Konflik AS–Iran: Bersediakah Kewangan Anda?

Ketidaktentuan akibat krisis bahan api yang sedang berlaku berikutan serangan AS terhadap Iran telah mencetuskan kebimbangan berlakunya kesan domino yang menyebabkan harga barang dan perkhidmatan meningkat dengan ketara.
Walaupun kesannya mungkin belum dirasai pada masa ini, krisis yang berlaku secara tiba-tiba ini sepatutnya mengingatkan kita bahawa ‘kejutan kewangan’ boleh terjadi pada bila-bila masa.
Sekiranya krisis ini berpanjangan dan yang dibimbangkan benar-benar berlaku, adakah kewangan anda bersedia untuk berdepan kesan peningkatan harga ini, yang sekaligus akan meningkatkan kos sara hidup?
Mengapa Perang AS-Iran Memberi Kesan Kepada Ekonomi Dunia?
Ketegangan geopolitik antara Amerika Syarikat dan Iran bukan sekadar isu perang biasa kerana ia membabitkan bahan api yang memainkan peranan besar dalam menggerakkan ekonomi global.
Gangguan di Selat Hormuz yang merupakan laluan penting bekalan minyak dunia telah meningkatkan harga minyak mentah Brent ke paras USD107–115 setong, hampir dua kali ganda berbanding paras sekitar USD60–70 sebelum krisis bermula.
Gangguan ini menyebabkan harga bahan api semakin mahal dan ini mendorong berlakunya peningkatan harga barangan dan perkhidmatan.
Kesan Terhadap Pengguna Di Malaysia
Pada masa ini, kita mungkin belum merasa kesannya kerana kerajaan masih mengekalkan subsidi petrol RON95 pada RM1.99 seliter dan kebanyakan industri utama masih menerima subsidi diesel.
Bagaimanapun jika krisis berlarutan dan kerajaan terpaksa menyemak semula mekanisma subsidi petrol dan diesel, kenaikan harga barangan dan perkhidmatan pastinya tidak dapat dielak lagi.
Malahan kerajaan sendiri mengakui bahawa kos sara hidup di negara ini mencatatkan peningkatan susulan krisis yang berlaku, walau setakat ini masih terkawal.
Persediaan Kewangan
Tahukah anda, mereka yang paling kurang terkesan apabila berlakunya krisis secara tiba-tiba ialah mereka yang sentiasa bersedia dari segi kewangan?
Sebagai contoh, mereka yang mempunyai pelaburan dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB) mempunyai sumber kewangan yang boleh dikeluarkan pada bila-bila masa apabila memerlukan.
Dengan risiko rendah, kecairan tinggi dan pulangan tahunan kompetitif, ASB merupakan instrumen yang tepat untuk tabung kecemasan.
Berbanding pelaburan risiko sederhana seperti emas dan hartanah yang berdepan turun naik harga, modal pelaburan dalam ASB kekal pada RM1 pada setiap masa.
Langkah Awal Melindungi dan Membina Ketahanan Kewangan
Apabila krisis berada di ambang pintu, anda akan menyedari ‘alangkah baiknya jika ada mempunyai tabung kecemasan’ seperti pelaburan dalam ASB. Ini kerana Tabung Kecemasan membolehkan anda mempunyai daya tahan kewangan yang kukuh pada setiap masa.
Apa boleh anda lakukan untuk bina Tabung Kecemasan
- Belanja Berhemah: Semak semula perbelanjaan dengan menumpu kepada keperluan dan mengurangkan kehendak. Fokuskan kepada perbelanjaan yang mesti ada untuk kelangsungan hidup seperti belanja dapur bulanan, kos pengangkutan, komitmen bulanan, hutang dan kos persekolahan anak-anak. Sebarang penjimatan kecil amat bermakna dan boleh disimpan dan disalurkan ke dalam ASB. Antara perbelanjaan yang boleh dikurangkan termasuklah makan di luar, barangan berbentuk kehendak, penggunaan elektrik, hiburan dan percutian mewah. Gunakan kalkulator Penjimatan Perbelanjaan di ASNB Academy untuk mengira jumlah penjimatan setiap kali anda mengurangkan perbelanjaan untuk secawan kopi atau makan diluar.
- Elak Tambah Hutang dan Komitmen: Dengan kos hidup yang dijangka meningkat, membina hutang baharu khususnya pinjaman kereta atau pembiayaan peribadi perlu dinilai dengan lebih berhati-hati. Hutang kecil menerusi Beli Sekarang Bayar Kemudian (BNPL) juga perlu diperhalusi supaya ia tidak menjadi beban kewangan apabila keadaan kewangan semakin menekan. Ketika senang, hutang RM50 setiap bulan mungkin terasa kecil, tetapi ketika kewangan semakin mendesak, RM50 mampu menjadi sumber kelangsungan hidup jangka panjang. Dalam keadaan yang mana inflasi mungkin meningkat akibat kenaikan harga barang, Bank Negara juga mungkin menyemak semula Kadar Dasar Semalaman (OPR). Jadi elak tambah hutang dan kalau boleh, langsaikan hutang dengan caj faedah tinggi pada kadar segera.
- Buka akaun ASB: Buka akaun ASB, ASM 3 atau ASB 3 Didik untuk membina tabung kecemasan. Amalkan sikap labur dahulu baru belanja dengan menggunakan kemudahan pelaburan automatik menerusi Auto Labur di myASNB untuk pelaburan yang konsisten. Sebenarnya tidak sukar untuk mula melabur terutamanya dalam ASB yang mudah diakses sama ada menerusi cawangan, ejen ataupun aplikasi myASNB. Apa yang perlu anda lakukan? Usah menunggu untuk ada lebihan, sebaliknya bina disiplin diri dan melaburlah secara konsisten untuk membina tabung kecemasan.
Ketahanan Kewangan Bermula Dengan Pilihan Hari Ini
Dalam persekitaran global yang mana krisis ekonomi, perang dan sebagainya boleh berlaku pada bila-bila masa, orang yang paling bersedia ialah mereka yang paling berdisiplin mengurus kewangan.
Mulakan langkah kecil hari ini. Ketahanan kewangan tidak dibina dalam sehari, tetapi menerusi keputusan bijak dan disiplin kewangan jangka panjang.
