Berapa perlu anda labur untuk miliki rumah idaman?

Main Kutu: Apa Yang Perlu Anda Tahu?

kutu-vs-ASB
ASNB Logo
ASNB Academy

6 minit masa membaca

Antara money games yang paling dikenali ramai di Malaysia ialah main kutu. Cuba tanya ibu, atau nenek anda, pasti mereka pernah main kutu. Malahan mungkin ada juga kawan atau sedara mara anda yang masih main kutu.

Biasanya ia dianggap sebagai cara mudah untuk mempunyai sejumlah wang yang banyak dengan mengumpul modal daripada ramai orang dan setiap peserta akan mempunyai giliran masing-masing untuk menerima wang terkumpul berkenaan.

Bagi yang main kutu ini, biasanya mereka akan menggunakan duit kutu ini untuk melancong atau pembelian besar seperti handphone, peti ais, langsir atau perabut baharu.  Tidak dinafikan kebanyakan mereka juga mengimpikan untuk menerima wang berkenaan sebelum hari raya untuk memenuhi keperluan keluarga.

Akta-wang-kutu

Namun dalam keghairahan bermain kutu, ramai yang tidak sedar bahawa main kutu adalah kesalahan di bawah Akta (Larangan) Kumpulan Wang Kutu 1971, dan sesiapa yang didapati bersalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara tidak lebih sepuluh tahun, atau kedua-duanya.

Apa Sebenarnya Permainan Kutu

Asalnya, main kutu ini sinonim dalam kalangan masyarakat melayu, khususnya golongan wanita dan biasanya mereka ini merupakan suri rumah.

Jika diteliti, konsep main kutu ini sebenarnya lebih kurang seperti membuat pinjaman, tetapi dengan orang yang rapat dengan kita tanpa membayar sebarang faedah dan tiada syarat yang ketat.

Permainan kutu ini dianggap seperti skim menabung secara berkumpulan yang memerlukan beberapa ahli untuk ‘menyumbang’ sejumlah wang yang telah dipersetujui semua peserta setiap bulan.

Kebiasaanya, seorang ‘ibu kutu’ juga akan dipilih sebagai bendahari yang akan menguruskan kutipan dan agihan duit kutu dan kemudiannya, ahli kumpulan akan menerima jumlah wang tersebut mengikut giliran.

Sekiranya peserta berjumlah 8 orang dan jumlah kutipan yang telah dipersetujui bersama ialah RM200 sebulan, setiap bulan, seorang ahli kumpulan akan menerima RM1,600 mengikut giliran yang ditentukan menerusi cabutan undi.

Dari segi positifnya, permainan kutu ini sebenarnya merupakan satu kaedah simpanan paksaan kerana peserta perlu mengetepikan wang setiap bulan untuk membayar jumlah yang telah dipersetujui.

Berbaloi Ke Main Kutu Ini?

Zaman sekarang ini walaupun sudah tidak banyak halangan untuk kita pergi ke bank atau menyimpan dan melaburkan wang,  permainan kutu ini seperti tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek zaman.

Masih ramai yang main kutu, malah macam-macam jenis kutu moden muncul, contohnya ada yang main duit kutu di alam maya atau secara online dan ia berleluasa di aplikasi media sosial.   

Sebenarnya, risiko bermain kutu ini adalah tinggi kerana walau kita bermain dengan mereka yang rapat dan dikenali, setiap manusia tidak pernah bebas daripada ujian.

Masalah sering timbul apabila ibu kutu bersikap tidak amanah sehingga ada yang bertindak melarikan wang yang terkumpul. Maka berputih matalah peserta lain. Yang sudah lepas giliran, mungkin tidak terkesan, namun yang masih menanti, pastilah menanggung kerugian.

Selain itu, ada juga kes dimana peserta tidak mahu membayar mengikut giliran sedangkan wang telahpun diterima, jadi peserta lain tidak dapat menerima wang seperti mana sepatutnya.

Jadi, selain daripada melanggar undang-undang, main kutu ini berisiko untuk ditipu dan kerugian wang. Walaupun main kutu dikalangan keluarga sendiri, macam disebut tadi, sesiapa sahaja boleh gelap mata bila melihat sejumlah duit ditangan. Sudahlah rugi duit, nanti terjadi perbalahan keluarga pula jika ada sedara yang mengambil atau melarikan duit itu.

Dari segi pelaburan dan pengurusan wang pula, bermain kutu ini sebenarnya tidak memberi dividen dan wang yang dipusing sebenarnya adalah wang yang sama.

Ini berbeza jika wang yang sama dilaburkan setiap bulan, contohnya ke dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB) yang mana wang berkenaan sekurang-kurangnya akan menerima dividen setiap bulan kerana ASB mengira dividen berdasarkan baki minimum setiap bulan.

Mungkin tidak signifikan pada awal pelaburan, namun jika konsep kutu ini diterjemah kepada pelaburan, pastinya wang peserta akan berkembang terutamanya jika modal dan dividen tidak dikeluarkan.

Main Kutu Gaya Baru, Apa yang Anda Perlu Tahu

Walaupun sudah agak dilupakan, main kutu kini kembali dengan kaedah lebih sofistikated dan peserta yang lebih berani menanggung risiko menerusi kumpulan kutu yang menawarkannya menerusi Group Facebook atau Telegram. Sudah pasti kutu seperti ini lebih berisiko kerana kita tidak mengenali ahli yang lain walaupun ibu kutu.

Ramai diluar sana yang ingin mengambil kesempatan daripada keinginan anda untuk memiliki sejumlah wang yang banyak pada satu-satu masa, jadi banyaklah skim main kutu yang ditawarkan menerusi Facebook yang mana anda hanya perlu menyumbang sejumlah wang setiap bulan. Malah ada yang meminta supaya peserta mencari downline pula supaya jumlah yang mereka peroleh lebih besar.

Kaedah ini sebenarnya sudah mirip kepada Skim Cepat Kaya atau MLM kerana main kutu yang sudah jadi berlapis-lapis, cuma apa yang pasti ialah, ibu kutu yang paling untung kerana dia sentiasa menerima satu jumlah wang yang besar setiap bulan. Jika ibu kutu lari, apa akan jadi kepada pesarta lapisan pertama, kedua, ketiga, keempat dan seterusnya? Pastinya mereka ini akan berputih mata.

Tahun lalu, seorang penjual nasi lemak didenda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen selepas mengaku bersalah menganjurkan kumpulan ‘wang kutu’ dengan menawarkan pulangan berlipat kali ganda pada 2018.

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa menganjurkan kumpulan wang kutu yang disertai lima individu melalui laman sosial Facebook antara Januari hingga Ogos 2018. Berdasarkan keputusan mahkamah, kesalahan wanita berkenaan adalah serius memandangkan ia bukan kaedah kutu tradisional, sebaliknya menawarkan pulangan berlipat kali ganda dengan syarat perlu mencari ahli seramai mungkin.

Main kutu boleh menyalahi undang-undang apabila ibu kutu mengenakan yuran keahlian daripada peserta yang melanggan skim kutu berkenaan. Permainan ini juga menjadi tidak sah apabila ibu kutu menuntut keuntungan daripada ahli yang menyumbang untuk memperkayakan dirinya.

Selain itu, aktiviti main kutu menyalahi undang-undang apabila dana itu diiklankan atau dipromosikan kepada masyarakat umum.

Oleh itu, berhati-hatilah sekiranya anda ingin bermain kutu, namun lebih baik jika anda memilih untuk meletakkan wang atau melabur dalam institusi kewangan yang diiktiraf oleh kerajaan untuk mengelak kerugian kerana ditipu.

Pilihan ditangan anda, daripada terjebak money games yang belum pasti kesahihannya, buatlah keputusan yang bijak dan tidak merugikan diri sendiri kerana sebenarnya ada banyak cara yang sah dan selamat untuk mengembangkan wang anda.

Kata Kunci:

1) Bermain kutu merupakan kesalahan di bawah Akta (Larangan) Kumpulan Wang Kutu 1971 dan boleh dikenakan denda RM50,000 atau 10 tahun penjara atau kedua-duanya sekali sekiranya;

a) Yuran keahlian dikenakan kepada peserta yang melanggan skim tersebut.

b) Permainan diiklankan atau dipromosikan kepada masyarakat umum.

2) Main kutu mempunyai risiko di mana boleh berlakunya penyelewangan dana oleh ibu kutu dan menyebabkan wang yang diberi lebur.

3) Bermain kutu tidak memberi pulangan atau keuntungan kepada peserta, malah boleh menyebabkan kerugian.

4) Berhati-hati apabila bermain kutu ataupun sebaiknya elakkan bermain kutu dan gunakan wang tersebut untuk melabur di tempat yang memberi keuntungan dan menawarkan risiko yang rendah supaya wang dapat berkembang.