Cukai: Ambil Kesempatan Insentif Disediakan

Perancangan percukaian merupakan salah satu daripada komponen penting dalam perancangan kewangan kerana ia memberi kesan besar kepada pendapatan tahunan yang anda terima. Sekiranya perancangan percukaian tidak dilakukan dengan betul, anda mungkin membayar cukai lebih daripada yang sepatutnya sepanjang tempoh anda bekerjaya.
Ini amat merugikan kerana wang berkenaan boleh digunakan untuk tujuan lain seperti melabur, membeli aset atau membayar hutang yang lebih memberi manfaat kepada anda.
Matlamat utama perancangan percukaian ialah meminimumkan jumlah cukai kena bayar, supaya ia memberi lebih aliran tunai kepada anda.
Sebahagian besar daripada kita berkemungkinan membayar cukai lebih daripada sepatutnya kerana kegagalan menggunakan sepenuhnya insentif cukai yang diberikan oleh kerajaan.
Selain itu, ada juga yang enggan mengembalikan borang Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) kerana tidak mahu membayar cukai atau berasakan potongan cukai menerusi Potongan Cukai Bulanan (PCB) sudah mencukupi. Ini adalah satu langkah yang tidak bijak kerana pertama sekali, tidak mengembalikan borang BNCP adalah satu kesalahan undang-undang dan and boleh didakwa dan dikenakan penalti oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Keduanya, tidak mengembalikan borang berkenaan bermakna anda melepaskan peluang untuk membuat tuntutan terhadap pelbagai insentif yang disediakan kerajaan menerusi pelepasan, potongan dan rebat ketika membuat perkiraan cukai pendapatan.
Membuat tuntutan untuk insentif yang disediakan pada tahun semasa adalah penting kerana ia boleh mengurangkan jumlah pendapatan kena cukai dan sekaligus mengurangkan jumlah cukai yang perlu anda bayar.
Ini kerana menerusi kaedah Sistem Taksir Sendiri (STS), sebagai pembayar cukai yang layak, anda sudah pun membuat potongan cukai setiap bulan menerusi skim PCB.
PCB dianggap sebagai bayaran ansuran untuk cukai, dan jumlah setahun yang sudah dibayar itu kemudiannya akan dibandingkan dengan cukai sebenar semasa mengemukakan borang cukai.
Dengan mengambil kira jumlah pelepasan, potongan cukai dan rebat yang mungkin mengurangkan jumlah pendapatan kena cukai dan jumlah cukai kena bayar, jumlah yang sudah anda bayar menerusi PCB kadangkala adalah lebih tinggi berbanding cukai sebenar.
Oleh kerana pelepasan, potongan dan rebat tidak diberi secara automatik, anda perlu mengisi borang BE untuk menuntutnya.
Jika ia tidak dituntut dalam tahun semasa, ianya tidak akan diberi kepada pembayar cukai dan ia juga tidak boleh dituntut pada tahun-tahun hadapan.
Bukti-bukti tuntutan (seperti resit pembelian/pembayaran, surat akuan doktor dan lain-lain) perlu disimpan untuk tempoh 7 tahun untuk tujuan audit kerana LHDN berkuasa untuk berbuat demikian pada bila-bila masa.
Satu lagi perkara yang perlu anda tahu ialah jumlah potongan PCB anda meningkat setiap tahun selaras dengan kenaikan gaji.
Kegagalan membuat taksiran dan mengembalikan borang BNCP akan menyebabkan anda membayar jumlah PCB tahunan yang tinggi.
Justeru, apabila menikmati kenaikan gaji, dan sekiranya mampu, anda boleh memberi tumpuan kepada jenis pelepasan yang layak anda tuntut dan bermanfaat kepada anda dan keluarga seperti pembelian bahan penerbitan, alat sukan dan membuat pemeriksaan kesihatan untuk mengurangkan jumlah pendapatan kena cukai dan membayar zakat kerana anda boleh mendapat rebat.
Sebagai pembayar cukai, anda sebenarnya menanggung kerugian sekiranya membayar cukai berlebihan kerana ia membabitkan pengeluaran wang tunai yang tidak perlu, yang sewajarnya boleh digunakan untuk perkara lain seperti pelaburan atau untuk mengurangkan hutang.
Perkara ini boleh dielak jika anda mengambil langkah proaktif dengan menghantar semula borang BNCP kepada LHDN supaya pendapatan anda boleh ditaksir dan anda boleh membuat tuntutan pelepasan dan pengecualian yang layak.
Justeru, berilah tumpuan untuk mengisi borang BNCP anda dengan betul dan buatlah tuntutan yang selayaknya untuk perancangan kewangan yang lebih berkesan.
Pastikan perbelanjaan yang anda lakukan sepanjang tahun turut tertumpu kepada perkara-perkara yang melayakkan anda membuat tuntutan mudah seperti pembelian buku, peralatan sukan, pemeriksaan kesihatan dan pelbagai pelepasan lain yang memberi manfaat kepada anda.
Namun begitu, anda perlu jujur dalam membuat tuntutan dan tidak membuat tuntutan palsu kerana ia boleh menyebabkan anda dikenakan penalti dan dipenjara.
Pastikan juga anda sentiasa mengambil tahu perkembangan terkini mengenai jenis-jenis pelepasan, pengecualian dan rebat yang diberikan setiap kali Bajet dibentangkan pada Oktober. Ini akan membantu anda membuat perancangan percukaian yang lebih berkesan.
Sekarang ini semuanya online, jadi jangan lupa, laksanakan tanggungjawab anda sebagai warganegara Malaysia dengan membayar cukai dan urus kewangan dengan bijak.