Berapa perlu anda labur untuk miliki rumah idaman?

Tip untuk Percutian Bajet

Percutian Bajet_Makan
ASNB Logo
ASNB Academy

8 minit masa membaca

Kita semua sering berangan untuk bercuti, tetapi angan-angan itu sering juga terhenti apabila memikirkan bajet yang perlu dikeluarkan setiap kali kita ingin melakukannya.

Mana tidaknya, kalau ingin ke luar negara, antara kos yang terlibat bukan sahaja tiket kapal terbang, penginapan dan makanan, malah kita perlu juga memikirkan mengenai tukaran mata wang ringgit serta duit belanja.

Dengan kadar mata wang ringgit yang agak lemah pada masa ini berbanding dollar AS dan mata wang lain, percutian ke luar negara pastinya membabitkan kos lebih tinggi.

Untuk mengurangkan kos, ada yang memilih pulang ke kampung sahaja atau tempat menarik di dalam negara.

Namun baru-baru ini, ramai pula yang mengeluh mengatakan kos bercuti di Pulau Langkawi adalah jauh lebih mahal berbanding bercuti kebeberapa pusat peranginan di Thailand.

Perancangan Rapi

Tidak kiralah sama ada anda merancang untuk bercuti di dalam atau luar negara, perancangan rapi akan membolehkan anda bercuti sesuai dengan kemampuan, namun tidak mustahil anda menikmati percutian yang lebih menarik berbanding mereka yang membayar mahal.

Antara faktor utama yang memberi kesan kepada kos percutian ialah penginapan, pengangkutan, lokasi percutian dan kaedah percutian.

Apabila bercuti secara bajet, antara perkara yang perlu anda tanam difikiran ialah ia mungkin tidak begitu selesa; anda perlu merancang serapi mungkin; dan percutian ini memerlukan lebih banyak pergerakan fizikal kerana anda mungkin perlu menaiki perkhidmatan awam, memandu sendiri, dan ada di sesetengah negara, anda perlu banyak berjalan.

Oleh itu, perancangan perlu dibuat beberapa bulan sebelum tarikh percutian supaya anda dapat merancang dengan lebih baik. Masukkan maklumat diperlukan dalam satu fail Excel untuk memudahkan pengiraan dan membuat perbandingan.

Rancang Percutian Bajet

Pada masa ini, maklumat amat mudah diperoleh di Internet, terutamanya kos penginapan, pengangkutan dan tempat makan yang sedap dan berpatutan.

Banyak maklumat juga boleh diperoleh di media sosial daripada mereka yang gemar bercuti secara bajet dan pengalaman mereka ini boleh dijadikan panduan untuk mengatur percutian anda sendiri.

Kebijaksanaan mengurus percutian mungkin membolehkan anda bercuti di tempat yang sama dengan rakan anda, namun perbelanjaan yang anda habiskan mungkin hanya 70 peratus daripada yang dibelanjakan rakan anda.

Jadi bagaimana untuk bercuti sesuai dengan bajet dan kemampuan diri? Cara ini mungkin boleh membantu anda

1. Membuat Tempahan Awal

Membuat tempahan awal untuk tiket kapal terbang atau hotel memberi peluang kepada anda untuk menikmati harga yang murah berbanding jika anda membuat tempahan ketika tarikh percutian semakin hampir.

Kerana itulah, ada yang membuat tempahan tiket kapal terbang sehingga setahun atau 6 bulan lebih awal untuk terbang ke destinasi pilihan ramai seperti Kota Kinabalu, Sabah. Tujuannya hanya satu, tiket masih murah dan masih ada pilihan untuk memilih tempat duduk yang diidamkan,

Oleh kerana anda mungkin berdepan kerugian jika percutian dibatalkan, anda dinasihatkan supaya merancang percutian dengan sebaik-baiknya dan tidak membuat pembatalan kecuali jika benar-benar terpaksa.

Namun begitu, untuk tempahan penginapan yang dibuat menerusi pelbagai aplikasi seperti Agoda, ada jaminan bahawa anda boleh mendapatkan semula wang tempahan sekiranya pembatalan dilakukan dalam masa yang telah dibenarkan.

Ini memberi sedikit fleksibiliti kepada tempahan anda, namun awas, jangan lupa untuk membatalkan tempahan sekiranya masih ada masa.

Selain itu, pastikan semua tempahan sudah disahkan dengan menerima emel pengesahan dan resit pembayaran. Jangan pula nanti, ketika tarikh semakin hampir, barulah anda perasan bayaran belum lagi dibuat dan tempahan anda sudah dibatalkan.

2. Elakkan Bercuti Ketika Musim Perayaan atau Cuti Sekolah

Nasihat ini terpakai kepada anda yang masih bujang ataupun belum ada anak bersekolah, oleh itu nikmatilah waktu senggang ini sementara boleh.

Apabila anak anda mula bersekolah, anda akan dapati bahawa amat sukar untuk bercuti dengan kos lebih rendah memandangkan harga ketika cuti sekolah sememangnya akan meningkat seiring meningkatnya permintaan.

Malahan berlakunya peningkatan harga makanan di lokasi pilihan hingga menyebabkan kos percutian semasa cuti sekolah, meningkat lebih sekali ganda berbanding jika bercuti di luar waktu puncak.

Jadi sementara anda masih berkesempatan, nikmati percutian bajet diluar waktu puncak dan nikmati percutian yang lebih tenang dan mendamaikan.

3. Menggunakan Aplikasi Tempahan Terutamanya untuk Penginapan

Selain membantu membuat perbandingan harga dengan pantas dan mudah, aplikasi ini juga membuat perbandingan kualiti hotel berdasarkan maklumbalas mereka yang pernah menginap di hotel berkenaan serta menyenaraikan jarak antara hotel berkenaan dengan lokasi pelancongan menarik yang berhampiran.

Maklumat seperti ini akan membantu anda merancang percutian dengan lebih berkesan berbanding jika anda hanya redah sahaja dan bergantung kepada nasib.

Ada yang merasakan bahawa percutian yang dirancang tidak begitu ‘adventure’, namun adalah lebih baik menumpu kepada bercuti dengan selesa berdasarkan kemampuan, berbanding membuang masa dan wang sekiranya tersilap percaturan

4. Memilih Penginapan Berdasarkan Kemampuan

Pada masa ini, ada banyak pilihan penginapan termasuklah inap desa yang pastinya lebih murah dan selesa terutamanya jika anda mempunyai keluarga yang besar atau merancang percutian seperti hari keluarga atau bercuti beramai-ramai bersama rakan.

Walaupun kemudahan tidaklah sehebat hotel, tetapi ia lebih daripada cukup kerana apabila bercuti, kita sebenarnya lebih banyak berada diluar berbanding di dalam bilik, jadi kemudahan seperti wifi, gimnasium, spa atau kolam renang yang menjadikan sesebuah hotel itu premium, mungkin langsung tidak kita gunakan kerana tiada kesempatan.

Memilih inap desa juga mengurangkan perbelanjaan kerana anda juga boleh memasak hidangan ringkas dan membawa bekalan makanan yang lebih banyak.

5. Pengangkutan yang Sesuai

Kos pengangkutan juga perlu diambil kira kerana ada perjalanan lebih murah jika anda memandu sendiri berbanding menaiki kapal terbang.

Kadangkala kita memilih menaiki kapal terbang kerana ia lebih pantas, namun kita terlupa kita perlu membayar kos seperti teksi untuk ke lapangan terbang dan kereta sewa apabila tiba di lokasi percutian.

Sebagai contoh, sekiranya anda ingin bercuti ke Pulau Langkawi, anda mempunyai beberapa pilihan pengangkutan, antaranya menaiki kapal terbang terus ke pulau lagenda berkenaan dan menyewa kereta sepanjang disana.

Selain itu, anda boleh memandu hingga ke Kedah, Perlis atau Pulau Pinang untuk pergi ke jeti dan menaiki feri dan kemudiannya menyewa kereta. Anda juga boleh memilih untuk menaiki Feri Roro sekiranya anda ingin membawa kereta sendiri ke Langkawi. Anda juga boleh memilih menaiki bas atau ETS ke utara sebelum anda pergi ke Jeti untuk menaiki feri.

Jadi pilihan ditangan anda dan buatlah pengiraan yang teliti sebelum membuat keputusan mengenai pengangkutan apabila ingin bercuti. Cuma jangan lupa, semak juga jadual waktu perjalanan feri, bas dan ETS sebelum membuat tempahan dan pastikan anda merancang waktu dengan baik supaya tidak terlepas feri sedangkan tiket sudah dibeli.

Rancang dan Urus Kewangan Anda

Perkara paling utama yang perlu anda kawal ketika bercuti ialah bagaimana anda membelanjakan wang sepanjang percutian.

Jadi pastikan anda membuat bajet berdasarkan anggaran kos pengangkutan, penginapan dan makanan dan jangan lupa, tetapkan satu jumlah khas untuk perbelanjaan membeli barangan dan cenderahati, yang mana anda tidak boleh berbelanja melebihi jumlah yang ditetapkan ini.

Sememangnya kita kadang kala sukar mengawal diri untuk berbelanja lebih-lebih lagi dilokasi bebas cukai seperti Langkawi atau destinasi seperti Kelantan dan Terengganu yang terkenal dengan keropok dan batiknya.

Namun, sebaiknya elakkan berbelanja dan membeli belah secara keterlaluan dan sebaiknya, kad kredit hanya digunakan apabila perlu, bukan sebagai pengganti tunai yang menyebabkan anda berbelanja diluar kemampuan.

Berbelanjalah secara sederhana ketika bercuti, sesuai dengan kemampuan. Jangan pula nanti, anda bercuti untuk hilangkan stress, tetapi makin bertambah stress selepas bercuti kerana hutang yang semakin keliling pinggang.

Sorotan Artikel :

1. Rancang percutian dengan rapi kerana ia boleh membantu anda membuat tempahan awal dan menikmati harga lebih murah untuk penginapan dan kos pengangkutan terutamanya kapal terbang

2. Muat turun aplikasi yang boleh membantu anda dalam merancang percutian dan mengurangkan kos yang terlibat. Pembelian secara dalam talian kebiasaannya terdapat harga promosi yang ditawarkan.

3. Buat bajet dengan memberi fokus kepada kos penginapan, pengangkutan, makanan dan lain-lain perbelanjaan yang dirasakan dalam bajet percutian anda. Pastikan perbelanjaan ketika anda bercuti tidak melebihi bajet yang ditetapkan ini.

4. Jika boleh, melabur untuk membina Tabung Percutian dan antara lokasi sesuai untuk membina tabung ini ialah Amanah Saham Bumiputera (ASB) atau deposit tetap.

CTA Button-Blue Gradient