Mak Ayah Dah Buka akaun ASNB? Masa Untuk Semak

Lebih 2.16 juta rakyat Malaysia mempunyai akaun ASNB yang dibuka ketika mereka masih kanak-kanak.
Namun, hampir 150,000 daripada akaun tersebut tidak mencatatkan sebarang transaksi dalam tempoh dua tahun yang lalu.
Jika ibu bapa atau penjaga pernah membuka akaun ASNB untuk anda, mungkin sudah tiba masanya untuk menyemak semula akaun tersebut.
"Mak Ayah Dah Bukakan Dulu..."
Anda mungkin pernah dengar ayat ini.
Sejak dahulu lagi, membuka akaun ASNB menjadi antara langkah awal yang diambil oleh ibu bapa dan datuk nenek untuk masa depan kewangan anak-anak dan cucu mereka.
Walaupun ketika itu anak-anak masih belum memahami apa itu pelaburan, ibu bapa sudah pun memulakan langkah pertama bagi pihak mereka.
Malah, lebih 2.16 juta rakyat Malaysia mempunyai akaun ASNB yang dibuka ketika mereka masih di bawah umur.
Akaun yang Sudah Lama Tidak Diuruskan
Masa terus berlalu, daripada alam persekolahan ke universiti, kemudian melangkah ke alam pekerjaan dan membina keluarga sendiri.
Dalam kesibukan menjalani kehidupan, tidak mustahil akaun ASNB yang pernah dibukakan ketika kecil semakin dilupakan.
Mungkin anda sendiri pernah terfikir:
"Eh... rasanya mak ayah ada buka akaun ASNB untuk aku dulu."
Tetapi fikiran itu berlalu begitu sahaja.
Data ASNB menunjukkan hampir 150,000 akaun yang dibuka ketika pemegangnya masih di bawah umur tidak mencatatkan sebarang transaksi dalam tempoh dua tahun yang lalu.
Ini tidak semestinya bermakna akaun tersebut sudah tidak wujud.
Mungkin kerana ramai yang tidak sedar mereka sudah pun mempunyai akaun.
Bagaimana Jika Anda Salah Seorang Daripadanya?
Jika ibu bapa atau penjaga pernah membukakan akaun ASNB untuk anda, pelaburan pertama anda mungkin telah bermula lebih awal daripada yang anda sangkakan.
Ramai beranggapan mereka perlu memulakan semuanya dari awal.
Hakikatnya, langkah pertama itu mungkin sudah diambil bertahun-tahun dahulu oleh seseorang yang mahukan masa depan yang lebih baik untuk anda.
Sebab itu, tidak salah untuk meluangkan sedikit masa menyemak sama ada anda sudah mempunyai akaun ASNB.
Bagaimana Untuk Membuat Semakan?
Jika anda pernah menggunakan aplikasi myASNB, cuba log masuk dan semak maklumat akaun anda.
Tidak pasti sama ada anda mempunyai akaun? Atau sudah lama tidak mengaksesnya?
Jangan risau.
Pegawai di cawangan ASNB boleh membantu anda menyemak sama ada akaun pernah dibuka atas nama anda serta menerangkan langkah seterusnya.
Dalam artikel seterusnya, kami akan kongsikan cara mudah untuk menyemak sama ada anda sudah mempunyai akaun ASNB.
Mungkin Perjalanan Anda Sudah Bermula
Ramai ibu bapa berharap dapat memberikan permulaan yang baik kepada anak-anak mereka.
Bagi sesetengah keluarga, ia bermula dengan sebuah akaun ASNB.
Jika anda antara jutaan rakyat Malaysia yang dibukakan akaun ASNB ketika kecil, mungkin inilah masanya untuk mengetahui sejauh mana perjalanan itu telah bermula.
Baca: Cara Semak Sama Ada Anda Sudah Ada Akaun ASNB
