Ingin kira penjimatan jika anda kurangkan secawan kopi seminggu?

Berbaloikah Bersara di Kampung?

Ikhwan Hafiz Hassan - BM_fixed
ihkwan-hafiz-guest-writer
Ikhwan Hafiz Hassan

6 minit masa membaca

“Aku dah lama kerja di bandar, lepas bersara nanti nak duduk di kampung je la”.

Mesti pernah dengar ayat di atas bukan? Seringkali kita mendengar golongan yang bekerja di bandar mempunyai hasrat untuk pulang ke kampung halaman dan tinggal di kampung selepas bersara.

Bagi orang yang telah biasa menetap di kampung pula tidak menjadi masalah untuk terus menetap di sana kerana sememangnya di sanalah tempat mereka membesar dan bekerja.

Menurut anda mengapa golongan bandar ini ingin pulang ke kampung? Bukankah di bandar jauh lagi menarik kerana mempunyai akses kepada lebih banyak tempat serta kehidupan bandar jauh lebih moden?

Jawapan popular yang sering diberikan adalah:

  • Inginkan ketenangan
  • Tidak mahu terperangkap dengan kesesakan lalu lintas
  • Kos sara hidup di kampung lebih murah
  • Nak bina rumah kampung yang lebih besar

Walaubagaimanapun, pernahkah kita bertanya kepada diri sendiri sama ada perlu atau tidak untuk kita memiliki rumah untuk bersara di kampung? Setiap orang mungkin mempunyai pendirian masing-masing.

Sesetengah orang mungkin berpandangan menjalani kehidupan persaraan di kampung adalah yang terbaik.

rumah bersara

Namun, saya mempunyai pendapat yang berbeza bagi perkara ini. Mari saya ulaskan.

1.      Kos

Salah satu sebab saya merasakan bahawa tidak ada keperluan untuk mempunyai rumah untuk bersara di kampung adalah kerana kos.

Kos untuk membina rumah di kampung tidak dilihat sebagai satu keperluan ketika kita sudah memiliki rumah di bandar. Terdapat golongan yang mungkin menggunakan wang simpanan KWSP untuk membina rumah di kampung.

Untuk pengetahuan anda, pihak KWSP menyasarkan simpanan asas yang perlu ada oleh semua individu adalah sebanyak RM240,000. Ia merupakan simpanan asas yang diperlukan oleh seseorang untuk menyara kehidupan sekurang-kurangya 20 tahun selepas bersara.

Bayangkan sekiranya sesetengah orang akan menggunakan wang simpanan KWSP untuk membina rumah di kampung selepas bersara, sudah tentu ia menelan kos yang tinggi.

Agak-agak berapa pula baki yang tinggal selepas itu? Adakah masih mencukupi untuk makan minum, membayar bil utiliti serta kos penjagaan kesihatan?

Namun, bagi yang mempunyai simpanan wang KWSP yang banyak ia tidak menjadi masalah. Anda perlu tahu menguruskan wang simpanan sendiri.

2.      Menyesuaikan diri dalam kejiranan yang baru

Saya juga berpandangan bahawa bukankah agak janggal untuk pulang semula ke kampung untuk memulakan kehidupan baru setelah bertahun-tahun lamanya menetap di bandar?

Salah satu cabaran yang dihadapi apabila memulakan kehidupan baru di kampung adalah untuk menyesuaikan diri dalam kejiranan yang baru di kampung.

3.      Sunyi

Kebarangkalian untuk anak-anak terus menetap di bandar bagi peluang pekerjaan adalah lebih tinggi berbanding pulang ke kampung bersama-sama.

Alangkah baiknya juga jika kita tinggal berdekatan dengan anak di bandar kerana kita boleh mengambil alih tugas untuk menjaga cucu ketika sedang anak sibuk bekerja.

Ini juga sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka daripada perlu menghantar anak mereka ke pusat jagaan pada setiap hari.

Tidak lupa juga tinggal di bandar menjaga cucu dapat mengeratkan hubungan dengan cucu serta anak. Kita juga tidaklah berasa kesunyian tinggal di kampung.

bersara

 4.      Jauh dari Pusat Kesihatan

Setelah kita semakin berusia, antara perkara yang perlu diambil perhatian adalah kesihatan. Antara penyakit yang sering menyerang golongan emas adalah seperti kencing manis, sakit jantung, dan tinggi kolesterol.

Penyakit seperti ini berpotensi untuk menyerang kita pada bila-bila masa sahaja. Duduk di bandar memberikan kita akses yang lebih mudah dan dekat dengan klinik dan hospital.

Sekira terjadinya apa-apa kejadian yang tidak diingini, sekurang-kurangnya kita dapat sampai ke hospital dengan lebih cepat dan diberi rawatan segera.

Bukan menidakkan kualiti pusat kesihatan atau klinik yang ada di kampung, namun pada kebiasaannya pesakit yang kronik akan dirujuk ke klinik dan hospital di bandar kerana mempunyai lebih banyak peralatan canggih serta mencukupi.

Tinggal di bandar juga memudahkan ahli keluarga untuk menziarahi serta menjaga kita dalam situasi seperti ini.

Kesimpulan

Seperti yang dikongsikan di atas, saya berpandangan tidak perlu untuk memiliki rumah untuk bersara di kampung. Walaubagaimanapun, pilihan untuk bersara di kampung atau di bandar bergantung kepada pilihan masing-masing.

Sebaiknya kita fikir masak-masak dan buat keputusan yang tepat bagi diri kita dan juga keluarga. Bagaimana pula dengan anda? Menurut anda, perlukah untuk mempunyai rumah untuk bersara di kampung?

CTA Button-BlueYellow-BM