Ingin kira penjimatan jika anda kurangkan secawan kopi seminggu?

Menggunakan Ilmu Ekonomi dalam Kehidupan Harian

Ahmad Aiman bin Asmayatim - BM_1
ASNB
ASNB Academy

6 minit masa membaca

Pakar ekonomi mendefinisikan ilmu ekonomi sebagai satu cabang ilmu yang pada asasnya, membicarakan tentang bagaimana manusia membuat keputusan.

Khazanah ilmu ini sesuai digunakan sebagai rangka pemikiran yang akan membantu kita untuk membuat keputusan dalam kehidupan harian kita.

Jadi, penulisan ini akan berkongsi dua konsep asas ekonomi yang boleh digunakan untuk menilai keputusan anda yang seterusnya, samada kecil atau besar:

  1. Falasi kos hangus
  2. Berfikir pada margin

Berhati-hati dengan Falasi Kos Hangus

Satu contoh menggunakan ilmu ekonomi untuk menyelesaikan dilema yang sering berlaku ialah untuk berwaspada dengan falasi kos hangus.

Kos hangus ialah kos, samada wang atau masa, yang telah dibelanjakan dan tidak boleh diperoleh kembali (lantas terma ‘hangus’).

Falasi yang sering berlaku adalah apabila kita terus menambah perbelanjaan walaupun perkara tersebut tidak lagi memberi kegembiraan pada diri kita.

Perbelanjaan tersebut hanya atas dasar untuk tidak mensia-siakan perbelanjaan asal yang telah pun ‘hangus’.

Contohnya, menonton wayang ‘Madame Web’ sehingga tamat walaupun cerita tersebut bosan hanya kerana kita tidak mahu membazir tiket yang telah dibeli.

Perbuatan ini adalah satu falasi kerana kita hanya akan membuang masa (satu kos tambahan) kerana wang tiket tersebut telahpun ‘hangus’ dan tidak akan dapat ditebus kembali nilainya.

Satu cara untuk menangani falasi ini adalah dengan menanyakan diri kita akan manfaat yang akan diperoleh jika kita terus menambah perbelanjaan untuk perkara yang telah ‘hangus’ tersebut.

fikir

Andai jawapannya adalah tidak, maka tindakan terbaik adalah untuk menamatkan perbelanjaan tersebut.

Oleh itu, seharusnya kita tidak membazirkan masa, membelanjakan wang, atau tenaga untuk sesuatu yang tidak memberi faedah atau manafaat.

Bak pepatah Melayu, ‘bagai kambing menanduk bukit; tanduk patah bukit tak runtuh’.

Membuat Keputusan dengan Berfikir pada Margin

Margin adalah perkataan yang kerap digunakan dalam disiplin ekonomi. Menurut kamus dewan bahasa, margin secara bahasa bermaksud perbezaan antara dua jumlah.

Dalam ekonomi, istilah margin membawa maksud kesan penghasilan, penjualan, atau penggunaan lagi satu unit barangan atau perkhidmatan.

Margin dalam disiplin ekonomi digunakan dalam konteks keputusan yang dibuat pada margin.

Beberapa contoh penggunaan istilah margin dalam disiplin ekonomi adalah:

  1. Kos marginal - Perubahan jumlah kos disebabkan penambahan satu unit pengeluaran.
  2. Hasil marginal - Perubahan jumlah hasil disebabkan penambahan satu unit penjualan.
  3. Utiliti (kepuasan) marginal — kepuasan (utiliti) yang diperoleh dari penggunaan lagi satu unit barangan atau perkhidmatan.

Konsep ini mencadangkan seseorang individu untuk berfikir pada margin.

Apabila kita hendak membuat keputusan untuk menghasilkan, menjual atau menggunakan sesuatu barangan atau perkhidmatan, disiplin ekonomi mencadangkan kita untuk mengenal pasti kesan dari tindakan tersebut berdasarkan tambahan lagi satu unit barangan atau perkhidmatan.

Contohnya, penggemar wayang, jika menggunakan konsep ini, sepatutnya mempertimbangkan kos dan kepuasan daripada meneruskan tontonan tersebut atau sebaliknya.

Andainya, keputusan untuk menonton tontonan yang baru lebih dari kosnya, maka ia adalah keputusan yang baik untuk terus menonton wayang yang baru.

Namun begitu, ahli ekonomi mendapati bahawa kepuasan (utiliti) atau kegembiraan yang diperoleh dari setiap penambahan satu unit barangan atau perkhidmatan akan sentiasa berkurang.

Contohnya, gelas air pertama yang diminum ketika berbuka amatlah nikmat.

air

Namun, nikmat tersebut akan berkurang dan terus berkurang pada gelas kedua, ketiga, dan seterusnya. Berfikir pada margin ini membolehkan kita mengenal pasti manfaat untuk setiap pembelian atau penggunaan tambahan.

Ditambah pula dengan dapatan bahawa kepuasan hanya akan berkurang untuk setiap penambahan, konsep ini sebenarnya menggalakkan sikap bersederhana agar kita dapat memaksimumkan kepuasan atau kegembiraan kita.

Tepatlah peribahasa Melayu yang menyatakan, ‘orang tamak selalu rugi’ kerana apabila kita tidak berfikiran secara marginal kemungkinan besar ‘yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran’. 

Kedua-dua konsep yang dibincangkan ini sebenarnya bermanfaat untuk kita. Kadangkala, kita sering terikut dengan aliran semasa atau tekanan rakan sebaya, menyebabkan kita membuat keputusan yang merugikan wang, masa dan tenaga.

Konsep-konsep ini bukanlah penawar unggul untuk masalah yang dinyatakan, namun kedua-duanya boleh membentuk daya fikir yang objektif bagi membantu kita membuat keputusan yang terbaik buat diri kita.

Ini penting kerana setiap keputusan yang kita buat, kecil atau besar, memainkan peranan untuk menambah kualiti kehidupan kita. Mungkin dengan cara fikir yang baharu kita boleh menumpukan wang, masa dan tenaga kita untuk sesuatu yang benar-benar mendatangkan kegembiraan buat diri kita.

CTA Button-BlueYellow-BM