Ingin kira penjimatan jika anda kurangkan secawan kopi seminggu?

Usia Muda Bina Kekayaan, Bukan Hutang

Bina-kekayaan-bukan-hutang
ASNB
ASNB Academy

4 minit masa membaca

Ramai yang mengelak untuk melabur, tetapi tidak segan untuk meminjam sehinggakan ada yang muflis kerana menanggung beban hutang yang berlebihan.

Sebenarnya, banyak masalah kewangan individu bermula daripada kegagalan kita melabur, tetapi pada masa yang sama, kita secara tidak sengaja telah membina hutang yang diluar kemampuan.

Yang pastinya beban hutang ini tidak tercipta dengan sendirinya, tetapi dibina menerusi perbelanjaan melebihi kemampuan dan juga penggunaan kad kredit tanpa kawalan.

Masalah mengurus kewangan kadangkala bermula dari gaji pertama lagi, iaitu apabila kita gagal menyalurkan gaji yang diterima dengan betul dan ia berterusan sehingga menjadi amalan. Sebaiknya, kita mengamalkan sikap labur dahulu baru belanja, supaya kita mempunyai tabung kecemasan sebagai persediaan jika berlaku perkara luar dugaan.

Namun yang banyak terjadi ialah, kita melabur bila ada lebihan. Bagaimana mencari lebihan apabila pendapatan lebih banyak disalurkan untuk melunaskan hutang dan berbelanja? Tanpa tabungan kecemasan, kita akhirnya menambah hutang lagi dan lagi setiap kali berlaku kecemasan.

Tiada siapa menafikan anda perlu kelihatan “presentable” dan bergaya apabila sudah berkerjaya, namum berbelanja besar sehingga berhutang untuk barangan berjenama atau minum dan makan di kedai mewah bukanlah langkah permulaan yang betul.

Ramai juga memilih membeli kenderaan luar negara dengan tag harga ratusan ribu ringgit sedangkan ada sahaja kenderaan berharga bawah RM50,000 yang boleh dimiliki sekadar untuk memenuhi keperluan pengangkutan.

Jadi setiap bulan, wang gaji yang diterima hanya digunakan hanya untuk membayar hutang kereta, hutang kad kredit, membayar bil dan sara diri. Apabila berdepan masalah seperti kereta rosak atau sakit, anda tiada pilihan hingga terpaksa meminjam atau menambah lagi hutang kad kredit.

Masalah kewangan ini berlanjutan kerana kita memilih untuk tidak melabur, sebaliknya menumpukan kepada berbelanja, sedangkan wang yang dilaburkan adalah milik kita, manakala wang yang dibelanjakan sudah tiada lagi.

Jadi jika masih muda, tetapkanlah sekurang-kurangnya 10 peratus daripada gaji yang diterima untuk pelaburan.

Wang yang dilaburkan akan berkembang dari tahun ke tahun. Jika anda melabur secara konsisten sebanyak RM100 setiap bulan, tidak mengeluarkan dividen yang diterima dan menerima pulangan purata tahunan 5%, anda akan mempunyai kira-kira RM6,800 selepas 5 tahun jika wang tidak dikeluarkan.

Jumlah terkumpul ini pastinya lebih besar jika anda melabur lebih banyak setiap bulan.

Dimana anda boleh mula melabur? Pelaburan perlu bermula dengan membina tabungan kecemasan menyamai 6 bulan gaji semasa.

Oleh kerana anda masih muda, lebih baik memilih untuk melabur dalam pelaburan berisiko rendah seperti ASB, ASM atau deposit tetap bank.

Pelaburan akan melindungi wang daripada mengecil nilainya akibat inflasi. Apa itu inflasi? Inflasi berlaku apabila nilai wang hari ini, tidak dapat membeli barangan yang sama pada masa depan.

Contoh terbaik ialah nasi lemak. Jika dulu, masih ada nasi lemak 50 sen, tetapi pada hari ini, hampir mustahil untuk anda menemuinya. Ini bermakna nilai 50 sen telah menjadi semakin kecil.

Pelaburan boleh menjadi sumber pendapatan kedua, boleh membantu mencapai matlamat idaman seperti membeli rumah dan mengembara dan boleh menjadi sandaran waktu kecemasan. Pelaburan akan memberi anda ketenangan dan kebebasan kewangan.

Jadi melaburlah dan elakkan daripada membina hutang.

Tip pelaburan mudah :

  1. Berbelanja mengikut kemampuan
  2. Jangan mencipta hutang tidak diperlukan
  3. Labur dahulu baru belanja
  4. Usah bertangguh, kerana tempoh masa yang panjang memberi keanjalan dalam pelaburan dan membolehkan anda membina tabungan lebih besar.
CTA Button-BlueYellow-BM