Ingin kira penjimatan jika anda kurangkan secawan kopi seminggu?

Menilai Kewangan 2024 & Perancangan 2025

Suzardi Maulan
Suzardi Maulan
Suzardi Maulan

5 minit masa membaca

Masa saya bersekolah menengah dahulu, sewaktu masih berstatus pelajar ‘junior’ kami selalu diminta menyanyikan satu nasyid di surau secara beramai-ramai. Antara liriknya berbunyi:

“Hari ini mesti lebih baik dari semalam.”

Mesejnya kepada seorang pelajar; kalau hari ini dapat selesaikan 10 soalan matematik, esok selesaikan 11 soalan pula. Mudah.

Namun apabila sudah menjadi dewasa, bagaimana pula untuk menjadi lebih baik dari semalam? Saya kupas dari sudut pengurusan kewangan individu.

Pertama sekali, untuk menilai kedudukan kewangan ia menjadi “tahun ini mesti lebih baik dari tahun lepas.”

Cuma apa pula petunjuk yang sepatutnya digunakan untuk membuat penilaian tersebut?

Adakah pulangan pelaburan tahun ini mesti lebih tinggi dari tahun lepas? Gaji tahun ini bertambah dari tahun lepas?

Tahun sebelum ini dah buat wasiat, maka kena buat hibah pula? Nilai perlindungan takaful bertambah banyak?

Maka untuk mula membuat penilaian kewangan, apa yang perlu dibuat ialah membandingkan nilai aset bersih tahun ini dan tahun lepas.

Nilai aset bersih dalam istilah bahasa Inggeris adalah net worth.

Apa itu nilai aset bersih?

Nilai aset bersih ialah nilai sesuatu harta selepas ditolak dengan baki hutang.

Sekiranya nilai harta ialah sebanyak 100 ribu dan baki hutang pula 120 ribu, maka seseorang itu mempunyai nilai aset bersih negatif. Tidak bagus.

Apa yang mula-mula perlu dicapai ialah nilai harta 100 ribu dan baki hutang pula 70 ribu. Menjadikan nilai aset bersih positif sebanyak 30 ribu.

Ya, nilai aset bersih mesti positif.

Kenapa nilai aset bersih ini merupakan petunjuk utama?

Barangkali seseorang itu menerima kenaikan gaji pada 2024.

Namun jika disusuli dengan perubahan gaya hidup, maka sebenarnya seseorang itu masih berlari di tempat yang sama.

Rasa macam sudah pergi jauh, tetapi sebenarnya masih tidak bergerak ke mana-mana.

Ini yang disebut dalam peribahasa Melayu sebagai ‘besar periuk maka besarlah keraknya’.

Situasi lain juga ialah barangkali seseorang itu membeli bitcoin dan nilainya berkembang dari 50 ribu ke 100 ribu tahun ini.

Memang tinggi kenaikannya.

Tetapi pada masa yang sama dia juga menambah hutang sebanyak 100 ribu untuk pergi bercuti ke luar negara, maka dia masih ‘pi mai pi mai tang tu’.

Jadi nilai aset bersih adalah mahsul dari keseimbangan antara pendapatan dan perbelanjaan. Serta harta dan hutang.

Jika betul perkara-perkara ini diuruskan, maka naiklah nilai aset bersih dari tahun ke tahun.

Menilai Kewangan 2024 & Perancangan 2025

Pengiraan nilai aset bersih

Untuk mendapatkan nilai aset bersih, maka apa yang perlu dibuat ialah keluarkan sehelai kertas dan senaraikan perkara-perkara ini.

Satu, senarai harta dan nilai semasa.

Dua, senarai hutang dan baki semasa.

Harta ialah semua jenis aset seperti duit simpanan di bank, saham amanah, akaun pelaburan saham, akaun matawang kripto, akaun emas, akaun koperasi, barang kemas, perniagaan sehinggalah kereta-kereta, rumah dan tanah yang dimiliki.

Untuk akaun dalam pasaran kewangan, dapatkan nilai terkini melalui penyata akaun semasa.

Berapakah nilainya pada 31 Disember. Sekarang sudah mudah untuk diperoleh secara maya.

Apa yang lebih sukar ialah mendapatkan nilai aset yang lambat untuk dicairkan seperti kereta, rumah dan tanah.

Maka anda perlu membuat anggaran yang wajar untuk aset-aset ini.

Hutang pula ialah semua pembiayaan dan pinjaman yang anda ada, termasuklah segala bentuk jaminan kewangan.

Jangan lupa juga senaraikan pinjaman yang dibuat dengan ibu bapa, adik beradik dan juga kawan-kawan.

Itu pun sejenis hutang juga. Tulis baki hutang terkini sahaja. Sesungguhnya hutang itu wajib dibayar.

Seterusnya anda tambah semua nilai harta anda. Kemudian, anda tambah semua baki hutang yang ada. Anda akan dapat nilai keseluruhan harta dan juga nilai keseluruhan baki hutang.

Akhir sekali nilai keseluruhan harta tolak dengan nilai keseluruhan baki hutang. Nilai yang anda dapat itulah nilai aset bersih

Seandainya nilai harta anda ialah 1 juta ringgit dan baki hutang pula 700 ribu, maka nilai aset bersih anda ialah 300 ribu sahaja. Jadi dapatlah anda tahu sebenarnya anda masih belum berstatus jutawan kerana lepas tolak hutang nilai aset bersih tidak lebih 1 juta pun.

Meningkatkan nilai aset bersih

Apa yang dapat dibuat untuk menambah nilai aset bersih?

a. Tambah pendapatan – sama ada naik gaji, berniaga secara kecil-kecilan sebagai pendapatan kedua atau melabur.

b. Kawal perbelanjaan – duit masuk mesti lebih dari duit keluar. Buat belanjawan bulanan. Berdisiplin. Aktiviti kawal duit keluar perlu dibuat selari dengan aktiviti menambah pendapatan.

c. Tambah simpanan – tambah nilai simpanan setiap tahun. Sebaiknya jumlah simpanan itu dibuat dengan peratusan. Contoh, tahun depan anda berazam mahu menyimpan 15% sebulan. Jadi, bila tahun depan naik gaji maka jumlah simpanan itu akan turut bertambah.

d. Bayar hutang – Selesaikan hutang-hutang jahat dengan cepat. Tidak perlu tambah hutang untuk perbelanjaan yang tidak perlu dan tidak penting. Cara yang paling efektif ialah menyelesaikan hutang-hutang yang bernilai kecil dahulu. Jangan terus mahu langsaikan hutang rumah yang lazimnya hutang paling besar yang anda ada, penat nanti.

Sebagai permulaan, itulah yang anda perlu buat. Dapatkan dulu nilai aset bersih. Adakah ia angka yang positif atau negatif? Jika angkanya negatif, maka tahun depan fokus untuk menjadikannya positif melalui 4 cara yang telah dikongsikan di atas.