Proses Tuntutan Faraid
Apa itu Faraid?
Faraid merupakan hukum pembahagian harta pusaka yang ditetapkan untuk orang Islam untuk pengagihan harta kepada waris yang layak selepas pemiliknya meninggal dunia. Faraid berasal daripada perkataan Arab yang bermaksud "bahagian" atau "pembahagian".
Mengikut portal rasmi E-Syariah, harta pusaka (Faraid) terbahagi kepada dua, iaitu:
a) Harta tidak alih seperti tanah dan rumah.
b) Harta alih seperti wang simpanan bank, saham-saham, KWSP, Tabung Haji, insuran, Koperasi, kenderaan, barang-barang kemas, dan seumpamanya.
Harta akan Dibekukan
Apabila pemilik harta yang beragama Islam meninggal dunia tanpa sebarang pesanan seperti membuat hibah atau wasiat, secara automatik semua harta yang ditinggalkan akan dibekukan dan kemudiannya akan dibahagikan mengikut Faraid.
Mana-mana waris atau saudara terdekat si mati tidak dibenarkan membuat sebarang pengeluaran, pindah milik dan jual beli harta tak alih si mati tanpa terlebih dahulu mendapatkan Surat Kuasa Mentadbir daripada Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) atau Mahkamah Tinggi Sivil mengikut nilaian harta si mati.
Sebelum proses permohonan bagi mendapatkan surat kuasa mentadbir dibuat, permohonan bagi mendapatkan perintah faraid hendaklah dilakukan terlebih dahulu di Mahkamah Syariah bagi menentukan waris-waris yang berhak menerima harta si mati serta bahagian-bahagian mereka.
Untuk memulakan proses tuntutan ada beberapa langkah yang perlu diambil oleh waris:
Proses Tuntutan Faraid
Langkah pertama yang perlu dilakukan ialah memilih pentadbir dari kalangan waris si mati yang dipersetujui semua waris. Sekiranya tiada persetujuan, waris boleh memilih individu yang bukan waris seperti pemegang amanah atau peguam untuk membuat tuntutan dengan persetujuan bersama.
Pemilihan pentadbir penting kerana mereka inilah yang bertanggungjawab memohon sijil faraid dan akan uruskan penjualan atau pembahagian harta si mati. Selain itu, mereka juga bertanggungjawab mengeluarkan duit si mati dari bank, KWSP, dan institusi lain selepas mendapat surat kuasa mentadbir.
Pentadbir juga perlu mengenalpasti semua waris yang layak mewarisi harta si mati. Selain itu, pentadbir perlu menyemak dan mengenalpasti semua harta milik si mati, termasuk membuat carian untuk mengetahui mengenai akaun bank dan sebarang hutang yang ada.
Selepas semua harta dan waris sudah dikenal pasti, pentadbir perlu memfailkan permohonan untuk sijil faraid di mahkamah syariah yang terdekat.
Dokumen untuk Tuntutan Faraid
Proses tuntutan faraid akan memerlukan penyediaan dokumen dengan rapi. Dokumen yang diperlukan termasuk:
• Salian sijil kematian / permit penguburan / perintah anggapan si mati
• Salinan kad pengenalan pemohon
• Salinan sijil lahir / kad pengenalan waris-waris
• Salinan surat perakuan nikah/rujuk/cerai
• Salinan dokumen berkenaan harta, ini merangkumi semua dokumen contohnya seperti geran tanah, penyata bank, dan lain-lain.
Untuk memulakan proses tuntutan faraid, waris atau pentadbir dilantik perlu menghantar borang serta dokumen yang diperlukan untuk memohon sijil faraid di Mahkamah Syariah kerana hanya Mahkamah Syariah yang mempunyai bidang kuasa untuk menentukan waris yang berhak.
Proses Pendengaran tuntutan Faraid
Apabila permohonan diterima, Mahkamah Syariah akan menetapkan tarikh untuk pendengaran. Pada sesi tersebut, mahkamah akan mendengar keterangan daripada semua waris dan mengumpulkan maklumat mengenai harta pusaka yang terlibat.
Berdasarkan maklumat yang diterima, mahkamah kemudiannya akan membuat keputusan mengenai pembahagian harta. Keputusan ini akan dikeluarkan dalam bentuk Perintah Faraid, yang mengandungi hak setiap waris terhadap harta tersebut.
Perlu diingat, perintah faraid bukanlah dokumen yang boleh digunakan untuk membahagikan harta. Ia cuma berfungsi untuk mengesahkan siapa waris yang berhak dan menentukan bahagian mereka mengikut hukum syarak.
Prosedur Pembahagian Harta
Harta Tidak Melebihi Nilai RM2 juta
Jika harta si mati melibatkan rumah, tanah, atau hartanah lain, dan jumlah keseluruhan harta termasuk wang tunai, barang kemas, KWSP, saham, dan lain-lain tidak melebihi RM2 juta, permohonan surat kuasa mentadbir perlu dibuat di Pejabat Pesaka Kecil.
Pejabat Pesaka Kecil akan memproses surat pentadbir, termasuklah untuk pembahagian harta seperti wang tunai, saham, dan lain-lain.
Harta Melebihi nilai RM 2juta
Sekiranya harta si mati melibatkan hartanah seperti rumah, tanah, atau hartanah komersil, dan jumlah keseluruhan harta termasuk wang tunai, KWSP, saham, dan lain-lain melebihi RM2 juta, permohonan surat kuasa mentadbir perlu dibuat di Mahkamah Tinggi Sivil yang berdekatan, sama ada mengikut tempat kematian si mati atau tempat tinggal pentadbir.
Harta bernilai antara RM600,000 hingga RM2 juta
Andai kata aset si mati tidak melibatkan tanah, rumah, atau hartanah lain contohnya hartanah komersil, dan jumlah keseluruhan harta—termasuk wang tunai, KWSP, saham, dan sebagainya lebih atau kurang dari RM2 juta, tetapi tidak kurang dari RM600,000, permohonan tetap perlu dirujuk di Mahkamah Tinggi Sivil berdekatan dengan tempat kematian si mati atau tempat tinggal pentadbir.
Harta Tidak Melebihi Nilai RM 600,000
Sekiranya harta si mati tidak melibatkan tanah, rumah, atau hartanah lain seperti hartanah komersil, dan jumlah keseluruhan harta termasuk wang tunai, KWSP, saham, serta aset lain tidak melebihi RM600,000, urusan pembahagian harta tersebut perlu dirujuk kepada Amanah Raya Berhad.
Harta si mati yang termasuk dalam kategori ini dikenali sebagai pesaka ringkas yang merujuk kepada aset dengan nilai yang lebih kecil. Proses pengurusan pesaka ringkas biasanya lebih mudah dan cepat berbanding dengan harta yang melibatkan hartanah, kerana ia tidak memerlukan prosedur perundangan yang rumit dan tidak melibatkan proses di mahkamah.
Kesimpulan
Proses tuntutan harta pusaka tidak semudah yang disangka lebih-lebih lagi jika membabitkan sejumlah harta yang besar nilainya. Oleh itu, kita digalakkan membuat perancangan perwarisan ketika masih hidup untuk memudahkan waris menguruskan harta yang kita tinggalkan.
Malahan perancangan perwarisan yang berkesan dapat membantu kita melindungi waris daripada teraniaya terutamanya sekiranya kita hanya mempunyai anak perempuan, anak yang masih kecil dan anak angkat.
Antara langkah proaktif yang boleh diambil ketika kita masih hidup ialah dengan membuat wasiat dan Hibah seperti Hibah Amanah.
Sorotan
1. Waris atau wakil waris mesti memohon Sijil Faraid di Mahkamah Syariah, yang akan menentukan waris yang berhak terhadap harta yang ditinggalkan.
2. Sijil faraid bukan instrumen pembahagian tetapi mengesahkan identiti waris dan bahagian mereka.
3. Setelah sijil faraid diperoleh, proses pembahagian harta boleh dimulakan selepas waris menyelsaikan terlebih dahulu perbelanjaan penyelenggaran jenazah, hutang si mati dan pembahagian harta sepencarian jika ada tuntutan.
4. Kita digalakkan untuk merancang pengurusan harta melalui wasiat dan hibah bagi memudahkan waris meneruskan kehidupan dan mengelak konflik perebutan harta.
Sumber: e-Syariah