Wasiat Permudah Urusan Harta Pusaka
Wasiat adalah instrumen penting dalam perancangan harta seseorang. Apa yang berlaku selepas kematian seseorang melibatkan beberapa proses perundangan yang membabitkan pelbagai pihak termasuk waris, mahkhamah dan juga wasi, jika ada.
Definisi Wasiat
Dari sudut bahasa, perkataan wasiat berasal dari perkataan ‘wassa’ yang bermaksud menyambung / menyampaikan / memberikan hak pemilikan selepas kematian.
Definisi wasiat pula merupakan iqrar seseorang yang diperbuat semasa hayatnya ke atas hartanya atau manfaat untuk menyempurnakan sesuatu bagi maksud kebajikan atau apa-apa maksud yang dibenarkan menurut Hukum Syarak, selepas dia mati. (Sumber: efaraid)
Dalil Pensyariatan Wasiat
Firman Allah SWT:
مِنْ بَعْدِ وَصِيَّةٍ يُوصِي بِهَا أَوْ دَيْنٍ
Yang bermaksud: “(Pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang diwasiatkan oleh si mati dan sesudah dibayar hutangnya.” (Surah Al-Nisa’: 11)
Daripada Abdullah bin Umar r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:
ما حَقُّ امْرِئٍ مُسْلِمٍ، له شيءٌ يُرِيدُ أَنْ يُوصِيَ فِيهِ، يَبِيتُ لَيْلَتَيْنِ، إِلَّا وَوَصِيَّتُهُ مَكْتُوبَةٌ عِنْدَهُ
Yang bermaksud: “Tidak sepatutnya seseorang Muslim yang mempunyai sesuatu ingin diwasiatkan tidur dua malam melainkan dia menulis wasiat di sisinya.” (Riwayat Muslim).
Bagaimanapun, bagi orang Islam, mereka hanya boleh mewasiatkan 1/3 daripada harta kepada waris. Sekiranya ingin mewasiatkan jumlah lebih besar, waris-waris lain perlulah memberi persetujuan.
Syarat Wasiat
Untuk membuat wasiat, syarat berikut perlu dipatuhi:
Syarat Pewasiat
- Telah mencapai umur lapan belas tahun;
- Sempurna akal;
- Bertindak dengan sukarela dan tidak dipaksa; dan
- Tidak dihalang daripada mengurus hartanya.
Syarat Penerima Wasiat (Benefisiari)
- Diketahui dengan jelas;
- Boleh menerima harta yang diwasiatkan menurut Hukum Syarak; dan
- Mempunyai kelayakan untuk memiliki dan mengurus harta yang diwasiatkan menurut mana-mana undang-undang bertulis.
Syarat Harta Yang Diwasiat
- Sesuatu yang boleh dijadikan harta pusaka atau boleh dijual beli semasa hidup pewasiat;
- Sesuatu yang bernilai dan boleh dipindah milikkan selepas kematian pewasiat;
- Sesuatu yang wujud dalam milikan pewasiat, jika ditentukan atau wujud semasa kematian pewasiat, jika tidak ditentukan; dan
- Sesuatu yang harus dan bukan sesuatu yang haram atau maksiat.
Pengesahan dan Pelaksanaan
Setelah kematian pewasiat, langkah pertama yang perlu diambil ialah menyemak dan mengesahkan wasiat yang ditinggalkan si mati.
Selepas disahkan, barulah proses pelaksanaan wasiat akan dilaksanakan oleh pihak yang diberi kuasa, antara peguam atau wasi yang dilantik mahkhamah.
Pihak pelaksana bertanggungjawab meneliti harta pusaka pewasiat, termasuklah aset-aset yang dinyatakan dalam wasiat dan juga harta yang mungkin tidak dinyatakan di dalamnya untuk memastikan pelaksanaan wasiat berjalan lancar.
Pelaksana Wasiat
Mahkamah akan menetapkan atau mengesahkan seorang pelaksana wasiat yang akan bertanggungjawab untuk melaksanakan wasiat yang ditinggalkan simati.
Pelaksana bertanggungjawab memastikan wasiat yang ditinggalkan itu adalah mematuhi hukum syarak dan boleh dilaksanakan tanpa sebarang masalah.
Islam menetapkan bahawa kadar harta yang boleh diwasiatkan hanyalah 1/3 sahaja daripada harta bersih peninggalan si mati.
Harta yang diwasiatkan juga mesti masih wujud ketika pemilik meninggal dunia dan masih berbaki selepas digunakan untuk urusan pengebumian dan melunaskan hutang-hutang.
Sekiranya pewasiat mempunyai hutang yang banyak hingga kehabisan semua hartanya, wasiatnya tidak perlu dilaksanakan.
Pelaksana wasiat juga bertanggungjawab mengagihkan harta yang diwasiatkan kepada waris seperti yang dinyatakan dalam wasiat. Proses ini memastikan pematuhan kepada kehendak pewasiat.
Bagaimanapun, bagi harta yang tidak dinyatakan dalam wasiat, ia akan diagihkan mengikut Faraid.
Institusi Bertanggungjawab
Untuk pengetahuan anda, urusan pentadbiran harta pusaka di Malaysia sama ada harta pusaka berwasiat atau tidak, akan diuruskan empat buah institusi yang telah diiktiraf oleh kerajaan dan sah di sisi undang-undang di Malaysia iaitu:
- Mahkamah Tinggi Sivil
- Mahkamah Tinggi Syariah
- Amanah Raya Berhad
- Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan
Kesimpulan
Wasiat merupakan antara instrumen pengurusan harta yang penting dan boleh digunakan untuk mengurus harta ketika kita masih hidup untuk memudahkan pengurusan harta selepas kita tiada.
Ini bukan bermakna kita tidak menghormati undang-undang Faraid, tetapi mengurus harta dengan betul akan dapat memastikan harta yang ditinggalkan akan terus memberi nilai kepada waris yang ditinggalkan dan menggembirakan mereka.
Sorotan Kandungan
1. Faraid bukanlah satu-satunya kaedah pembahagian harta pusaka, malahan pemilik boleh menggunakan wasiat, hibah, wakaf dan amanah untuk membahagikan harta yang dimiliki
2. Wasiat perlu dilakukan ketika pemilik harta, dan hanya akan dilaksanakan selepas kematiannya
3. Mengurus harta ketika masih hidup akan memudah dan mengelak sengketa sesama waris