Ingin kira penjimatan jika anda kurangkan secawan kopi seminggu?

Ekonomi Malaysia catat prestasi baik setakat ini

Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff- BM
Prof-Madya-Ahmed-Razman
Prof. Madya Dr. Ahmed Razman bin Abdul Latiff

7 minit masa membaca

Tahun 2024 menyaksikan pertumbuhan ekonomi Malaysia yang amat positif kerana didorong oleh lonjakan permintaan domestik serta pemulihan berterusan eksport, walaupun berdepan keadaan global yang tidak menentu yang menyebabkan kelemahan permintan dan pertumbuhan di kebanyakan negara.

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku tahun pertama mencatatkan pertumbuhan 4.2% dan telah meningkat dengan lebih tinggi kepada 5.9% pada suku tahun kedua.

Ini menjadikan kadar pertumbuhan ekonomi negara bagi separuh tahun pertama 2024 sebanyak 5.1%, yang lebih tinggi daripada separuh tahun pertama 2023 iaitu 4.1%.

Ini memberi keyakinan untuk Malaysia mencatatkan kadar pertumbuhan yang lebih tinggi dari unjuran 2024 iaitu antara 4% hingga 5%.

Permintaan domestik terus melonjak 6.9% pada suku tahun kedua 2024 berbanding 6.1% pada suku tahun pertama.

Peningkatan berlaku disebabkan perbelanjaan pengguna semasa musim cuti Aidilfitri dan Aidiladha serta pengeluaran Akaun Fleksibel Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Peningkatan tersebut juga disokong oleh kenaikan perbelanjaan modal dalam sektor awam dan swasta.

Dari sudut penawaran, pertumbuhan pada suku tersebut disokong oleh sektor perkhidmatan yang berdaya tahan serta pertumbuhan menggalakkan dalam sektor lain.

pertumbuhan ekonomi

Selain itu, beberapa indikator makro ekonomi turut mencatatkan peningkatan seperti jumlah pekerjaan yang meningkat 2.8% kepada 16.6 juta pekerja. 190,000 pekerjaan baharu telah dicipta sekali gus mendorong kadar pengangguran kekal rendah pada 3.3%.

Kenaikan gaji dan upah bagi sektor-sektor perkhidmatan dan pembuatan juga kekal memberangsangkan iaitu masing-masing pada 3.5% dan 1.4%.

Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPI) meningkat pada kadar lebih tinggi iaitu 4.5% pada suku tahun kedua 2024 berbanding 3.3% pada suku tahun pertama.

Kenaikan ini dipacu oleh momentum positif dalam semua sektor iaitu elektrik (5.3%), pembuatan (4.9%) dan perlombongan (2.4%).

Nilai kerja pembinaan melonjak 20.2% kepada RM38.9 bilion pada suku tahun kedua 2024 berbanding peningkatan 14.2% (RM36.8 bilion) pada suku tahun pertama 2024.

Pertumbuhan ini dipacu oleh prestasi yang memberangsangkan dalam subsektor-subsektor kejuruteraan awam (25.2%) dan bangunan kediaman (19.7%).

Ia juga telah disokong oleh peningkatan ketara dalam aktiviti pembinaan khas (44.9%) dan prestasi baik dalam subsektor bangunan bukan kediaman (7.2%).

Dari perspektif sektor luar negeri, jumlah dagangan Malaysia berkembang sebanyak 10% kepada RM705.6 bilion. Eksport kasar meningkat 5.8% kepada RM368.8 bilion dan import kasar berkembang sebanyak 15% kepada RM336.8 bilion.

Malaysia telah mengekalkan lebihan dagangan yang berjumlah RM32 bilion pada suku tahun kedua 2024, yang merupakan lebihan dagangan sejak Mei 2020.

Lebihan akaun semasa dalam Imbangan Pembayaran menguncup kepada RM3 bilion atau 0.7% daripada Pendapatan Negara Kasar (suku tahun pertama 2024: 3.6%; RM16.2 bilion).

Penyusutan ini adalah disebabkan oleh lebihan dalam akaun barangan yang lebih rendah dan defisit dalam akaun pendapatan primer yang lebih tinggi.

Walau bagaimanapun, akaun perkhidmatan mencatatkan defisit lebih kecil berikutan peningkatan ketibaan pelancong. 

Pelaburan langsung asing (FDI) bersih adalah sebanyak RM9.1 bilion (suku tahun pertama 2024: RM5.5 bilion), yang khususnya dari Jepun, Singapura, Hong Kong, Amerika Syarikat dan China.  

Kenyataan oleh Jawatankuasa Pasaran Kewangan (FMC), Bank Negara Malaysia (BNM), pada 9 Oktober 2024 bahawa ringgit merupakan antara matawang yang sedang menunjukkan prestasi terbaik pada peringkat global, mengukuh kepada 14.4 peratus berbanding dolar AS pada suku ketiga 2024 dan 11.4 peratus pada asas sejak awal tahun sehingga kini.

Prestasi ringgit bertambah baik didorong oleh kekukuhan ekonomi domestik serta usaha bersepadu Kerajaan dan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk meningkatkan permintaan terhadap mata wang tempatan.

Kadar inflasi pada bulan Ogos kekal rendah pada 1.9% berbanding 1.7% pada suku tahun pertama 2024. Bagi perbandingan inflasi dengan negara-negara terpilih, inflasi di Malaysia (1.9%) adalah lebih rendah berbanding inflasi di Vietnam (3.5%), Filipina (3.3%), Indonesia (2.1%) dan Korea (2.0%).

Bank Negara Malaysia (BNM) mempengaruhi kadar faedah yang dikenakan oleh bank domestik melalui kadar faedah dasar, Kadar Dasar Semalaman (OPR).

kadar faedah

OPR akan mempengaruhi kadar faedah ke atas pinjaman dan deposit pengguna dan perniagaan, yang kemudiannya akan mempengaruhi keputusan simpanan dan perbelanjaan isi rumah dan perniagaan.

Jawatankuasa Polisi Monetari di bawah BNM memutuskan sama ada OPR berada pada tahap yang sesuai untuk mengekalkan kestabilan harga sambil menyokong aktiviti ekonomi.

Secara teorinya, kadar OPR yang tinggi akan menyebabkan bank mengenakan kadar faedah yang lebih tinggi untuk simpanan dan juga pinjaman.

Ini akan menyebabkan ramai yang akan lebih cenderung menyimpan dan tidak akan meminjam, sekaligus memperlahankan aktiviti ekonomi. Kadar OPR yang rendah pula akan menyebabkan pengguna lebih cenderung mengambil pinjaman dan sekaligus meningkatkan aktiviti ekonomi.

Kadar OPR pada awal 2023 adalah 2.75% yang kemudiannya dinaikkan kepada 3.0% pada Mei 2023 dan kekal sehingga kini.

Kadar OPR yang tertinggi pernah dikenakan sejak 20 tahun lepas ialah 3.5% (April 2006 hingga Ogos 2008) dan terendah ialah 1.75% (Julai 2020 hingga Mac 2022).

Kemungkinan kadar 3.0% ini akan kekal sepanjang tahun ini mengambil perkembangan semasa iaitu keputusan Rezab Persekutuan Amerika Syarikat yang menurunkan kadar faedah kepada 5% pada September 2024, penurunan pertama sejak Mac 2020.

Ini menyebabkan kadar OPR yang ditetapkan oleh BNM lebih kompetitif kepada pelabur antarabangsa dan jika kadar OPR diturunkan, kelebihan itu tidak akan ada lagi.

Selain itu, walaupun OPR tidak diturunkan, pertumbuhan ekonomi masih lagi berlaku iaitu dari segi pertumbuhan KDNK.

Secara kesimpulannya, Malaysia telah mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang amat memberangsangkan pada tahun ini dan juga dijangka akan berterusan sehingga ke tahun hadapan.

Laporan Statistik Upah Pekerja (Sektor Formal) Suku Tahun Pertama 2024 menunjukkan median upah bulanan pekerja sektor formal meningkat kepada RM2,844 pada Mac 2024 berbanding RM2,782 pada Februari 2024.

Ini bermakna lebihan pendapatan isi rumah telah meningkat, sekaligus meningkatkan kualiti hidup rakyat.

Seeloknya lebihan pendapatan ini harus dimanfaatkan sepenuhnya dengan cara menyimpan atau juga melabur supaya aset dan kekayaan individu tersebut dapat berkembang dan juga menjadi lebih mampan.

Jangan habiskan lebihan pendapatan dengan berbelanja besar kerana penting untuk memastikan masa depan lebih terjamin dengan mendapat pulangan atas simpanan dan pelaburan.

Strategi yang paling bijak ialah melabur di dalam pelaburan yang terjamin dan terbukti prestasi pulangannya seperti Amanah Saham Bumiputera atau Amanah Saham Nasional.

CTA Button-BlueYellow-BM