Ingin kira penjimatan jika anda kurangkan secawan kopi seminggu?

Optimum Cukai Pendapatan:5 Perkara Boleh Dilakukan

Suzardi Maulan
Suzardi Maulan
Suzardi Maulan

7 minit masa membaca

Sekiranya pada tahun 2023 anda masih bujang, pekerja sektor swasta dan mempunyai pendapatan sebulan RM 4,020 sebulan atau RM 48,240 setahun maka pendapatan bercukai anda telah pun mencecah RM 35,000.

Jumlah cukai yang perlu dibayar ialah kira-kira RM 600 setahun atau sekitar RM 50 ringgit sebulan setelah mengambil kira jumlah caruman KWSP dan PERKESO.

Namun, sekiranya jumlah pendapatan tadi adalah sekali ganda iaitu RM 8,040 sebulan atau RM 96,480 setahun, maka pendapatan bercukai menjadi RM 83,243 dan cukai setahun yang perlu dibayar ialah kira-kira RM 6,200 atau lebih RM 500 sebulan. (Saya namakan individu ini sebagai Aniq)

Kenapa ini berlaku? Banjaran cukai (tax bracket) yang berbeza.

Tidak ramai orang pening kepala kalau kena bayar cukai setahun RM 600 sahaja, tetapi jika kena bayar sampai RM 6 ribu atau dekat sebulan gaji, memang cepat kepala jadi botak.

cara-optimumkan-cukai-pendapatan

Jadi, boleh tak anda selaku pembayar cukai mengurangkan jumlah cukai yang perlu dibayar secara sah?

Jawapannya boleh. Caranya dengan memanfaatkan pelepasan dan rebat cukai yang telah diperuntukkan oleh undang-undang.

Maka dalam tempoh yang kurang 3 bulan sebelum tahun 2024 ini berakhir, apa yang dapat anda buat? Saya kongsikan 5 perkara.

 1. Semak jumlah perlindungan insurans hayat atau takaful keluarga

Pelepasan cukai untuk perkara ini ialah maksimum RM 3,000 setahun.

Jadi, anda boleh berjumpa dengan mana-mana wakil penasihat kewangan untuk menyemak semula adakah anda telah mengambil jumlah perlindungan yang wajar.

Seandainya Aniq mempunyai perlindungan dan membayar sumbangan takaful keluarga sebanyak RM2,000 setahun, maka jumlah cukai yang perlu dibayar sudah berkurangan sekitar RM 400.

Perlindungan ada, pengurangan bayar cukai pun dapat.

2. Vaksinasi dan pemeriksaan kesihatan penuh

Kos rawatan kesihatan adalah mahal. Mencegah itu lebih baik dari mengubati.

Maka salah satu cara pencegahan adalah mendapatkan suntikan vaksin seperti Covid-19, influenza, pneumococcal, human papillomavirus (HPV) dan sebagainya.

Boleh rujuk doktor keluarga anda tentang hal ini. Selain itu anda juga dapat membuat pemeriksaan kesihatan penuh.

Untuk Aniq, dia telah membelanjakan 800 ringgit untuk tujuan ini.

Maka jumlah cukai yang perlu dibayar berkurang lagi sebanyak sekitar RM 150.

pelepasan-cukai-gaya-hidup

3. Gaya hidup – Buku, majalah dan langganan internet

Pembelian bahan bacaan merupakan sebahagian pelepasan cukai di bawah kategori gaya hidup.

Saya suka dengan nasihat yang berbunyi lebih kurang – “sebelum anda nak mula melabur, baca dulu sekurang-kurangnya 10 buku berkaitan kewangan.”

Maka Aniq memanfaatkan pelepasan ini dengan membeli 10 buku berkaitan kewangan yang lazimya lebih mahal dari buku fiksyen.

Jumlah pembelanjaan buku ialah RM 1 ribu. Pada masa yang sama, Aniq juga melanggan internet sebanyak 50 ringgit sebulan atau 600 ringgit setahun.

Pengurangan cukai sekitar 300 ringgit.

4. Membuat derma dan sumbangan

Selain membuat sumbangan ke masjid, rumah anak yatim anda juga boleh membuat sumbangan ke pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Namun, untuk mendapatkan pelepasan cukai anda perlu memastikan terlebih dahulu sama ada sesuatu institusi itu telah mendapatkan kelulusan pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) atau belum.

Jadi anda perlu semak dengan pihak LHDN atau dapatkan maklumat dari institusi tersebut tentang hal ini.

Aniq membuat derma dan sumbangan RM 750 setahun ke institusi yang berdaftar.

Dan ini mengurangkan jumlah cukai kena bayar sebanyak sekitar RM 140.

Rebat Cukai

4 perkara di atas ialah pelepasan cukai yang mana dapat mengurangkan jumlah pendapatan bercukai.

Ini berbeza dengan rebat yang mana jumlah rebat itu akan ditolak terus dari jumlah cukai yang dikenakan.

Untuk Aniq, selepas memanfaatkan 4 kategori pelepasan cukai di atas, jumlah cukai yang perlu dibayar kini menjadi sekitar RM5,200.

Sudah berkurangan sekitar RM1 ribu ringgit. Sekarang, boleh tak cukai yang perlu dibayar itu menjadi lebih rendah?

Maka Aniq boleh buat perkara ke-5 iaitu membayar zakat.

Berdasarkan gaji, Aniq membayar zakat pendapatan RM 200 sebulan atau RM 2,400 setahun dan juga zakat fitrah sebanyak RM14.

Pada masa yang sama Aniq mempunyai simpanan ASB sebanyak RM 40,000.

Jumlah zakat simpanan berdasarkan kalkulator zakat ialah RM 1,000. Maka jumlah zakat yang dibayar ialah RM 3,414.

Maka jumlah ini terus ditolak dari jumlah cukai yang perlu dibayar.

Sekarang cukai yang perlu dibayar oleh Aniq cuma sekitar 1,800 ringgit sahaja atau 150 sebulan.

panduan asas cukai

Bandingkan jumlah yang perlu dibayar jika Aniq tidak memanfaatkan pelepasan dan rebat cukai.

Ya, anda boleh kurangkan lagi bayar cukai dengan mengira jumlah zakat yang telah dibayar sepanjang tahun 2024.

Zakat ini bukan sekadar zakat fitrah yang dibayar pada bulan Ramadhan.

Zakat juga merangkumi zakat pendapatan dan juga zakat harta seperti simpanan anda dalam akaun ASB, ASB2 dan seterusnya.

Setiap Pembayar Cukai Berbeza

Setiap pembayar cukai adalah berbeza. Jika anda sudah berkahwin dan mempunyai anak, maka ada lagi pelepasan cukai yang boleh dituntut.

Begitu juga sekiranya ditakdirkan anda mempunyai anak yang berstatus orang kurang upaya (OKU).

Sekiranya anda mempunyai pendapatan selain penggajian, maka pendapatan tahunan dan pendapatan bercukai juga akan bertambah.

Pendapatan bercukai akan menentukan banjaran cukai anda.

Namun, dengan merancang perbelanjaan tertentu maka anda dapat mengurangkan jumlah cukai kena bayar secara sah.

Anda perlu ambil tahu perkara ini setiap tahun kerana kategori pelepasan dan nilai pelepasan itu dapat berubah-ubah setiap tahun.

Apa yang penting, semua resit pembelian dan perbelanjaan itu hendaklah disimpan dengan baik untuk tempoh 7 tahun.

Jangan sampai kena penalti sekiranya anda kena audit cukai nanti!

*Pengiraan yang lebih tepat adalah ketika membuat efiling.

**Semak senarai dan jumlah pelepasan dan rebat cukai untuk taksiran 2024 yang rasmi melalui laman web LHDN.