2 Sebab Utama Mengapa Anda Perlu Melabur
Ada 2 perkara penting yang perlu anda tahu mengenai wang dan dua perkara berkenaan adalah sebab utama mengapa anda perlu melabur.
Satu daripadanya menyebabkan nilai wang anda semakin kecil manakala satu lagi mengembangkannya untuk anda membina kekayaan.
Apabila anda tidak melabur, wang anda dianggap sebagai tidur dan nilainya semakin mengecil dari tahun ke tahun. Justeru anda perlu melabur supaya ia dapat bekerja untuk anda.
Inflasi
Tanyakan pada ibu atau bapa anda, kira-kira sepuluh tahun lalu, berapakah harga secawan teh tarik? Anda mungkin terkejut dengan jawapan yang diterima kerana hari ini ia sudah berharga sekitar RM1.50.
Mengapa ini berlaku? Jawapannya ialah inflasi. Inflasi ialah faktor yang menyebabkan nilai wang mengecil selaras peredaran masa. Ia dipengaruhi oleh pelbagai faktor seperti permintaan dan penawaran dan ekonomi semasa.
Justeru bayangkan nilai RM10 yang anda miliki sepuluh tahun akan datang? Jadi bolehkah anda melindungi nilai wang anda? Sudah pasti boleh dan cara terbaik untuk melindunginya ialah dengan melabur.
Cari pelaburan yang memberi pulangan melebihi unjuran inflasi semasa dan berisiko rendah atau sederhana. Antara destinasi pelaburan yang sesuai ialah unit amanah seperti Amanah Saham Bumiputera (ASB).
Pulangan Pelaburan
Anda perlu melabur kerana pelaburan akan memberi pulangan dan pulangan inilah yang akan terus mengembangkan nilai wang anda.
Sekiranya pulangan yang diterima ini tidak dikeluarkan untuk satu jangka masa panjang, kuasa faedah kompaun akan mengembangkan modal pelaburan anda.
Apa itu kuasa pengkompaunan? Menurut saintis terkemuka, Albert Einsten, kuasa pengkompaunan ialah keajaiban dunia yang ke-8. Sesiapa yang memahaminya akan meraih keuntungan, sesiapa yang tidak memanfaatkannya akan kerugian.
Dalam situasi bagaimana agaknya kuasa pengkompaunan akan memberi anda keuntungan? Dengan melabur dalam pelaburan yang memberikan pulangan kompetitif (sebaiknya melebihi unjuran inflasi semasa) dan mengambil sikap berdisiplin dan komited dalam melaksanakannya.
Apa yang pasti, jika anda memulakan pelaburan seawal mungkin, potensi anda untuk mengembangkan wang adalah lebih besar kerana mempunyai pelaburan yang panjang.
Selain itu, kos pelaburan juga adalah lebih rendah, jadi anda tidak perlu memperuntukkan jumlah wang yang besar setiap bulan untuk melabur. Justeru anda masih boleh terus menikmati hidup anda dan pada masa sama melabur untuk masa depan yang lebih terjamin.
Kuasa Faedah Kompaun
Justeru mulalah melabur seawal mungkin, tabungan yang anda miliki akan membantu anda ketika kecemasan, ketika anak-anak memulakan pengajian atau untuk menampung kehidupan selesa selepas persaraan.
Untuk mencapai matlamat anda, lakukan pelaburan secara konsisten menerusi kemudahan potongan gaji bulanan atau arahan tetap yang ada ditawarkan oleh ASNB.