Prestasi Portfolio RIA – Februari 2025

Pergerakan pasaran senantiasa menjadi rentak pelaburan yang penting. Pada Februari 2025, ASN Equity Global mencatatkan penurunan sebanyak -1.55%, satu perubahan ketara berbanding prestasi positif Januari.
Sementara itu, ASN Equity Malaysia menampakkan tanda-tanda pemulihan dengan keuntungan 0.34%. ASN Sukuk, sesuai dengan cirinya yang stabil dan konsisten, menyumbang pulangan sebanyak 0.35%, sekali lagi membuktikan kepentingan pendapatan tetap sebagai pelindung dalam keadaan pasaran yang tidak menentu.
Hasil prestasi portfolio menceritakan hubungan langsung antara risiko dan pulangan. Portfolio Sangat Konservatif, yang ditunjangi oleh 97% peruntukan kepada Sukuk, mengharungi bulan ini dengan pulangan terbaik sebanyak 0.30%.
Apabila kita beralih kepada portfolio yang lebih berisiko, pulangan semakin merosot, dengan portfolio Sangat Agresif mencatatkan kemerosotan sebanyak -0.72%.
Namun gambaran jangka panjang menunjukkan hakikat yang berbeza. Sejak Ria dilancarkan, strategi berisiko tinggi telah memberikan pulangan yang lebih tinggi. Portfolio Agresif mendahului dengan pulangan terkumpul sebanyak 7.42%, diikuti rapat oleh portfolio Sangat Agresif pada 6.85%.
Ini menguatkan lagi salah satu prinsip asas dalam dunia pelaburan: ketidakselesaan sementara sering menjadi harga untuk kejayaan jangka panjang yang lebih baik.


Ulasan Pasaran – Februari 2025
Pada bulan Februari 2025, pasaran modal global menunjukan pencampaian yang bercampur dengan Indeks MSCI All Country World susut 0.47% dalam terma Ringgit Malaysia (RM), dipengaruhi oleh gabungan data ekonomi, laporan pendapatan korporat, serta ketegangan perdagangan yang semakin meningkat.
S&P 500 menurun sebanyak 1.20% dalam terma RM, manakala Nasdaq, yang didominasi saham teknologi, merosot 2.59% dalam terma RM dalam tempoh yang sama.
Faktor utama kejatuhan ini adalah ketegangan perdagangan yang semakin memuncak selepas Presiden Trump mengumumkan tarif baharu terhadap import dari Kanada, Mexico, dan China, yang membangkitkan kebimbangan terhadap perang perdagangan global.
Selain itu, ekonomi AS menunjukkan tanda-tanda kelembapan dengan keyakinan pengguna jatuh ke paras terendah dalam lapan bulan pada Februari. Saham syarikat teknologi gergasi yang dikenali sebagai “Magnificent Seven” – Apple, Microsoft, Alphabet, Amazon, Tesla, Nvidia, dan Meta – turut mencatatkan prestasi yang lemah, dengan beberapa syarikat mengalami kerugian akibat kebimbangan terhadap penilaian yang tinggi dan prospek pertumbuhan yang tidak menentu.
Pasaran Eropah mengatasi prestasi pasaran AS pada Februari, dengan FTSE 100 London, DAX Jerman, dan CAC 40 Perancis mencatatkan kenaikan bulanan didorong oleh sentimen pelabur yang optimis meskipun ketidakpastian perdagangan global berterusan.
Di Asia, Indeks Hang Seng Hong Kong mencatatkan kenaikan tertinggi secara global dengan lonjakan 14.36% sejak awal tahun dalam terma RM, mencerminkan prestasi kukuh saham teknologi China dan keyakinan pelabur terhadap prospek pertumbuhan rantau ini.
Sementara itu, FBMKLCI Malaysia melonjak 1.19% pada Februari, mengurangkan kerugian tahun ke tarikh kepada -4.04%, disokong oleh pendapatan korporat yang stabil dan pembelian terpilih oleh pelabur institusi.
Secara keseluruhan, Februari 2025 dicirikan oleh peningkatan ketidaktentuan dalam pasaran modal, dipacu oleh perkembangan geopolitik, data ekonomi, dan faktor spesifik sektor.
Nasihat RIA – Terus Bertahan di Waktu Turun Naik Pasaran
Seiring dengan turun naik pasaran baru-baru ini, termasuk kesan daripada dasar tarif Amerika Syarikat, adalah normal untuk para pelabur berasa bimbang terhadap pelaburan anda.
Walaubagaimanapun, penting untuk diingati bahawa turun naik pasaran adalah sebahagian daripada asam garam dunia pelaburan, dan perspektif jangka masa panjang adalah kunci utama dalam menggapai kejayaan pelaburan.
Salah satu strategi yang berkesan untuk mengharungi tempoh yang tidak menentu ini ialah dengan menggunakan strategi dollar-cost averaging, iaitu kaedah melabur jumlah tetap secara berkala tanpa mengira keadaan pasaran (bagi Ria, ini boleh dilakukan melalui ciri Auto Labur kami).
Dengan pendekatan ini, anda akan membeli lebih banyak unit atau saham ketika harga rendah dan lebih sedikit ketika harga tinggi, yang berpotensi menurunkan kos purata per unit atau saham dalam jangka masa panjang.
Selain itu, memastikan portfolio anda dilaburkan merentasi pelbagai kelas aset (“diversification”) seperti ekuiti dan bon dapat membantu mengurangkan risiko serta meningkatkan potensi pulangan.
Anda juga harus mengelak membuat keputusan tergesa-gesa berdasarkan pergerakan pasaran dalam jangka masa pendek. Sebaliknya, fokuslah pada matlamat pelaburan jangka panjang anda dan pastikan strategi yang diambil selari dengan objektif serta toleransi risiko anda.
Dengan mengekalkan disiplin dan komitmen terhadap pelan pelaburan anda, anda dapat menghadapi turun naik pasaran dengan lebih baik dan terus melangkah ke hadapan ke arah mencapai matlamat kewangan anda.