Ria: Pengajaran daripada Tahun 2025

Tahun 2025 menyaksikan lonjakan ketidaktentuan dalam pasaran ekuiti global yang didorong oleh ketidakpastian dasar perdagangan ekoran pengumuman tarif menyeluruh pada 'Liberation Day ' oleh Amerika Syarikat (AS). Selain itu, pasaran turut dipengaruhi oleh pemulihan berkala ekuiti China hasil sokongan dasar domestik dan pelaburan kecerdasan buatan (AI), keyakinan terhadap saham Jepun yang disokong oleh jangkaan rangsangan fiskal dan keadaan monetari yang akomodatif, serta gangguan akibat penutupan kerajaan AS yang terlama dalam sejarah. Biarpun berdepan rintangan ini, tahun 2025 terbukti merupakan tahun yang positif bagi pasaran saham utama, dipacu oleh pendapatan korporat yang kukuh serta jangkaan bahawa pelaburan berterusan dalam AI akan terus menyokong pertumbuhan pendapatan.
'Liberation Day' Menggemparkan Pasaran Global, Namun Pemulihan Pantas Menyusul
Pengumuman tarif menyeluruh oleh Presiden Trump pada awal April yang digelar sebagai 'Liberation Day' bertujuan mengurangkan defisit perdagangan dan merangsang industri Amerika, telah mencetuskan kejatuhan luas dalam pasaran saham utama ketika pelabur menilai semula prospek perdagangan dan pertumbuhan global. Walau bagaimanapun, pasaran mula pulih setelah sebahagian daripada program tarif tersebut ditangguhkan atau dihentikan seketika serta kemajuan dalam rundingan yang dicapai, sekaligus mengalihkan semula tumpuan pelabur kepada pendapatan korporat. Lama-kelamaan, apabila jangkaan kesan langkah tarif tersebut mulai reda dan ketidakpastian berkurangan, kebanyakan pasaran kembali melonjak.
* Kejatuhan diukur dari penutupan pasaran pada 1 April 2025, sebelum pengumuman 'Liberation Day', sehingga tahap terendah pasaran selepas itu. Pemulihan merujuk kepada jumlah hari dagangan yang diperlukan untuk kembali ke paras penutupan 1 April 2025
Jumlah Pulangan YTD dalam MYR setakat 25 Disember 2025
Secara Keseluruhan, 2025 Merupakan Tahun Pelaburan yang Cemerlang
Di seluruh pasaran global, tahun 2025 terbukti memberikan ganjaran yang luas bagi pelabur jangka panjang memandangkan pulangan ekuiti adalah kukuh di banyak wilayah meskipun terdapat tempoh ketidaktentuan pada awal tahun. Pasaran seperti Korea Selatan mendahului dengan keuntungan luar biasa, mencerminkan minat pelabur yang tinggi terhadap pendedahan sektor teknologi dan semikonduktor. Sementara itu, pasaran maju seperti Euro Stoxx 50, Singapura, UK, dan Hong Kong turut mencatatkan jumlah pulangan yang mengagumkan melebihi 20% dalam denominasi Ringgit Malaysia (MYR).
Pasaran Asia lain termasuk Taiwan, Jepun, serta segmen saham A dan H China mencatatkan keuntungan dua angka, sekaligus menekankan daya tahan ekuiti Asia-Pasifik. Malah, penanda aras MSCI All Country secara keseluruhannya ditutup dengan positif, manakala beberapa pasaran pesat membangun mengatasi prestasi AS dan rakan serantau ASEAN. Walaupun segelintir pasaran seperti Thailand dan Filipina agak ketinggalan, serakan pulangan yang luas ini menyerlahkan kepentingan kepelbagaian geografi dan sektor dalam meraih potensi keuntungan sepanjang tahun 2025 bagi pelabur yang mempunyai portfolio pelbagai.
Prestasi Dana Pendasar Ria Tahun Ini
Setakat 22 Disember 2025, ketiga-tiga dana yang membentuk teras portfolio Ria telah mencatatkan pulangan tahun ke tarikh (YTD) yang positif, menyumbang kepada pertumbuhan keseluruhan portfolio pada tahun 2025. ASN Equity Malaysia mencatatkan pertumbuhan solid sebanyak +5.1%, manakala ASN Equity Global dan ASN Sukuk masing-masing meningkat sebanyak +4.6% dalam sebutan MYR. Ini mencerminkan daya tahan pasaran yang luas serta pendedahan pelbagai merentasi aset ekuiti dan berfokuskan pendapatan. Hasilnya, setiap portfolio Ria mengakhiri tahun di wilayah positif, dengan portfolio Sederhana Konservatif mencatatkan pulangan tertinggi sebanyak +4.6%, manakala portfolio Agresif mencatatkan +4.2%, menggambarkan perbezaan dalam perumpukan aset dan dinamik pasaran sepanjang tahun.
Sejak pelancaran Ria pada Mac 2024, prestasi portfolio kekal sejajar dengan profil risiko masing-masing. Portfolio Sangat Konservatif meningkat +7.8%, manakala portfolio Agresif dan Sangat Agresif masing-masing melonjak +13.8% dan +12.9%. Ini membuktikan keberhasilan pelaburan yang konsisten dan berpandukan risiko untuk para pelabur.
Apa yang Dijangkakan untuk Tahun 2026?
Ramai pakar strategi pasaran melangkah ke tahun 2026 dengan tinjauan positif terhadap pasaran ekuiti global, disokong oleh jangkaan pertumbuhan pendapatan yang berterusan, pelaburan mampan dalam AI dan teknologi, serta potensi pelonggaran dasar kewangan di ekonomi-ekonomi utama seperti AS dan Eropah. Sesetengah unjuran menjangkakan pulangan dua angka di pasaran maju dan prestasi berdaya tahan di pasaran pesat membangun pada tahun 2026.
Walau bagaimanapun, di sebalik tinjauan yang membina ini, risiko tetap wujud dan boleh mencetuskan ketidaktentuan. Ketegangan geopolitik, ketidakpastian dasar (termasuk isu perdagangan yang berterusan), penilaian ekuiti yang tinggi dalam sektor tertentu, serta cabaran makro seperti pertumbuhan ekonomi yang perlahan di Eropah, semuanya merupakan cabaran berpotensi. Segelintir pakar strategi memberi amaran tentang tahun yang "normal" di mana pulangan mungkin lebih sederhana dan kepimpinan pasaran akan melangkaui saham teknologi bermodal besar semata-mata.
Secara ringkasnya, tahun 2026 dijangka menjadi tahun pertumbuhan berterusan namun dengan perbezaan prestasi yang lebih ketara antara wilayah dan sektor. Pendapatan yang kukuh, sokongan dasar, dan inovasi berkemungkinan akan menyokong pasaran, tetapi pelabur harus peka terhadap risiko yang berterusan serta persekitaran di mana ketidaktentuan dan perbezaan pulangan mungkin meningkat berbanding keuntungan pantas yang dilihat pada tahun-tahun sebelumnya.
Buat Pelabur Ria: Kekal di Landasan, Berfikir Jangka Panjang
Masa dalam Pasaran Mengatasi Penentuan Masa Pasaran – Percubaan untuk meramal paras tertinggi dan terendah jangka pendek jarang membuahkan hasil, malah buat pengurus dana profesional sekalipun. Pasaran sukar diramal dari hari ke hari, namun secara sejarahnya, ia cenderung meningkat dalam jangka masa panjang. Kekal melabur mengharungi pasang surut pasaran memberi anda peluang terbaik untuk meraih keuntungan.
Pelaburan Jangka Pendek Berisiko, Namun Tidak Melabur Juga Berisiko – Bertindak balas terhadap berita harian atau turun naik pasaran boleh menyebabkan peluang terlepas. Sejarah menunjukkan bahawa hari-hari terbaik pasaran sering berlaku semasa atau sejurus selepas tempoh ketidaktentuan yang tinggi. Ini bermakna, kekal melabur adalah lebih penting daripada cuba membeli ketika harga jatuh (buy the dip).
Gunakan Pelaburan Sistematik untuk Menghindari Bias Tingkah Laku – Caruman konsisten melalui potongan terus secara tetap seperti Auto Labur membantu anda melabur secara automatik. Ini mengurangkan tekanan untuk membuat keputusan mengenai masa yang sesuai serta mengambil kesempatan daripada turun naik pasaran tanpa perlu meneka saat yang tepat.
Melabur dengan Keyakinan untuk Jangka Panjang – Jika matlamat dan profil risiko anda adalah untuk jangka panjang, kekal fokus pada strategi anda dan bukannya terganggu oleh gangguan jangka pendek. Kesabaran, disiplin, dan perspektif jangka panjang membantu pelaburan anda berkembang dan menghasilkan pulangan berganda selama bertahun-tahun.
Ingatlah, pasaran akan sentiasa mengalami kenaikan dan penurunan, namun kekal melabur dan berpegang kepada pelan yang berdisiplin secara sejarahnya memberikan ganjaran kepada pelabur yang sabar berbanding mereka yang cuba meramal pergerakan pasaran. Melangkah ke tahun 2026, kami mengucapkan selamat maju jaya dalam perjalanan pelaburan anda. Melalui disiplin dan kesabaran, kami berharap Ria terus menyokong anda dalam mencapai matlamat kewangan anda.
