Ingin kira penjimatan jika anda kurangkan secawan kopi seminggu?

Inflasi dan Impaknya Kepada Anda

inflasi
ASNB
ASNB Academy

5 minit masa membaca

Kita semua pernah mendengar tentang inflasi, tetapi apakah itu inflasi, dan bagaimana inflasi mempengaruhi kehidupan kita?

Bagi mereka yang berumur dalam lingkungan 40 hingga 50-an hari ini, pasti masih ingat satu ketika dahulu, sebungkus nasi lemak hanya berharga RM2 dengan nasi yang masih terasa lemak santannya dan lauk-pauk sampingan yang cukup untuk mengenyangkan perut.

Bagaimanapun, harga nasi lemak terus meningkat dari tahun ke tahun dengan saiz sebungkus semakin kecil manakala ikan bilis hanya tinggal seekor dua. Timun pula tinggal sehiris manakala telur rebus dipotong 10.

Kita melihat dan merasai semua perubahan ini, namun tiada apa yang boleh dilakukan kerana semua perkara ini adalah diluar kawalan. Inilah sebenarnya yang dinamakan inflasi.

Secara asasnya, inflasi menghakis nilai wang. Oleh itu, sekiranya anda perasan, jumlah barangan yang anda bawa pulang setiap kali keluar membeli belah, semakin berkurang berbanding sebelum ini.

Definisi Inflasi

Inflasi ialah kadar di mana paras umum harga barangan dan perkhidmatan meningkat, seterusnya menyebabkan kuasa beli semakin kecil.

Inflasi di negara ini diukur berdasarkan Indeks Harga Pengguna (IHP) yang diumumkan setiap bulan.

Bagaimana Inflasi Mempengaruhi Nilai Wang Anda

1. Kuasa Beli

Apabila inflasi meningkat, kuasa beli wang berkurangan. Secara umumnya, apabila inflasi meningkat, jumlah barangan dan perkhidmatan yang boleh dibeli semakin berkurang walaupun kita membayar dalam jumlah yang sama, atau mungkin lebih daripada itu.

2. Kos Sara Hidup

Inflasi yang lebih tinggi membawa kepada peningkatan kos sara hidup kerana perbelanjaan harian seperti makanan, perumahan dan penjagaan kesihatan menjadi lebih mahal.

inflation

3. Simpanan dan Pelaburan

Inflasi boleh menghakis nilai simpanan jika kadar faedah yang diberi untuk simpanan atau pelaburan adalah lebih rendah berbanding kadar inflasi. Sebagai contoh, sekiranya inflasi berada pada kadar 3%, pelaburan atau simpanan yang memberi pulangan 2% tidak mampu melindungi nilai wang daripada mengecil.

Oleh itu, apabila ingin melabur, adalah sebaiknya anda mencari pelaburan yang memberi pulangan melebihi kadar inflasi untuk memastikan nilai wang anda boleh berkembang untuk melindungi nilainya.

4. Gaji

Sewajarnya gaji meningkat seiring dengan peningkatan kadar inflasi supaya pengguna dapat mengekalkan kuasa beli, namun perkara ini sangat jarang berlaku.

Justeru pengguna perlu menyesuaikan gaya hidup dengan kadar inflasi semasa. Kaedaan ini pastinya memberi tekanan kepada pengguna untuk mengurus wang. Namun begitu sebaiknya janganlah bergantung kepada hutang seperti kad kredit atau pinjaman peribadi untuk meneruskan hidup.

Sebagai pengguna, kita perlulah bijak mengatur gaya hidup dengan bertukar kepada barangan dan perkhidmatan yang berada dalam kemampuan, dan bukannya untuk memuaskan kehendak semata-mata.

Jenis Inflasi

1. Inflasi Tarik Permintaan

Inflasi jenis ini berlaku apabila permintaan untuk barangan dan perkhidmatan melebihi penawaran, menyebabkan peningkatan harga.

2. Inflasi Tolakan Kos

Berlaku apabila kos pengeluaran meningkat. Untuk menampung kos pengeluran, harga barangan siap dan perkhidmatan yang ditawarkan turut dinaikkan.

inflation

3. Inflasi Terbina Dalam

Hasil daripada jangkaan penyesuaian, apabila harga barangan dan perkhidmatan meningkat, pekerja akan meminta kenaikan gaji untuk menampung kos sara hidup. Peningkatan gaji menyebabkan peningkatan kos pengeluaran seterusnya menaikkan harga barangan.

Mengawal Inflasi

Kerajaan dan bank pusat menggunakan pelbagai mekanisma untuk menguruskan inflasi. Antaranya termasuklah:

1. Dasar Monetari: Melaraskan kadar faedah dan mengawal bekalan wang, antaranya dengan meningkat atau mengurangkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang dikenakan kepada bank. Perubahan dalam OPR memberi kesan kepada kadar faedah pinjaman seperti pinjaman perumahan dan peribadi.

2. Dasar Fiskal: Mengubah kadar cukai dan perbelanjaan kerajaan untuk mempengaruhi ekonomi.

Strategi Pelaburan Dan Inflasi

1. Pulangan Nyata

Inflasi yang meningkat menyebabkan pulangan sebenar daripada pelaburan juga mengecil. Sebagai contoh, jika pelaburan memberi pulangan 5%, tetapi kadar inflasi semasa ialah 3%, pulangan sebanyak hanyalah 2%.

Namun sekiranya anda melabur untuk jangka panjang, pulangan terkumpul masih memberi anda peluang untuk mengembangkan modal dan melindungi nilai wang daripada mengecil.

2. Saham

Pelaburan dalam pasaran ekuiti mungkin boleh membantu anda melindungi nilai wang daripada inflasi kerana syarikat biasanya akan menaikkan harga untuk bersaing dengan inflasi, seterusnya mengekalkan keuntungan dan daya saing.

Bagaimanapun, inflasi yang terlalu tinggi boleh meningkatkan kos dan mengurangkan margin keuntungan.

3. Aset

Pelaburan dalam aset seperti hartanah dan komoditi sering menunjukkan prestasi yang baik semasa tempoh inflasi kerana nilainya cenderung meningkat berbanding inflasi.

Kesimpulan

Inflasi memberi kesan yang besar dalam kehidupan kerana ia mempengaruhi kuasa beli kita sebagai pengguna. Oleh itu, memahami kesan inflasi adalah penting untuk membantu kita membuat keputusan kewangan yang bijak, sama ada dalam menyusun belanjawan, mengambil pinjaman atau membuat pelaburan.