Ingin kira penjimatan jika anda kurangkan secawan kopi seminggu?

Urus Wang : Tip Didik Anak-anak

kids money mgmt
ASNB
ASNB Academy

6 minit masa membaca

Mendidik anak-anak bagaimana untuk mengurus wang merupakan kemahiran penting yang boleh membantu mereka untuk membina kehidupan selesa sepanjang hayat kelak.

Berikut ialah beberapa kaedah mudah untuk anda membantu mendidik anak-anak mengenai pengurusan wang :

1. Mula Awal

Mendidik anak-anak mengenai konsep asas kewangan perlu bermula seawal usia. Sebagai contoh, anda boleh membawa mereka ke kedai runcit untuk membeli barangan yang mereka inginkan seperti aiskrim atau cokelat berdasarkan bajet yang anda tentukan. Selepas itu, minta mereka membuat bayaran kepada cashier. Kaedah ini secara tidak langsung mendidik mereka bahawa untuk memiliki sesuatu mereka mesti mempunyai wang.

2. Tunjukkan Tauladan Yang Baik

Jadikan diri anda sebagai contoh menerusi sikap anda terhadap pengurusan wang. Kanak-kanak biasanya belajar dengan memerhatikan ibu bapa mereka. Jika anda mengamalkan sikap berhemah, menabung dan membuat bajet, tidak mustahil anak anda akan menerapkan amalan berkenaan dalam kehidupan seharian mereka kelak.

3. Berikan elaun

Berikan elaun dalam jumlah yang sama untuk mendidik anak-anak anda mengurus wang mereka. Sebagai contoh, beritahu anak-anak anda bahawa duit sekolah mereka ialah RM25 seminggu dan letakkan wang berkenaan dalam satu bekas. Biarkan mereka tentukan berapa yang mereka perlukan setiap hari, namun wang berkenaan tidak boleh ditambah dalam tempoh berkenaan sekiranya sudah habis. Lama-kelamaan mereka akan bijak mengurus wang supaya duit berkenaan tidak habis sebelum waktunya.

4. Didik mereka nilai pekerjaan

Galakkan anak-anak anda untuk memperoleh wang menerusi kerja-kerja di rumah, kerja sambilan atau tugasan kecil. Sebagai contoh, anda mungkin boleh memberi upah sekiranya anak anda membasuh kereta anda. Dengan cara ini, mereka akan memahami hubungan antara kerja dan wang.

5. Perkenalkan Konsep Menabung

Jelaskan mengenai kepentingan menabung dengan menyediakan tabung untuk mereka dan bukakan akaun seperti Amanah Saham Bumiputera (ASB). ASB boleh dibuka seawal usia kelahiran anak-anak anda. Galakkan mereka menabung dan menyimpan dalam ASB dengan berkongsi perkembangan pelaburan mereka setiap tahun. Apalikasi myASNB akan membantu anda mengurus pelaburan mereka dengan lebih mudah kerana akaun anak anda akan dipaparkan dalam akaun penjaga berdaftar.

kids manage money

6. Tetapkan Matlamat Menabung

Anda juga boleh menggalakkan anak-anak anda menabung dengan sama-sama menetapkan matlamat yang mereka inginkan. Selain melabur, antara matlamat jangka sederhana ialah membeli permainan impian, menikmati makanan kegemaran atau berjalan dengan rakan-rakan.

7. Ajar Mengenai Bajet

Mungkin anda berasa terlalu awal untuk memperkenalkan bajet, tetapi sebenarnya bajet merupakan kaedah mudah untuk mereka mencatat pendapatan (elaun), tabungan dan perbelanjaan. Dengan cara ini, mereka boleh memantau bagaimana mereka mengguna dan menguruskan wang

8. Keperluan VS  Kehendak

Didik mereka untuk memahami apa itu keperluan dan kehendak kerana dua perkara ini merupakan faktor utama dalam pengurusan wang dan akan menentukan sejauh mana anak-anak anda berjaya membina kehidupan selesa. Keperluan ialah apa yang kita perlu dalam kehidupan manakala kehendak ialah barangan / perkhidmatan yang biasanya hanya untuk menunjuk-nunjuk dan meningkatkan status diri dan seringkali diluar kemampuan. Mengawal kehendak akan menjauhkan mereka daripada hutang dan mengelak mereka terjerumus dalam masalah kewangan.  

9. Terapkan Konsep Memberi

Untuk kehidupan yang lebih tenang dan barakah, anak-anak anda perlu memahami erti berkongsi dan bersedekah dalam kehidupan mereka. Ia akan menjadikan anak-anak anda individu yang mempunyai empati dan tanggungjawab sosial untuk membantu mereka yang susah.

10. Perkenalkan konsep pelaburan

Seperti disebutkan sebelum ini, didik anak-anak anda untuk melabur, sebagai contoh dalam ASB. Jelaskan bahawa pelaburan akan membantu mengembangkan wang mereka menerusi dividen yang diterima, ajari mereka konsep risiko dan pulangan serta kuasa faedah kompaun.

11. Bincangkan mengenai hutang dan pinjaman

Ramai anak muda terjerumus dalam masalah kewangan kerana tidak memahami konsep hutang dan kaedar faedah yang dikenakan. Ini menyebabkan mereka mudah berhutang diluar sedar hinggakan menanggung hutang diluar kemampuan. Justeru jelaskan mengenai kad kredit, BNPL dan pelbagai pinjaman lain serta konsep asas pinjaman. Pasikan mereka faham bahawa kesan mempunyai hutang berlebihan dan diluar kemampuan.

Peralatan dan Aktiviti Sesuai

  • Elaun dan kerja rumah : berikan elaun tetap dalam jumlah yang sama setiap minggu atau upah sekiranya mereka melakukan kerja rumah
  • Carta tabungan : Sediakan carta visual untuk menunjukkan perkembangan tabungan mereka dalam merealisasikan matlamat yang diinginkan
  • Buat Bajet : Gunakan applikasi bajet mesta kanak-kanak yang boleh dimuat turun atau gunakan sahaja buku nota atau buku 555
  • Tabung : Sediakan tabung dengan label seperti Belanja, Simpan dan Sumbangan untuk memudahkan anak-anak anda mengurus wang mereka
  • Permainan : Main permainan membabitkan pengurusan wang dan membuat keputusan seperti Monopoli dan Saidina
  • Membeli belah : Bawa anak-anak anda membeli belah dan pastikan mereka terlibat dalam proses membuat keputusan terutamanya untuk barangan yang melibatkan keperluan mereka

Mendidik anak-anak bagaimana untuk mengurus kewangan akan melengkapkan mereka dengan kemahiran hidup yang penting dan bermanfaat dalam kehidupan mereka. 

Dengan bermula awal, menunjukkan tauladan yang baik dan menggunakan peralatan dan aktiviti yang praktikal, anda boleh membantu anak-anak anda menerapkan amalan pengurusan wang yang baik dan asas yang kuat untuk membina kehidupan selesa.

CTA Button-BlueYellow-BM