Panduan Asas Percukaian

Cukai pendapatan merupakan cukai yang dikenakan terhadap individu apabila pendapatan penggajian tahunannya melebihi jumlah tertentu yang ditetapkan.
Oleh itu, sekiranya anda merupakan individu yang mempunyai pendapatan penggajian tahunan melebihi RM34,000 (selepas potongan KWSP) dan mempunyai Potongan Cukai Bulanan (PCB), anda layak dikenakan cukai di Malaysia. Jadi, anda dinasihatkan untuk mendaftar fail cukai pendapatan dengan segera di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Pembayar cukai yang layak hanya perlu membayar cukai terhadap pendapatan yang diperolehi di Malaysia sahaja. Berikut merupakan jenis pendapatan yang dikenakan cukai yang diperolehi daripada:
a. Keuntungan daripada sesuatu perniagaan;
b. Keuntungan daripada pengajian;
c. Dividen, faedah atau diskaun;
d. Sewa, royalti, atau premium;
e. Pencen, anuiti atau bayaran berkala lain; dan
f. Keuntungan yang tidak termasuk dalam mana-mana butiran di atas.

Untuk penilaian taksiran cukai, pembayar cukai perlu mengisi borang cukai dengan sendiri menggunakan Sistem Taksiran Sendiri (STS).
Pembayar cukai dikehendaki mengira pendapatan yang dikenakan cukai, mengira cukai yang dikenakan, menghantar Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) dan membuat bayaran cukai bagi tahun taksiran yang berkenaan.
Anda boleh mengisi BNCP secara manual atau menerusi kaedah e-filing.
Sebagai warganegara Malaysia, kita perlu melaksanakan tanggungjawab untuk membayar cukai sekiranya kita memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.
Oleh itu, jangan sesekali melupakan tarikh penting iaitu pada 1 Mac setiap tahun kerana pada tarikh itu, anda sudah boleh mula mengisi dan menghantar e-filing.
Apabila anda membuat taksiran cukai, beberapa perkara perlu diberi perhatian seperti :
1. Pengecualian Cukai
Terdapat beberapa jenis pendapatan yang dikecualikan daripada cukai. Oleh itu, ia tidak akan menjadi sebahagian daripada pendapatan bercukai, dah berikutan itu, ia juga tidak akan dikira sebagai sebahagian daripada jumlah pendapatan agregat.
Contoh pendapatan yang dikecualikan daripada cukai ialah dividen yang diperoleh daripada pelaburan Unit Amanah yang diluluskan seperti dividen Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan dividen daripada Koperasi yang diluluskan.
Sehubungan itu, anda sewajarnya mengutamakan pelaburan yang dividennya tidak dikenakan cukai seperti ASB.

2. Pelepasan Cukai
Pelepasan cukai akan membantu kita mengurangkan pendapatan boleh dikenakan cukai. Pendapatan boleh dikenakan cukai ini menentukan kadar cukai, sekaligus mengurangkan jumlah cukai yang perlu kita bayar.
Oleh itu, kita boleh menyusun perbelanjaan dengan tidak melupakan perbelanjaan yang diberi pelepasan cukai. Antara perbelanjaan yang diberi pelepasan cukai ialah yuran pendidikan, insurans hayat dan perbelanjaan gaya hidup seperti bahan bacaan, alatan sukan.
3. Potongan Cukai
Potongan cukai membantu mengurangkan jumlah cukai yang perlu dibayar. Secara teknikalnya, ia mengurangkan cukai agregat berbanding pendapatan boleh cukai.
Antara perbelanjaan yang layak mendapat potongan cukai ialah derma dan aktiviti sukan yang diluluskan oleh kerajaan.
4. Rebat Cukai
Rebat cukai akan mengurangkan lagi jumlah cukai yang dikenakan. Antara contoh rebat cukai adalah Zakat/Fitrah dan Levi pelepasan bagi perjalanan umrah.
Secara keseluruhannya, sebagai pembayar cukai kita boleh merancang untuk meminimumkan cukai yang perlu dibayar dengan memberi tumpuan kepada pelepasan, potongan dan rebat cukai yang diberikan. Sekiranya kita bijak mengurus perbelanjaan ini, tidak mustahil kita akan menikmati lebihan daripada Potongan Cukai Berjadual (PCB) selepas membuat taksiran.
Untuk menguruskan cukai dengan berkesan, berikut merupakan beberapa tips dan panduan untuk anda:
a. Pasangan suami isteri digalakkan membuat cukai berasingan supaya mereka dapat membuat taksiran berdasarkan pendapatan dan perbelanjaan masing-masing;
b. Melabur dalam instrumen pelaburan yang dividen/ pendapatannya tidak dikenakan cukai;
c. Berbelanja untuk barangan dan perkhidmatan yang layak mendapat pelepasan cukai. Anda bukan saja boleh menikmati penggunaannya, tetapi pada masa yang sama, dapat menuntut pelepasan cukai;
d. Menderma, memberi hadiah dan membayar zakat setiap tahun.
Sumber : https://www.hasil.gov.my/