Ingin kira penjimatan jika anda kurangkan secawan kopi seminggu?

Perkara Anda Perlu Tahu Tentang Insurans

Insurance-peace-mind
ASNB
ASNB Academy

8 minit masa membaca

Apa Itu Insurans? 

Insurans merupakan satu perjanjian kewangan atau kontrak antara individu atau entiti (pemegang polisi) dengan syarikat insurans untuk mengurus risiko.

Apabila pemegang polisi membayar premium, syarikat insurans bersetuju memberi perlindungan kewangan dan ... terhadap risiko, kerugian dan peristiwa luar dugaan.

Tujuan memiliki insurans/takaful ialah mengurangkan kesan kewangan jika berlaku peristiwa luar dugaan, seperti kemalangan, penyakit, kerosakan harta benda dan liabiliti, menerusi penyebaran risiko antara pemegang polisi.

Terdapat beberapa kategori insurans/takaful termasuklah insurans/takaful hayat, perubatan dan am.

Insurans/takaful hayat memberi pampasan kepada penama sekiranya berlaku kematian kepada pemegang polisi atau pampasan untuk kecacatan kekal manakal insurans/takaful perubatan membiayai kos rawatan dan perubatan untuk penyakit yang dilindungi.

Sementara itu, insurans/takaful am pula melindungi kita daripada kerugian akibat kerosakan harta benda seperti motor, kereta, kebakaran dan perjalanan.

Apa-itu-insurans

Premium Insurans

Premium merupakan adalah jumlah yang perlu dibayar setiap bulan oleh pemegang polisi untuk mengaktifkan perlindungan insurans.

Premium boleh dibayar secara bulanan, setiap tiga bulan, setengah tahunan, atau tahunan, bergantung kepada kesediaan kewangan pemegang polisi.

Jumlah premium bulanan bergantung kepada faktor-faktor seperti usia, jenis insurans, dan jumlah perlindungan yang diinginkan. 

Mengapa Perlindungan Insurans Penting?  

Perlindungan insurans sangat penting kerana ia memberikan ketenangan fikiran dan membantu mengurangkan risiko kewangan dalam kehidupan.

Dalam kehidupan yang penuh ketidakpastian, insurans berperanan sebagai benteng kewangan untuk melindungi diri kita dan keluarga daripada kerugian luar jangka.

Misalnya, insurans hayat menyediakan pampasan kewangan kepada keluarga jika pemegang polisi meninggal dunia manakala insurans perubatan meringankan beban untuk kos rawatan terutamanya untuk penyakit kritikal.

Tanpa insurans/takaful, kita mungkin kehabisan wang jika berlaku perkara luar dugaan, dan tidak mustahil perlu bermula semula untuk membina tabungan.

Insurance-2

Jenis-Jenis Insurans: 

Insurans Hayat: Menyediakan pampasan kepada waris atau penerima manfaat sekiranya pemegang polisi meninggal dunia atau mengalami kecacatan kekal akibat kemalangan.

Insurans Perubatan:  Menyediakan kemudahan bayaran untuk kos rawatan untuk pelbagai penyakit termasuklah sakit biasa dan penyakit kritikal.

Insurans/takaful ini biasanya diambil ketika kita masih sihat. Dengan adanya perlindungan ini, kita tidak perlu menghabiskan terlalu banyak wang untuk membiayai kos rawatan setiap kali sakit atau disahkan mengidap penyakit kritikal.

Antara yang dibiayai termasuklah kos untuk ubat-ubatan, pembedahan, ward dan lain-lain yang berkaitan. Kebiasaannya pemegang polisi akan diberi kad perubatan yang perlu dibawa setiap kali mendapatkan rawatan.

Insurans Harta Benda: Melindungi harta benda seperti dan rumah daripada kerugian akibat kerosakan, kebakaran dan sebagainya. Pampasan akan diberikan untuk membantu pemilik kembali kepada kedudukan asal sebelum kejadian berlaku.

Insurans Pendidikan:  Biasanya berbentuk insuran barkaitan pelaburan, yang mana polisinya menggabungkan insurans hayat (pampasan akibat kematian atau kecacatan kekal) dan pelaburan untuk membina tabungan pendidikan. Pembahagian peratusan untuk pelaburan dan perlindungan adalah bergantung kepada polisi yang diambil.

Insurans Kenderaan:  Insurans ini memberi pampasan dengan membiayai kos membaiki sekiranya berlaku kemalangan atau perkara luar dugaan kepada kenderaan yang dilindungi.

Insurans kenderaan ialah wajib untuk manfaat pemilik kenderaan atai pihak ketida dan ia biasanya melindungi risiko akibat kemalangan, kecurian atau kerosakan.

Syarikat isnurans juga menawarkan perlindungan tambahan untuk cermin depan dan belakang atau untuk kerosakan akibat bencana alam (special perils). 

Insurans Perjalanan:  Insurans perjalanan pula ialah satu bentuk perlindungan kewangan untuk melindungi individu semasa mereka melancong ke destinasi luar negara atau dalam negara.

Polisi insurans perjalanan menyediakan perlindungan terhadap pelbagai risiko yang mungkin dihadapi semasa perjalanan, seperti pembatalan perjalanan, kehilangan bagasi, kemalangan peribadi, dan keperluan perubatan yang mendesak.

Pemegang polisi membayar premium untuk mendapatkan faedah perlindungan ini, yang dapat memberikan ketenangan fikiran dalam menghadapi kejadian tidak diingini semasa melancong.

Insurans perjalanan juga dapat menyelamatkan pemegang polisi daripada beban kewangan yang besar jika terjadi kejadian yang tidak dijangka, memastikan pengalaman perjalanan yang lebih selamat dan lancar.   

Pelepasan Cukai Bagi Insurans  

Beberapa jenis insurans juga menawarkan faedah pelepasan cukai. Premium yang dibayar untuk insurans hayat dan perubatan boleh diambil kira untuk mendapatkan potongan cukai sekaligus mengurangkan beban kewangan pemegang polisi.  

Tip Memilih Insurans  

Pemilihan insurans merupakan keputusan yang penting dan memerlukan penyelidikan serta pemahaman yang teliti tentang perlindungan yang ditawarkan.

Berikut adalah beberapa perkara penting yang perlu diketahui sebelum melakukan pemilihan: 

Fahami Keperluan Anda: Sebelum memilih insurans, anda perlu memahami keperluan kewangan dan juga perlindungan diri sendiri atau keluarga.

Pertimbangkan jenis risiko yang mungkin dihadapi dan juga jumlah perlindungan yang diperlukan. Contohnya individu yang menetap di lokasi yang sering dilanda banjir seharusnya mendapatkan perlindungan tambahan untuk insurans kenderaan mereka dimana mereka akan mendapat pampasan jika berlaku bencana alam seperti banjir.  

Bandingkan premium (bayaran) dari pelbagai syarikat insurans untuk mendapatkan harga yang bersaing. Jangan hanya fokus pada harga, tetapi pastikan faedah yang ditawarkan sepadan dengan jumlah yang dibayar. 

Syarat dan Terma Polisi: Baca dengan teliti syarat dan terma dalam polisi insurans. Pastikan anda memahami dengan jelas apa yang dilindungi dan apa yang tidak, serta apa yang diperlukan untuk membuat tuntutan.

insurans penting

Ketahui dengan jelas pelan pembayaran premium dan sebarang pengecualian dalam polisi. Beberapa insurans mungkin mempunyai syarat-syarat tertentu yang perlu dipenuhi sebelum faedah boleh dituntut. 

Pemantauan dan Kaji Semula: Kehidupan dan keperluan kewangan boleh berubah seiring waktu. Sentiasa pantau dan kaji semula polisi insurans anda untuk memastikan ia tetap relevan dengan perubahan dalam kehidupan anda. 

Maklumkan Keluarga: Pastikan keluarga anda memahami polisi insurans yang dimiliki dan tahu apa yang perlu dilakukan dalam keadaan kecemasan. Komunikasi yang baik dapat memudahkan proses tuntutan jika perlu.  

Pemilihan insurans yang bijak adalah langkah penting untuk melindungi kestabilan kewangan dan memberikan ketenangan fikiran.

CTA Button-BlueYellow-BM