Ingin kira penjimatan jika anda kurangkan secawan kopi seminggu?

Pelaburan Kripto : 6 Perkara Anda Perlu Tahu

cryptocurrency investment
ASNB
ASNB Academy

8 minit masa membaca

Pelaburan dalam mata wang kripto sememangnya telah menarik perhatian ramai kerana ia dikatakan agak menguntungkan berbanding pelaburan lain yang berada dalam kelas yang sama.

Namun begitu, oleh kerana volatilitinya yang tinggi, pelaburan dalam mata wang kripto dianggap sebagai berisiko tinggi dan boleh menyebabkan kerugian besar kepada pelaburnya.

Justeru sekiranya anda berminat untuk terlibat dalam pelaburan ini, adalah amat penting untuk anda memahami perkara asas berkaitan mata wang kripto, manfaat dan risiko yang berkaitan dengan pelaburan berkenaan.

Oleh itu, sama seperti melabur dalam instrumen pelaburan lain, pastikan anda membuat pertimbangan wajar untuk perkara seperti objektif pelaburan, tempoh pelaburan, kemampuan kewangan dan juga profil risiko anda.

Selain itu, anda perlu memastikan bahawa paltform pelaburan yang disertai adalah sah dan selamat, bukannya sekadar scam dalam talian yang sangat berleluasa hari ini.

1. Apakah itu Cryptocurrency?

Cryptocurrency ialah mata wang digital atau maya yang menggunakan kriptografi untuk keselamatan dan beroperasi tanpa pemantauan daripada pihak berkuasa pusat atau kerajaan. .

Tidak seperti mata wang yang biasa kita gunakan setiap hari, yang dikeluarkan oleh kerajaan setiap negara (mata wang fiat), mata wang digital menggunakan teknologi blockchain untuk mendapatkan desentralisasi, ketelusan dan kebolehubahan.

Dalam dunia hari ini, Cryptocurrency boleh digunakan untuk membayar pembelian dalam talian tanpa melalui perantara, seperti bank, atau ia boleh dipegang sebagai pelaburan.

2. Ciri Utama Matawang Kripto

  • Desentralisasi: Kebanyakan mata wang kripto tidak beroperasi secara berpusat, sebaliknya beroperasi pada rangkaian peer-to-peer tanpa pihak berkuasa tertentu yang mengawasi operasinya.
  • Keselamatan: Mata wang kripto menggunakan teknik kriptografi untuk mengawal transaksi dan penciptaan unit baharu serta mengesahkan pemindahan aset.
  • Ketelusan: Transaksi direkodkan pada lejar awam untuk ketelusan bagi mengurangkan risiko penipuan.
  • Tidak boleh diubah : Setelah direkodkan dalam rantaian blok, urus niaga tidak boleh diubah atau dipadamkan untuk memastikan integriti data dapat dikekalkan.
cryptocurrency investment 1

3. Matawang Kripto Yang Popular

  • Bitcoin (BTC): Mata wang kripto pertama dan paling terkenal yang sering dirujuk sebagai emas digital. Bitcoin yang dicipta pada tahun 2009 oleh Satoshi Nakamoto merupakan mata wang kripto asal. Pada Mei 2016, satu Bitcoin boleh dibeli pada harga harga kira-kira $500. Pada 23 Julai 2024, harga satu bitcoin diniagakan pada sekitar $66,506, yang merupakan pertumbuhan sebanyak 13,201%.
  • Ethereum (ETH): Ia merupakan mata wang kripto dengan rangkaian blok yang didesentralisasi dengan funsgi kontrak pintar dan aplikasi terdesentralisasi (dApps). Dari April 2016 hingga akhir Julai 2024, harganya meningkat daripada kira-kira $11 kepada sekitar $3,501, meningkat 31,730%.
  • Tether (USDT): Tether (USDT) ialah stablecoin, bermakna ia disokong oleh mata wang fiat seperti dolar A.S. dan Euro dan secara hipotesis mengekalkan nilai yang sama dengan salah satu denominasi tersebut.
  • Binance Coin (BNB): Mata wang kripto yang digunakan untuk berdagang dalam Binance yang merupakan antara bursa kripto terbesar di dunia. Harga BNB pada 2017 hanyalah $0.10, namun pada akhir Julai 2024, harganya telah meningkat kepada sekitar $584, peningkatan sebanyak 584,301%.
  • Ripple (XRP): Mata wang kripto ini memberi fokus kepada usaha memudahkan pembayaran rentas sempadan dalam masa nyata untuk institusi kewangan. Pada awal 2017, harganya ialah $0.006, namun pada Julai 2024, ia mencapai $0.60, peningkatan sebanyak 9,825%.

4. Manfaat Melabur dalam Matawang Kripto

  • Berpotensi Mendapat Pulangan Tinggi: Rekod menunjukkan mata wang kripto mampu memberi pulangan yang tinggi kepada pelabur. Ini berdasarkan peningkatan ketara dalam harga seunit syiling yang ditawarkan dalam masa yang singkat.
  • Kepelbagaian Portfolio: Menjadikan mata wang kripto sebahagian pelaburan membolehkan anda mempelbagaikan pelaburan dan menyebarkan risiko. Ini sekaligus mengurangkan risiko kerugian, dan memberi peluang untuk anda menjana pendapatan tambahan.
  • Kebolehcapaian: Berbeza berbanding platform pelaburan seperti pasaran saham atau unit amanah yang mempunyai waktu dagangan tertentu, mata wang kripto boleh didagangkan setiap masa (24/7). Jadi anda boleh membuat pemantauan dan keputusan di masa lapang anda.
  • Lindung Nilai Daripada Inflasi: Sesetengah pelabur melihat mata wang kripto, terutamanya Bitcoin, sebagai kalis inflasi, justeru mengekalkan nilai mata wang dalam jangka panjang.

5. Risiko Pelaburan Matawang Kripto

  • Turun naik: Pergerakan mata wang kripto adalah sangat tidak menentu menjadikan volatilitinya sangat tinggi, justeru harga seunitnya boleh berubah dalam masa yang singkat.
  • Ketidakpastian Peraturan: Persekitaran kawal selia untuk mata wang kripto masih berkembang, dan pada masa ini masih belum ada pihak berkuasa khas yang memantau pemain dan pergerakan pasaran. Ketidaktentuan ini mungkin memberi kesan kepada pelaburan anda dan kepada pasaran secara keseluruhannya.
  • Risiko Keselamatan: Walaupun blockchain dianggap sebagai selamat, namun aktiviti pertukaran dan dompet pelaburan anda tetap terdedah kepada penggodaman dan penipu, terutamanya yang beroperasi dalam talian.
  • Manipulasi Pasaran: Disebabkan kecairan yang agak rendah dalam sesetengah mata wang kripto, harga boleh tertakluk kepada manipulasi oleh pedagang besar.
  • Kekurangan Nilai Intrinsik: Tidak seperti aset tradisional, mata wang kripto tidak menjana aliran tunai atau pendapatan secara meluas, menjadikan nilainya lebih sukar ditentukan.

6. Langkah untuk Mula Melabur dalam Matawang Kripto

  • Penyelidikan dan Pendidikan - Tambah ilmu dan fahami mengenai asas teknologi blockchain dan mata wang kripto terutamanya mata wang yang anda minati. Pastikan anda sentiasa mengambil tahu mengenai berita terkini dan aliran turun naik mata wang berkenaan. Dagangan mata wang kripto pernah mengalami kejatuhan besar pada 2021 apabila Bitocin jatuh 30% daripada paras tertingginya kepada $47,686.81 manakala Ethereum jatuh sebanyak 23& kepada  $3,769.70
  • Pilih Platform yang dipercayai - Pilih platform mata wang yang diiktiraf kerajaan untuk memastikan keselamatan pelaburan, kecairan tinngi dan antara muka yang mesra pengguna. Sebagai contoh, di Malaysia, platform yang ada ialah Luno.
  • Buat Dompet - Gunakan dompet selamat untuk menyimpan mata wang kripto anda dan melakukan transaksi dengan selamat. Setiap deompet mempunyai kunci awam dan persendirian untuk menghantar dan menerima mata wang kripto.
  • Bangunkan Strategi Yang Betul - Apabila melabur, anda kena ada strategi untuk memastikan pelaburan anda memberi hasil yang diinginkan, antaranya tetapkan matlamat, jumlah pelaburan berdasarkan kemampuan kewangan, strategi agresif atau pasif, jangka pendek atau panjang dan sebagainya. Jangan melabur kerana ikut kawan atau terlalu fokus kepada keuntungan sehingga anda akhirnya membuat keputusan tidak rasional. Paling penting jangan meminjam kerana ini merupakan pelaburan berisiko tinggi.
  • Mula Kecil - Mulakan dengan pelaburan kecil untuk membiasakan diri dengan dinamik pasaran sebelum melabur dalam jumlah lebih besar.
  • Pelbagaikan Portfolio Anda - Elakkan meletakkan semua wang anda ke dalam sejenis mata wang kripto sahaja untuk mengurangkan risiko kerugian.
  • Pantau dan Semakan - Sentiasa semak prestasi pelaburan dan ikuti semua perkembangan berkaitan mata wang yang anda pilih untuk membuat keputusan bermaklumat. Anda juga perlu sentiasa bersedia untuk melaraskan strategi pada bila-bila masa supaya anda dapat memberi tindak balas sesuai kepada perubahan aliran pasaran dan kemas kini dalam peraturan.

Kesimpulan

Pelaburan mata wang kripto menawarkan peluang pelaburan yang menarik, namun ia datang bersama risiko yang tinggi.

Oleh itu, sekiranya anda berminat untuk melabur, adalah penting untuk anda mempunyai pemahaman menyeluruh mengenai pasaran mata wang kripto ini, mempunyai strategi pelaburan yang sesuai dan kemampuan kewangan untuk menavigasi lanskap pelaburan yang tidak menentu ini.

Bagaimanapun, sebelum melabur dalam sebarang instrumen pelaburan berisiko tinggi, anda dinasihatkan supaya memiliki tabung kecemasan mewakili 6 bulan gaji semasa dalam instrumen pelaburan seperti deposit tetap ASB. Dengan adanya kubu kewangan ini, kewangan anda tidak akan terjejas sekiranya anda berdepan kerugian dalam pelaburan mata wang kripto ini.

CTA Button-BlueYellow-BM