RM20 Sebulan Bina Tabung Pendidikan, Cukup Ke?

Kalau tidak cuba, kita tidak tahu, jadi apa kata anda memulakannya.
Menyambut kelahiran cahayamata merupakan satu pengalaman luar biasa. Ibu bapa sanggup melakukan apa saja untuk anak-anak mereka, meskipun kadangkala ia menuntut pengorbanan masa, tenaga dan wang ringgit. Semua pengorbanan ini dilakukan semata-mata untuk memastikan anak-anak memperoleh yang terbaik dalam kehidupan.
Tanyalah pada mana-mana ibu bapa, pendidikan pastinya menjadi aspek yang diberi penekanan dengan harapan anak-anak mereka membesar kelak menjadi insan berjaya.
Bak kata pepatah, ilmu pengetahuan merupakan hadiah paling berharga yang boleh diberikan oleh ibu bapa kepada anak-anak mereka.
Mana tidaknya, harta yang ditinggal walau setinggi gunung pun, jika diberikan kepada waris yang tidak berilmu, tidak mustahil habis licin satu hari nanti.
Namun begitu, kos pendidikan semakin hari semakin meningkat dan ramai ibu bapa kian terasa bebannya lebih-lebih lagi apabila anak-anak mula melanjutkan pengajian ke universiti.
Oleh kerana kekangan kewangan. mahu tidak mahu, mereka terpaksa merelakan anak-anak mengambil pinjaman pendidikan apabila biasiswa gagal diperoleh.
Maklumlah persaingan kian sengit dengan jumlah mereka yang mendapat keputusan cemerlang menghampiri ribuan orang sedangkan biasiswa yang ditawarkan amat terhad.
Justeru ramai anak-anak muda yang memikul beban hutang sebaik keluar universiti walau pekerjaan belum tentu mampu diperoehi. Malahan ramai juga disenaraihitam kerana gagal membayar pinjaman berkenaan dalam tempoh ditetapkan.
Sebagai ibu bapa, kita pastinya tidak mahu perkara ini berlaku kepada anak-anak kita kelak.
Jadi langkah terbaik ialah membina tabungan untuk anak-anak seawal usia kelahiran mereka.
Membina tabung pendidikan bukanlah satu keperluan, tetapi ia pastinya dapat mengurangkan beban anak-anak apabila mereka mula bekerja kelak.
Sekurang-kurangnya mereka tidak perlu meminjam dalam jumlah yang besar semata-mata untuk menimba ilmu.
Beban Pinjaman Pendidikan
Tahukah anda, sekiranya anak anda mengambil pinjaman berjumlah RM50,000 yang mengenakan caj faedah 1% setahun, anak anda perlu membayar kira-kira RM458 setiap bulan sekiranya pinjaman berkenaan ingin dilangsaikan dalam tempoh 10 tahun.
Jumlah RM50,000 itu merupakan anggaran kos untuk pengajian undang-undang di Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) pada masa ini.
Tanpa sebarang tabung pendidikan sebagai sumber kewangan tambahan, anak-anak ini akan tamat pengajian dengan beban hutang sebanyak RM50,000 tanpa kepastian sama ada mereka akan mempunyai pekerjaan ataupun tidak.
Ia mungkin cerita yang berbeza jika anak anda memperoleh keputusan cemerlang dan memperoleh biasiswa. Jika tidak, beban hutang ini perlu ditanggung sehinggalah mereka berumahtangga kelak.
Senario ini pastinya dapat dielak jika ibu bapa berusaha dan komited untuk membina tabung pendidikan untuk anak masing-masing.
Namun begitu, dengan kos sara hidup yang tinggi dan pendapatan yang tidak banyak lebihannya ketika ini, memang tidak dinafikan tidak ramai ibu bapa yang dapat memberi komitmen untuk membina tabung pendidikan untuk anak masing-masing.
Kelebihan Melabur
Namun begitu, jangan memandang rendah kuasa RM10, RM20 atau RM30 yang dilaburkan secara konsisten setiap bulan kerana ia berpotensi berganda selagi dividen dan modal pelaburan tidak dikeluarkan.
Pilih pelaburan berisiko rendah seperti ASB kerana membina tabung pendidikan memerlukan tempoh yang panjang, pulangan yang stabil dan tiada risiko kerugian.
Sebagai contoh, anda boleh mengumpul kira-kira RM7,000 sekiranya anda melabur RM20 setiap bulan selama 18 tahun dengan pulangan purata tahunan sebanyak 5 peratus.
Bukankah jumlah itu cukup untuk sekurang-kurangnya membayar yuran pendaftaran, pakaian baharu, kos pengangkutan, keperluan peribadi dan kos lain yang berkaitan yang diperlukan untuk anak anda memulakan kehidupan baharu sebagai pelajar?
Yang penting ibu bapa tidak perlu meminjam untuk semua perkara berkenaan sekiranya mereka sendiri kesempitan wang pada waktu itu.
Bagaimana pula jika jumlah pelaburan ialah RM100 setiap bulan? Jumlah terkumpul ialah kira-kira RM35,000 yang pastinya cukup untuk membiayai yuran pengajian anak anda untuk beberapa tahun pengajian.
Dalam mengurus pelaburan, anda tidak digalakkan untuk mengeluarkan semua wang dalam akaun, sebaliknya hanya mengeluarkan jumlah yang diperlukan dan membiarkan bakinya dalam akaun supaya ia untuk terus berganda.
Melabur sebenarnya tidak sukar, anda hanya perlu meletakkan komitmen tinggi untuk merealisasikan matlamat yang ditetapkan. Jangan lupa melaburkan duit raya dan hadiah wang tunai yang diterima anak-anak anda. Ia akan menambah lagi kepada jumlah tabungan yang bakal anda kumpul kelak.
Hadiah paling berharga untuk anak-anak anda ialah pendidikan dan anda boleh membiayai hadiah ini dengan membina tabung pendidikan untuk mereka.
