Penama: Bukan Penerima Mutlak

Ramai yang beranggapan dengan adanya penama ia sudah cukup untuk memudahkan waris membuat tuntutan terhadap wang simpanan, KWSP dan SOCSO yang ditinggalkan apabila mereka meninggal dunia.
Jadi ada yang meletakkan nama pasangan, ibu, ayah, anak dan malah ada yang meletakkan nama buah hati sebagai penama, sebagai bukti kasih sayang dan bagi memastikan nasib mereka ini terus terbela selepas kita tiada.
Namun begitu tahukah anda, Majlis Muzakarah Fatwa Kebangsaan kali ke-49 pada 19 September 2000 telah memutuskan bahawa wang KWSP dan wang yang disimpan adalah pusaka yang mesti dibahagikan mengikut hukum Faraid.
Justeru penama hanyalah wasi atau pemegang amanah dan dia hendaklah membahagikan wang peninggalan si mati mengikut hukum Faraid, bukannya mengambil semuanya dan menjadikan wang berkenaan sebagai hak mutlaknya.
Jadi walaupun si suami menamakan isteri sebagai penerima, si isteri bukanlah penerima mutlak, sebaliknya si isteri perlu membahagi-bahagikan wang yang ditinggalkan kepada semua waris suami yang berhak mengikut Faraid. Kegagalan berbuat demikian pastinya menyebabkan penama menanggung dosa. Malangnya ini adalah hakikat yang tidak diketahui ramai menyebabkan kebanyakan daripada kita beranggapan dengan menetapkan penama, masalah pengurusan harta pusaka telah selesai.
Malah ramai penama yang menjadi tamak dan membolot harta berkenaan, menyebabkan mereka yang berhak tidak menerima pembelaan sewajarnya.
Dan bagi yang tidak mahu mengambil tahu, mereka mungkin menanggung dosa kerana menggunakan harta yang bukan milik mereka.
Proses tuntutan juga tidak mudah, wakil waris atau wasi perlu ke makhamah atau Amanah Raya bagi mendapatkan surat kuasa dan probet dan tidak mustahil mengambil masa bertahun-tahun sekiranya waris atau wasi gagal mencapai persetujuan atau berlaku pertelingkahan antara mereka.
Selain mengambil masa, proses tuntutan ini juga mengenakan yuran tertentu bergantung kepada nilai harta yang ditinggalkan seperti yuran guaman dan pentadbiran.
Jadi bayangkan jika anda menamakan ibu anda yang berusia 75 tahun sebagai penama, pastinya sukar baginya sebagai wasi untuk menguruskan harta yang anda tinggalkan.
Jika dia tidak berdaya, mungkin harta berkenaan akhirnya menjadi harta yang tidak dituntut dan waris anda yang berhak tidak mendapat hak mereka.
Bagaimanapun, usah bimbang kerana Islam sebenarnya memberi kita banyak pilihan untuk memudahkan urusan pengurusan harta pusaka, termasuklah dengan menggunakan Wasiat, Hibah, Amanah dan Wakaf.
Cuma kita perlu mengambil sikap proaktif untuk menguruskan harta dan tidak mengharapkan semuanya dilakukan secara percuma untuk kita.
Sikap ambil mudah inilah yang menyebabkan ramai waris yang menjadi mangsa keadaan, malah ada yang terpaksa menjual harta termasuklah rumah yang ditinggalkan si mati kerana hanya itu saja caranya untuk memastikan semua waris si mati menerima bahagian masing-masing.
Antara kaedah yang diketahui dan sering digunakan ialah Wasiat, bagaimanapun harta yang diwasiatkan masih tertakluk kepada undang-undang probet.
Ia perlu diuruskan mengikut proses yang telah ditetapkan termasuk mendapatkan surat kuasa wakil sebelum Wasiat boleh dilaksanakan.
Jadi antara pilihan terbaik yang boleh digunakan ialah Hibah kerana ia menjadikan penerima sebagai penerima mutlak dan boleh diberikan kepada sesiapa sahaja yang dinginkan termasuklah waris yang tidak layak menerima harta pusaka seperti anak angkat, ibu angkat, sahabat baik dan lain-lain.
Hibah juga boleh membantu sekiranya semua anak-anak anda adalah perempuan, memandangkan tuntutan faraid untuk mereka yang hanya memiliki anak perempuan adalah lebih rumit.
Oleh kerana Hibah merupakan hadiah atas dasar kasih, jumlah harta yang boleh dihibah adalah tidak terhad dan harta yang sudah dihibahkan tidak lagi menjadi sebahagian harta pusaka.
Menggunakan Wasiat dan Hibah bukanlah menidakkan kehebatan pembahagian harta pusaka menerusi Faraid, cuma ia dapat membantu mengurangkan masalah yang sering timbul apabila harta ditinggalkan begitu sahaja, sedangkan harta yang diurus dengan baik akan terus memberi manfaat kepada mereka yang kita sayang.