Pengorbanan Dalam Mencapai Keselesaan Kewangan
Mencapai keselesaan dan kestabilan kewangan adalah matlamat pengurusan kewangan bagi setiap insan namun ia memerlukan disiplin, pelan strategik, dan pengorbanan.
Pengorbanan ini merangkumi keseluruhan aspek pengurusan kewangan termasuk menabung (saving), pelaburan (investment) dan perbelanjaan (spending) dalam kehidupan seharian.
Kepentingan pengorbanan dalam menabung
Amalan menabung adalah asas kepada keselesaan kewangan namun ia sering memerlukan pengorbanan. Salah satu aspek pengorbanan dalam menabung adalah dengan mengurangkan perbelanjaan dan dalam masa yang sama duit tersebut dapat disimpan sebagai dana kecemasan.
Selain itu, mengautomasikan penabungan adalah strategi yang kukuh dan mudah dalam usaha menyimpan secara konsisten.
Dengan menyediakan pemindahan automatik dari sumber pendapatan kepada simpanan, ia dapat mengurangkan kebarangkalian pendapatan tersebut digunakan pada tempat yang bukan prioriti serta menstabilkan kehendak emosi untuk berbelanja.
ASNB juga memperkenalkan perkhidmatan auto labur di myASNB yang membolehkan pelabur ASNB menetapkan pelaburan setiap bulan secara automatik. Kelebihan auto labur ini adalah pelabur dapat membuat simpanan secara konsisten setiap bulan bermula dengan hanya RM10.
Ketika keadaan ekonomi baik dan memberansangkan, hendaklah kita berjimat cermat dan merancang bagi menghadapi tempoh-tempoh yang kritikal dan sukar. Tabiat menabung dan menyimpan ini sememangnya memerlukan pengorbanan dan keazaman yang tinggi.
Lihat bagaimana Al-Quran mengisahkan tentang Nabi Yusuf Alaihissalam mentafsir mimpi Raja Mesir ketika itu di mana negara Mesir bakal menghadapi tujuh tahun pertama yang subur dengan tanaman dan kemudian tujuh tahun seterusnya akan berlaku krisis kemarau yang teruk. Nabi Yusuf Alaihissalam menasihatkan agar pada tujuh tahun pertama tersebut hendaklah disimpan sebahagian besar dari hasilnya sebagai persediaan untuk menghadapi bencana kemarau pada tujuh tahun berikutnya.
Pelaburan: Pengorbanan jangka panjang
Untuk mengembangkan harta, pelaburan adalah medium yang terbaik bagi menjana pendapatan jangka panjang namun ia datang dengan risiko dan pengorbanan. Kaedah fiqh ada menyebut ‘al-ghurm bi al-ghunm’ yang bermaksud keuntungan datang dengan risiko. Tiada pelaburan yang sifar dari risiko dan pengorbanan.
Pelaburan pastinya memerlukan pengorbanan dan kesabaran dalam menunggu hasil keuntungan. Pelaburan seperti saham, sukuk, dan unit amanah kebiasaannya mengambil masa jangka panjang untuk matang dan memberikan pulangan yang signifikan. Diversifikasi pelaburan merentasi pelbagai aset pula mungkin menyebabkan pertumbuhan yang lebih perlahan pada mulanya namun ia dapat mengurangkan risiko kerugian yang besar.
Selain itu, pelabur juga perlukan edukasi dan pemahaman terhadap pergerakan turun naik pasaran saham, tren pasaran, indikator ekonomi, analisis pasaran dan ini semua memerlukan pengorbanan masa, tenaga, emosi dan sebagainya. Figura pelaburan seperti Warren Buffett mementingkan kesabaran dan minda jangka panjang dalam pelaburannya seperti kata-katanya yang terkenal "Pasaran saham direka untuk memindahkan wang dari yang aktif (tidak sabar) kepada yang sabar."
Antara kelebihan unit amanah ASB adalah setiap unit kekal pada nilai satu ringgit Malaysia di mana PNB sebagai pengurus dana menyerap risiko naik turun pasaran saham dan dana tersebut di samping menjanjikan pembelian dan penjualan unit ASB kekal pada satu ringgit Malaysia.
Berbelanja dengan bijak: Pengorbanan setiap hari.
Perbelanjaan adalah perkara yang tidak dapat dielakkan dalam pengurusan kewangan. Untuk mengelakkan dari kebocoran kewangan, perbelanjaan haruslah diuruskan dengan bijak demi mencapai keselesaan kewangan.
Disarankan agar perbelanjaan dibajetkan agar ia hanya digunakan pada perkara-perkara penting seperti pembayaran perumahan, pengangkutan, utiliti, barangan basah dan keperluan-keperluan asas yang lain.
Apabila perbelanjaan perlu dibajetkan dan dikurangkan, kita terpaksa berkorban untuk tidak membeli perkara-perkara kehendak dan perlu hidup di bawah kemampuan. Prinsip hidup di bawah kemampuan ini amat penting agar perbelanjaan yang dijimatkan itu dapat digunakan untuk keperluan asasi dan sebagai dana kecemasan.
Ajaran Islam melarang umatnya dari membazir sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah Al-Isra’ ayat ke-27 yang bermaksud:
“Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu ialah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya” [Al-Isra’:27]
Sebagai contoh pembelian impulsif iaitu pembelian tanpa perancangan disebabkan terikut-ikut dengan tren akan menyebabkan barangan bukan keperluan yang dibeli tersebut tidak digunakan akhirnya menyebabkan pembaziran. Untuk mengelakkan pembaziran ini, kita perlu berkorban kehendak dan emosi dalam merancang perbelanjaan agar ia benar-benar disalurkan pada perkara-perkara keperluan dan yang bermanfaat.
Aidiladha: Makna pengorbanan yang diluaskan
Kita baru sahaja menyambut Hari Raya Aidiladha di mana sejarah pensyariatannya adalah berkisarkan kisah Nabi Ibrahim Alaihissalam berkorban menyembelih anaknya Nabi Ismail.
Ketaatan dan kepercayaan Nabi Ibrahim Alaihissalam kepada arahan Allah untuk melakukan pengorbanan menyembelih anaknya Nabi Ismail Alaihissalam akhirnya dibalas dengan pertukaran seekor kibas (kambing biri-biri).
Begitu juga dengan pengorbanan isteri Nabi Ibrahim Alaihissalam, Siti Hajar, apabila beliau ditinggalkan berseorangan dengan anaknya di padang pasir yang kering kontang. Siti Hajar terpaksa berulang alik di antara Safa dan Marwah untuk mencari seteguk airnya, akhirnya pengorbanannya dibalas oleh oleh Allah dengan dikurniakan air zam-zam yang terus memberi manafaat kepada jutaan umat Islam sehingga hari ini.
FIrman Allah SWT dalam Surah Ibrahim ayat ke-37 yang bermaksud:
“Ya Tuhan kami, sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian keturunanku di lembah yang tidak mempunyai tanam-tanaman di dekat rumah Engkau (Baitullah) yang dihormati, ya Tuhan kami (yang demikian itu) agar mereka mendirikan solat, maka jadikanlah hati sebagian manusia cenderung kepada mereka dan berilah rezeki kepada mereka dari buah-buahan, mudah-mudahan mereka bersyukur.” [Ibrahim: 37]
Pengajaran dari kisah ini menunjukkan bahawa setiap yang hidup akan diuji oleh Allah SWT dengan pelbagai ujian samada ujian kekeluargaan atau kesihatan atau kewangan atau lain-lain. Bagi menghadapi ujian-ujian ini, kita perlukan pengorbanan.
Makna pengorbanan dalam kisah ini juga dapat diperluaskan dalam aspek pengurusan kewangan di mana setiap pengorbanan yang dilakukan tentunya akan memperolehi ganjaran. Pengorbanan ini walaupun mencabar namun ia adalah keperluan dalam membina masa depan kewangan yang stabil dan selesa.
Tidak ada kesenangan yang datang tanpa perlu bersusah payah dan dan bersungguh-sungguh dalam pengorbanan. Pengorbanan yang dilakukan pada hari ini akan membawa keselamatan dan kesejahteraan pada hari esok. Ia adalah sebuah perjalanan yang memerlukan kesabaran dan ketekunan demi masa depan orang-orang yang tercinta di sekeliling kita.