh kerana modal pelaburan sering dikeluarkan dan dividen yang diterima adalah kecil, sukar untuk kuasa faedah kompaun mengembangkan modal pelaburan anda.

pelaburan tidak berkembang

2. Dividen dikeluarkan

Anda melabur secara konsisten setiap bulan, dan akhirnya menerima dividen selepas setahun anda melabur. Namun begitu, setiap kali dividen diumumkan, setiap kali itu juga anda mengeluarkannya.

Berdasarkan konsep kuasa faedah kompaun, modal pelaburan hanya akan berkembang jika dividen dan modal pelaburan tidak dikeluarkan untuk tempoh yang panjang.

Sekiranya anda menggunakan Rule of 72, modal pelaburan hanya akan berganda selepas 12 tahun sekiranya anda menerima pulangan purata tahunan sebanyak 6%.

Oleh itu, jika tiada keperluan mendesak untuk menggunakan dividen yang diterima, adalah lebih baik dividen berkenaan tidak dikeluarkan supaya anda dapat melihat tabungan anda berkembang dari tahun ke tahun dan akhirnya berganda.

Kesimpulan

Sekiranya anda bersalah melakukan kedua-dua perkara di atas, kini anda telahpun tahu mengapa pelaburan anda tidak berkembang.

Oleh itu, jika anda ingin melihat dan merasai sendiri bagaimana modal pelaburan anda boleh berkembang dan berganda, elakkan daripada mengeluarkan modal pelaburan dan dividen untuk tempoh yang panjang.

Latih diri anda hanya untuk mengeluarkan wang yang dilaburkan hanya jika anda benar-benar memerlukannya.

Jika anda masih konsisten memenuhi kehendak jangka pendek dengan mengeluarkan wang yang sepatutnya dilaburkan, anda tidak mungkin mampu merealisasikan impian untuk mempunyai kewangan yang kukuh.