RIA: Penilaian Prestasi Portfolio - Okt 2024
Pada bulan Oktober, ASN Equity Global menunjukkan pertumbuhan kukuh (+4.13%), manakala ASN Equity Malaysia dan ASN Sukuk menyaksikan sedikit penurunan.
Tahun sehingga kini, ASN Equity Malaysia menunjukkan prestasi yang terbaik (+29.69%), manakala ASN Equity Global dan ASN Sukuk menunjukkan keuntungan yang sederhana.
Sejak Ria dilancarkan, ASN Equity Malaysia mendahului dengan kenaikan sebanyak 17.36%.
Bagi Ria, pulangan bertambah baik untuk portfolio berisiko tinggi bulan lepas. Portfolio Sangat Agresif menghasilkan pulangan bulan ke bulan tertinggi (+2.09%), manakala portfolio Sangat Konservatif menyaksikan penurunan kecil (-0.27%) dalam tempoh yang sama.
Tahun sehingga kini, pulangan berjulat daripada +3.71% untuk portfolio Sangat Konservatif kepada +18.30% untuk portfolio Sangat Agresif. Sejak Ria dilancarkan, pulangan untuk setiap profil risiko adalah positif, dengan portfolio Agresif mengatasi prestasi portfolio yang lain.
Ulasan Pasaran – Oktober 2024
Pasaran saham global pada Oktober mencatat prestasi yang bercampur disebabkan oleh tekanan inflasi, kenaikan kadar faedah, dan ketidaktentuan geopolitik.
Di AS, S&P 500 turun 0.9%, terutamanya dalam saham teknologi yang tidak menentu. Di Eropah, pasaran susut 3.2%, dipengaruhi oleh cabaran ekonomi, terutamanya di Jerman.
Pasaran Jepun, sebaliknya, naik 1.9% kerana reformasi korporat dan sentimen pelabur yang lebih positif. Pasaran Asia dan pasaran sedang membangun merosot sekitar 4.0%-4.5% disebabkan dolar AS yang kuat dan pendapatan korporat yang rendah, terutama di India.
Walaupun berlaku turun naik, prestasi pasaran global masih positif untuk tahun ini kerana optimisme terhadap pertumbuhan ekonomi.
Di Malaysia, pasaran saham terus menunjukkan prestasi baik tahun ini, dipacu oleh pemulihan sektor domestik seperti pengguna, kewangan, dan industri.
Namun, prestasi Oktober sedikit menurun kerana kebimbangan terhadap prospek ekonomi, perubahan dasar kerajaan, dan permintaan eksport yang perlahan.
Dalam jangka masa sederhana, pasaran dijangka stabil dengan sokongan pemulihan domestik dan harga komoditi yang stabil, walaupun faktor luar seperti hubungan perdagangan dan turun naik mata wang mungkin membawa kesan.
Sukuk Malaysia mencatat pertumbuhan sederhana sepanjang tahun, didorong oleh kadar kemungkiran pinjaman yang rendah dan permintaan yang stabil dari pelabur.
Malaysia dijangka kekal stabil sebagai peneraju kewangan Islam, tetapi kadar faedah global yang tinggi mungkin menjejaskan permintaan terhadap sukuk dan sekuriti pendapatan tetap.
Nasihat RIA – Capai Matlamat Pelaburan melalui Pelaburan Berkala
Automatikkan pelaburan berkala anda dengan Auto Labur, ciri yang membantu anda melabur sejumlah wang pada selang masa yang tetap seperti mingguan atau bulanan, sekaligus mengurangkan risiko dan meratakan turun naik pasaran dari masa ke masa.
Pendekatan “tetapkan dan lupakan” ini menghilangkan tekanan untuk menentukan masa terbaik untuk melabur, membolehkan anda fokus pada pertumbuhan jangka panjang yang konsisten untuk pelaburan anda.
Dengan melabur secara automatik, anda mendapat manfaat daripada purata kos ringgit, di mana anda membeli lebih banyak unit saham apabila harga rendah dan lebih sedikit apabila harga tinggi — yang akhirnya membantu anda membina kekayaan secara stabil dan yakin.