Ingin kira penjimatan jika anda kurangkan secawan kopi seminggu?

Pengaruh Geopolitik dalam Dunia Pelaburan

Dr Muhamad Nadzri Mohamed Noor - BM
ASNB
ASNB Academy

5 minit masa membaca

Globalisasi, khasnya selepas berakhirnya Perang Dingin pada awal 1990an, telah  meningkatkan integrasi sistem ekonomi politik antarabangsa ke tahap tertinggi.

Kemasukan dua kuasa besar ke dalam sistem itu, China (pasaran yang luas dengan kos buruh yang kompetitif) dan Rusia (kepelbagaian sumber tenaga), dengan kestabilan geopolitik yang baik dan konflik antarabangsa yang terhad, di bawah hegemoni aturan liberal Amerika Syarikat (A.S.) secara unipolar telah merancakkan ekonomi dunia dengan cukup mendadak.

Pasaran saham mencapai kemajuan yang tidak pernah digapai pada era-era sebelumnya, khasnya sehingga tahun 2007. Hal ini membawa kepada tiga perkara pokok dalam geopolitik pelaburan kontemporari.

Pertama, pasaran saham berpotensi untuk berkembang baik di dalam keadaan geopolitik global (dan serantau) yang stabil.

Kedua, keampuhan kerajaan dan dasar-dasar yang membangun di peringkat domestik juga memainkan peranan yang penting.

Ketiga, kestabilan ekonomi dan politik A.S., sebagai kuasa terbesar di dalam sistem ekonomi politik dunia, turut mengimpak pasaran saham antarabangsa dengan signifikan.

rusia as

Namun, kemajuan ekonomi dan kestabilan politik juga telah membawa kebangkitan China di Asia, dan kemunculan semula Rusia di Eropah Timur - yang bertembung dengan kedudukan serta kepentingan  A.S. di rantau-rantau itu. Malah Rusia dan China telah bekerjasama dalam menggugat kuasa A.S. dan sekutunya iaitu Kesatuan Eropah (E.U.) dan United Kingdom (U.K.) di seantero dunia – termasuk di Timur Tengah, Indo-Pasifik, Afrika dan Amerika Latin.

Di dalam Perang Rusia-Ukraine umpamanya, China mengukuhkan kerjasama ekonomi dan teknologi melalui persahabatan “tanpa had” dengan Rusia. A.S. dan E.U. pula mengenakan sekatan ekonomi yang tinggi terhadap Rusia. Di Asia Timur, A.S. dan China terjebak di dalam Perang Dagang sejak 2017, dasar yang diperkenalkan Presiden Trump dan kini ditingkatkan di zaman Presiden Biden. Peristiwa, krisis dan dasar-dasar ini telah memberi kesan besar kepada pasaran saham dan situasi ekonomi dunia.

Walau bagaimanapun, bagi organisasi dan negara yang berdaya maju, krisis tidak semestinya membawa kepada impak yang negatif, sebaliknya juga peluang - khasnya kepada pihak ketiga. Pihak ketiga, yang tidak terlibat secara lansung dengan krisis itu, boleh membuat ramalan secara saintifik dan memerhati perkembangan secara tekun dari semasa ke semasa, sebelum membuat analisis dan mengambil langkah strategik dalam mengurus, menjaga dan memaksimakan kepentingan mereka.

Di dalam situasi kontemporari ini umpamanya, Malaysia telah mendapat manfaat dalam Perang Dagang dan Teknologi di mana A.S. dan E.U. telah memindahkan pelaburan ke rantau Asia Tenggara dalam mengurangkan risiko keselamatan dengan China.

Krisis di Timur Tengah juga telah meningkatkan harga minyak yang memberi kesan positif kepada Malaysia, sebagai negara pengeluar minyak yang penting.

Kuasa unipolar A.S. di dalam ekonomi politik dunia turut dicabar hebat oleh kuasa-kuasa serantau seperti China, E.U., dan Rusia – di mana aturan dunia kini adalah lebih kepada situasi multipolar. Justeru, dalam mendepani perubahan struktural geopolitik dunia lewat ini, kecaknaan situasi secara terkehadapan dengan kepakaran rentas bidang dan langkah-langkah strategik yang proaktif diperlukan untuk mengurangkan risiko dan menjaga / memaksimakan kepentingan pelaburan.

Dalam masa yang sama, kestabilan politik negara dan dasar-dasarnya turut penting, di sebalik keamanan serantau, dalam pengukuhan ekonomi dan perkembangan pelaburan serta perdagangan serantau.

global

Gambar hiasan : Anak kecil yang kekurangan nutrisi akibat perang berterusan di Hajjah, Yaman

Di Yaman umpamanya, meskipun mempunyai simpanan sumber asli yang agak besar, dan berjiran dengan negara yang kaya iaitu Arab Saudi dan Oman, ia kini dianggap umum sebagai negara yang gagal di mana negara itu masih lagi terperangkap dengan perang sivil sejak 2014 akibat daripada kegagalannya dalam mencapai permuafakatan politik.

Malah, hala tuju negara itu kini menjadi percaturan kuasa-kuasa asing serantau dan antarabangsa, termasuk Iran, Arab Saudi, A.S. dan Rusia.

Justeru, kata kunci kepada perkembangan pelaburan adalah kestabilan, baik di peringkat nasional, serantau dan global. Namun, keadaan ini tidak boleh dicapai sepanjang masa di dalam kepelbagaian ketidakseimbangan global dan dunia yang semakin terintegrasi kini. Tambahan pula dengan perubahan aturan global kini, dengan kuasa unipolar A.S. semakin disaingi hebat oleh kuasa-kuasa besar serantau, navigasi strategik dalam mendepani dan mengelak dari kesan-kesan geopolitik adalah sangat diperlukan.