Ingin kira penjimatan jika anda kurangkan secawan kopi seminggu?

Tip Bijak Berbelanja untuk Jualan Akhir Tahun

panduan-jualan-akhir-tahun
ASNB
ASNB Academy

8 minit masa membaca

'Jualan Hujung Tahun' merupakan antara waktu yang dinanti-nantikan kerana pada ketika inilah pelbagai tawaran menarik dan diskaun ditawarkan untuk orang ramai.

Tidak kiralah berbelanja untuk perayaan atau mungkin sebagai “self-reward” setelah berhempas pulas bekerja sepanjang tahun, kita perlu berhati-hati supaya tidak terjebak dalam perangkap jualan murah hingga terlebih belanja dan akhirnya dibebani hutang berpanjangan.

Dalam artikel ini, kami kongsikan beberapa tip yang boleh anda jadikan panduan untuk mengelak terlebih belanja di musim jualan hujung tahun ini.

1. Tetapkan Bajet dan Patuhinya

  • Tentukan Had Perbelanjaan: Langkah pertama untuk bantu anda kawal perbelanjaan adalah dengan menyediakan bajet yang jelas dan juga realistik. Bahagikan perbelanjaan kepada beberapa kategori dan jangan lupa untuk tetapkan had untuk setiap kategori supaya anda tidak berbelanja lebih daripada yang dirancang. Ini akan membantu anda mengawal perbelanjaan dan memberi tumpuan pada perkara yang benar-benar penting.
contoh-bajet-bulanan-hujung-tahun
  • Keperluan vs Kehendak: Sebelum melangkah ke pusat membeli-belah atau log masuk ke aplikasi dalam talian, buat dahulu senarai keperluan dan kehendak. Keperluan adalah barang yang memang anda perlu beli, sementara kehendak adalah barang yang anda mahu, tetapi tidak perlu. Utamakan keperluan, dan jika ada duit lebih, bolehlah fikirkan pasal barangan "keinginan" itu.
  • 2. Senaraikan Barangan yang Hendak Dibeli untuk Elak Pembelian Impulsif

    • Senarai Barang yang Spesifik: Senaraikan secara spesifik barangan yang ingin dibeli sebelum mula berbelanja. Contohnya, tulis “ t-shirt dibawah RM25 sehelai” bukan sekadar tulis “pakaian”.
    • Patuh pada Senarai: Pastikan anda patuh pada senarai supaya anda tidak membeli barangan yang tidak perlu semata-mata kerana ada diskaun. Kuatkan hati dan fokus untuk membeli barangan dalam senarai sahaja.

    3. Bandingkan Harga

    • Gunakan Diskaun: Sebelum membeli, semak dan bandingkan harga barang yang ingin dibeli untuk memastikan diskaun yang ditawarkan adalah tulen dan benar-benar berbaloi. Sebenarnya banyak tawaran diskaun hanyalah 'scam' semata-mata, yang sememangnya 'indah khabar, dari rupa'.
    • Bandingkan Harga: Ada pelbagai aplikasi boleh digunakan untuk membuat perbandingan harga untuk mengelak terpedaya. Seringkali harga yang kononnya harga tawaran, adalah harga sebenar barangan berkenaan.

    4. Bayar Tunai atau Guna Kad Debit, Bukan Kad Kredit

    • Elak dari Menggunakan Kad Kredit: Menggunakan kad kredit mempunyai risiko untuk anda terlebih berbelanja kerana had pinjaman yang biasanya lebih tinggi berbanding kemampuan anda.
    • Jika ingin menggunakan kad kredit, pastikan anda mempunyai tunai untuk mambayar semula belian anda dalam tempoh bebas kadar faedah.

    5. Cashback dan Program Kesetiaan

    • Manfaatkan Ganjaran: Ada aplikasi pembayaran yang menawarkan 'cashback' untu belian tertentu. Gunakan peluang ini untuk membeli barangan yang dirancang untuk menikmati ganjaran berkenaan.
    • Program Kesetiaan : Banyak kedai yang mempunyai program kesetiaan pelanggan, sehinggakan sekiranya anda mempunyai mata yang cukup, anda mungkin dapat membeli barangan pada separuh harga atau mungkin juga percuma.
    keperluan vs keinginan

    6. Utamakan Kualiti, Bukan Hanya Diskaun

    • Fokus Pada Nilai: Jangan membeli hanya kerana diskaun, tetapi lihat juga kualiti barang yang diinginkan supaya barangan berkenaan tahan lama dan berbaloi dengan harga.

    7. Berbelanja dengan Strategik

    • Berbelanja Awal atau Dihujung Musim: Ada kedai yang berikan tawaran diskaun untuk 100 pembeli terawal atau sekiranya anda membeli pada hari dan tarikh tertentu. Rancang diari membeli belah anda supaya anda boleh mengembil kesempatan daripada tawaran ini.
    • Gunakan Troli Online: Apabila menggunakan aplikasi membeli belah secara dalam talian, letak sahaja barangan dalam troli untuk aktifkan 'reminder' supaya apabila ada sahaja diskaun hebat, anda menerima notifikasi dan boleh terus membeli.

    8. Semak Perbelanjaan Anda

    • Pantau Perbelanjaan: Sentiasa semak perbelanjaan semasa anda dengan membuat bajet secara manual atau menggunakan aplikasi bajet. Dengan cara ni, anda sentiasa tahu berapa banyak yang telah anda belanja dan berapa banyak lagi yang boleh dibeli.
    • Susun semula jika perlu : Sekiranya anda sudah hampir mencapai peruntukan yang ditetapkan, semak dan susun semula barangan yang ingin dibeli supaya anda tidak terlebih belanja.
      tip-sale-periksa-sebelum-beli.

    9. Fokus Impian Kewangan

    • Ingat Matlamat Kewangan Anda: Sekiranya anda mempunyai keinginan untuk berbelanja diluar bajet, ingatkan semula diri anda mengenai matlamat kewangan yang ingin dicapai.
    • Bukan tidak boleh berbelanja, tetapi anda perlu berhati-hati supaya perbelanjaan hujung tahun tidak mengganggu kemampuan anda melabur.
    • Yang pasti matlamat jangka panjang anda adalah lebih penting berbanding kepuasan segera yang anda peroleh daripada keinginan untuk 'self reward' atau semata-mata kerana anda ingin menimbulkan rasa kagum orang lain terhadap anda.

    10. Tetapkan Bajet untuk Hadiah

    • Bajet Hadiah: Sekiranya ingin membeli hadiah, tetapkan bajet untuk setiap orang, contohnya ibu, bapa, adik dan sahabat baik.
    • Cari hadiah yang bermakna tapi sesuai dengan kemampuan anda. Contohnya, anda ingin menghadiahkan ibu sepasang kasut, namun bajet anda hanya cukup untuk kasut dibawah RM100. Justeru, carilah kasut yang selesa walau tidak berjenama mewah. Hadiah sepatutnya datang dari hati yang ikhlas, bukannya untuk menimbulkan rasa kagum penerima semata-mata atau bertanding dengan orang lain.
    • Pertimbangkan Hadiah Buat Sendiri : Jika bajet anda memang terhad, tidak salah untuk buat sendiri hadiah untuk yang tersayang. Pada masa ini ada banyak laman web dan akaun media sosial yang berkongsi bagaimana anda boleh menghasilkan hadiah yang menarik tanpa membabitkan kos yang mahal.

    11. Elakkan Pelan "Beli Dulu, Bayar Kemudian"

    • Elak berhutang: Godaan kemudahan "Beli Dulu, Bayar Kemudian" sememangnya sukar ditepis lebih-lebih lagi kerana anda membayangkan anda hanya perlu membayar dalam jumlah yang kecil setiap bulan.
    • Mungkin ia memberi kelebihan kepada anda untuk membeli barangan yang diinginkan, tetapi kewangan anda mungkin semakin sukar apabila anda perlu mula membayar ansuran bulanan pada masa depan.

    Jualan hujung tahun boleh dijadikan masa yang baik untuk membeli barang yang anda perlukan pada harga lebih murah. Namun, menguruskan wang dengan bijak adalah kunci untuk elak terlebih berbelanja.

    Dengan menetapkan bajet, membuat senarai, membandingkan harga, dan memantau perbelanjaan, anda boleh menikmati jualan hujung tahun tanpa menjejaskan kestabilan kewangan.

    Fokus kepada keperluan berbanding kehendak dan ingat matlamat kewangan anda supaya anda akan membuat keputusan yang bijak dan mengakhiri tahun ini dengan positif.

    Sorotan

    • Gunakan teknologi dan aplikasi kewangan untuk bantu anda kawal perbelanjaan.
    • Utamakan keperluan daripada keinginan supaya tidak terjebak dalam pembelian impulsif, dan perbelanjaan anda boleh berikan nilai jangka panjang.
    • Sentiasa rancang dan tetapkan matlamat kewangan supaya tidak terperangkap dalam kitaran hutang.