Ingin kira penjimatan jika anda kurangkan secawan kopi seminggu?

Akaun 3 KWSP : Guna Cara ini Kukuhkan Kewangan

Ikhwan Hafiz Hassan - BM
ihkwan-hafiz-guest-writer
Ikhwan Hafiz Hassan

8 minit masa membaca

Baru-baru ini, KWSP telah mengumumkan penstrukturan semula akaun KWSP di mana semua akaun ahli di bawah umur 55 tahun akan distruktur semula kepada tiga akaun.

Pelbagai reaksi telah diberikan terhadap pelaksanaan tersebut. Ada yang menerima baik berita tersebut dan ada pula yang tidak mengambil endah kerana mereka mungkin tidak berniat untuk membuat pengeluaran dari akaun tersebut.

Sebelum kita pergi dengan lebih jauh dalam artikel ini, jemput baca sedikit penerangan berkenaan penstrukturan semula akaun ahli KWSP.

Jika dahulu kita hanya mempunyai Akaun 1 dan Akaun 2, sekarang pencarum bakal mempunyai tiga akaun iaitu Akaun Persaraan, Akaun Sejahtera dan Akaun Fleksibel.

Bagi yang belum tahu, Akaun Fleksibel inilah yang disebut-sebut sebagai Akaun 3 yang mana ia memberikan anda fleksibiliti untuk membuat pengeluaran pada bila-bila masa.

Caruman akan dikreditkan mengikut pecahan berikut:

struktur-kadar-agihan-KWSP

Sumber: EPF, Khazanah Research Institute

Dari sudut positif, Akaun Persaraan pencarum akan menyaksikan pertambahan sebanyak 5% dan ia adalah untuk simpanan hari persaraan.

Penstrukturan semula ini juga memberi fleksibiliti kepada pencarum yang mungkin sedang menghadapi situasi kecemasan atau terdesak.

KWSP menjangkakan sebanyak kira-kira RM20-30 bilion bakal dikeluarkan. Akaun Fleksibel pada asasnya menukar simpanan kepada perbelanjaan.

Ia dilihat akan merangsang kadar perbelanjaan dalam jangka masa pendek tetapi juga akan menurunkan kadar tabungan negara.

Dalam jangka masa pendek, perbelanjaan boleh meningkatkan taraf hidup. Namun dalam jangka masa panjang, kadar simpanan yang lebih rendah bermakna kurang modal tersedia untuk pelaburan lalu menjejaskan pertumbuhan ekonomi.

Memandangkan kita telah diberi peluang untuk membuat pengeluaran, amatlah penting bagi kita untuk tahu bagaimana caranya untuk menggunakan simpanan yang ada dalam Akaun Fleksibel tersebut sebaiknya.

Berikut merupakan beberapa cadangan untuk guna simpanan dalam Akaun Fleksibel dengan lebih bermanfaat.

1. Melangsaikan Hutang Pinjaman

Hampir semua orang mempunyai hutang pinjaman tidak kiralah sama ada pembiayaan rumah, kenderaan, PTPTN atau apa sekalipun.

Salah satu kemungkinan pengeluaran yang bakal dilakukan oleh ahli KWSP adalah untuk melangsaikan hutang yang ada.

Realitinya, jika pengeluaran dari Akaun 3 dapat membantu anda ke arah kehidupan bebas hutang ia tidak menjadi satu masalah.

Skor kredit anda boleh menjadi lebih baik setelah anda melangsaikan hutang-hutang yang ada.

2. Mengutamakan keperluan sara hidup bukannya kehendak

Berbalik kepada tujuan asal akaun 3 KWSP diwujudkan iaitu untuk dikeluarkan ketika kecemasan, sebaiknya anda mengutamakan keperluan sara hidup terlebih dahulu.

Jangan sesekali gunakannya untuk kehendak masing-masing yang akhirnya mengosongkan akaun tersebut.

Belum pun sampai sebulan duit akaun 3 KWSP boleh dikeluarkan, sudah terdapat berita yang memaparkan ada golongan yang menggunakan wang tersebut untuk membeli kasut, bercuti ke luar negara, menukar sport rim kereta, tiket konsert, telefon bimbit dan lain-lain.

Ingatlah tindakan kita pada hari ini akan memberi kesan pada kesejahteraan hidup kita di masa hadapan.

3. Melabur dalam ASB jika tiada keperluan mendesak

Di kala ramai rakyat yang teruja dengan berita KWSP akaun 3 ini, saya percaya tidak semua yang akan keluarkan simpanan mereka.

Pertama, kerana tiada keperluan yang mendesak mereka untuk mengeluarkannya. Kedua, mereka masih berhasrat untuk mengembangkan simpanan tersebut sebagai tabung persaraan.

Berbicara tentang tabung persaraan, sudah tentu kita akan melihat alternatif yang berisiko rendah tetapi mampu memberi pulangan yang baik. Jawapan untuk ini adalah, anda boleh pertimbangkan untuk menyimpan di Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi golongan Bumiputera yang mempunyai akaun tersebut.

ASB menawarkan pulangan yang konsisten saban tahun dan pada masa yang sama berisiko rendah.

4. Mencarum di Skim Persaraan Swasta (PRS)

Bagi yang bercadang untuk membuat pengeluaran dari Akaun 3 KWSP, salah satu cara untuk menggunakan pengeluaran tersebut dengan sebaiknya adalah mencarum di Private Retirement Scheme (PRS).

Meskipun melabur dalam PRS juga mempunyai konsep yang sama iaitu menyimpan untuk persaraan anda, tahukah anda mencarum di PRS juga membolehkan anda menikmati pelepasan cukai?

Namun begitu, sekiranya anda mencarum di PRS bagi tujuan pelepasan cukai, ahli KWSP beragama Islam diwajibkan untuk membayar zakat.

Pengeluaran Akaun Fleksibel tertakluk kepada zakat pada kadar 2.5% tanpa perlu menunggu haul setahun, sekiranya mencapai nisab.

Zakat ini tidak diwajibkan ke atas pengeluaran oleh ahli yang tidak mempunyai sumber kewangan yang mencukupi dan pengeluaran tersebut pula adalah untuk menampung keperluan hidup asasi diri dan tanggungannya.

5. Melabur di Bursa Saham

Memandangkan ahli KWSP telah diberikan fleksibiliti untuk membuat pengeluaran serta mencarum di Akaun Fleksibili), salah satu cara lain untuk menggunakan simpanan Akaun 3 dengan baik adalah melabur di pasaran saham.

Setelah berjaya menggandakan simpanan dari Akaun 3, bolehlah masukkan semula ke dalam tersebut.

Pada tahun ini, kita telah menyaksikan pasaran saham tempatan begitu rancak didagangkan.

Setakat artikel ini ditulis, indeks KLCI telah naik sebanyak 11.1% pada tahun ini dan telah meningkat 13.5% dalam tempoh satu tahun.

bursa-malaysia-KLCI-index

Sumber: Trading View

Komponen saham yang membentuk indeks FBM KLCI pula ada yang telah meningkat dengan tinggi setakat ini sehinggakan ada saham yang telah naik lebih dari 100%!

Prestasi yang menakjubkan ini seharusnya membuka peluang kepada orang ramai untuk turut sama melabur dalam pasaran saham demi menggandakan simpanan, pelaburan dan kekayaan anda.

Dalam pasaran ekuiti, anda bukan sahaja boleh melabur dalam saham syarikat tersenarai, anda juga boleh melabur dalam REITs, ETFs dan sebagainya.

Apa yang penting adalah pastikan anda mempunyai ilmu terlebih dahulu sebelum mula melabur dengan sendiri.

6. Memulakan Perniagaan

Jika dahulu anda mungkin mempunyai impian untuk memulakan perniagaan sendiri namun terbatas atas faktor kewangan.

Kini dengan fleksibiliti untuk mengeluarkan Akaun 3, mengapa tidak gunakan duit tersebut untuk anda memulakan perniagaan?

Pilihan ini dilihat lebih mudah untuk anda memulakan perniagaan berbanding harus membuat pinjaman bank.

Sekiranya belum bersedia untuk memulakan perniagaan secara sepenuh masa, mulakan dahulu secara sampingan.

Apabila dah berjaya menjana keuntungan daripada perniagaan tersebut kelak, jangan lupa untuk isi semula ke dalam akaun KWSP kerana kehidupan anda selepas bersara kelak juga sama pentingnya.

7. Dibiarkan dalam Akaun 3

Seperti yang semua orang tahu, Akaun 3 diwujudkan untuk ahli KWSP mengeluarkan dana tersebut pada waktu kecemasan.

Nama Akaun 3 juga dinamakan sebagai Akaun Fleksibiliti dan ia memberi fleksibiliti kepada pencarum sama ada untuk keluarkan atau dibiarkan sahaja dalam akaun tersebut.

Memandangkan pihak KWSP sendiri telah mengesahkan bahawa tiada perbezaan bagi kadar dividen Akaun 3 dengan akaun yang lain, maka anda akan turut menerima dividen dari simpanan yang ada di Akaun 3.

Selain itu, jika anda membiarkan simpanan di Akaun 3 anda juga berpeluang untuk menggandakan simpanan anda dengan teknik ‘compounding’.

Teknik ‘compounding’ adalah kemampuan aset atau wang untuk menjana pendapatan, yang kemudian dilaburkan semula dengan tujuan meningkatkan lagi pulangan.

Dengan kata erti lain, semakin besar simpanan anda, semakin tinggi potensi pulangan dari simpanan yang terkumpul.

Kesimpulannya

Harus diingatkan, Akaun 3 ini diwujudkan untuk memenuhi keperluan asas dan sebagai persediaan sekiranya kita berhadapan dengan sebarang kecemasan.

Semoga kita tidak membuat pengeluaran semata-mata bagi tujuan tidak berfaedah dan tidak perlu.

Tanpa simpanan persaraan yang mencukupi, pencarum mungkin bakal menghadapi situasi yang mencabar kelak.

Akhir kata, gunalah wang simpanan KWSP anda dengan sebaiknya.

CTA Button-Blue Gradient