Kita Generasi Labur: Langkah Bijak Demi Masa Depan

Sempena sambutan Hari Kebangsaan negara yang ke-68 pada tahun ini, Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) telah melancarkan inisiatif Kita Generasi Labur. Inisiatif ini merupakan satu usaha berimpak tinggi bertujuan menggalakkan rakyat Malaysia meningkatkan penyertaan dan pelaburan mereka dalam unit amanah. Usaha ini mencerminkan komitmen ASNB dalam membina masa depan kewangan individu yang lebih mampan dan inklusif demi kemakmuran bersama.
Kita Generasi Labur digarap khusus untuk membantu rakyat mencapai kemerdekaan kewangan tanpa mengira latar belakang atau peringkat umur. Melalui usaha yang berterusan, PNB dan ASNB telah menyediakan produk pelaburan yang mudah diakses, mesra pengguna dan sesuai untuk semua lapisan masyarakat, sekaligus memudahkan rakyat untuk menjadikan pelaburan unit amanah sebagai sebahagian daripada gaya hidup harian mereka.
Kajian Keupayaan dan Rangkuman Kewangan 2024 oleh Bank Negara Malaysia menunjukkan bahawa 61% rakyat Malaysia tidak mempunyai simpanan kecemasan sekurang-kurangnya RM1,000. Dapatan daipada kajian ini jelas sekali amat membimbangkan dan betapa masih ramai rakyat Malaysia yang menghadapi cabaran kewangan.
Untuk itu, PNB dan ASNB sentiasa komited menyediakan platform dan pendekatan pendidikan kewangan yang berterusan agar pelaburan unit amanah menjadi satu kebiasaan yang membantu rakyat merancang masa depan dengan lebih yakin dan tersusun, seiring Matlamat – mengukuh kedudukan kewangan rakyat, merentas generasi .
Sesuai untuk semua, tidak kira sama ada anda yang baru hendak mula melabur, atau sudah berpengalaman dalam pelaburan unit amanah. Produk-produk ASNB juga mesra pengguna dan sesuai untuk semua lapisan masyarakat, selain mudah diakses melalui laman web ASNB dan portal myASNB, 32 pejabat cawangan dan 2,700 ejen di seluruh negara.
Inisiatif Kita Generasi Labur ini juga seiring dengan tema Hari Kebangsaan tahun ini "Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni", yang membawa makna besar dan cerminan azam untuk membina sebuah negara yang kuat, menyeluruh dan berteraskan nilai kemanusiaan, sekaligus menggambarkan keutamaan Kerajaan memastikan kebajikan rakyat diberikan perhatian.
PNB dan ASNB memulakan inisiatif Kita Generasi Labur dengan penerbitan sebuah filem pendek “Seruan Kemerdekaan Kewangan” yang boleh dilayari di saluran media sosial rasmi PNB dan ASNB iaitu di Instagram, LinkedIn, TikTok, X dan Facebook. Inisiatif “Kita Generasi Labur” akan mula dihebahkan kepada orang ramai dalam satu acara yang akan diadakan dengan memanfaatkan lokasi penganjuran The Sky Race, pertandingan larian menara yang pertama di Merdeka 118 pada 30 Ogos ini. Inisiatif ini turut disemarakkan dengan pelbagai aktiviti lain seperti:-
• sesi sembang santai tentang kewangan bersama pempengaruh, termasuk Financial Faiz;
• pemberian hadiah menarik untuk setiap pelaburan tambahan atau pembukaan akaun. Antaranya akses awal pengalaman bergambar di Look 118 dan 5 pemenang bertuah akan menerima hadiah penginapan satu malam di The Park Hyatt;
• kuiz dan permainan celik kewangan yang menyeronokkan; dan
• ruang khas untuk mereka yang inginkan nasihat kewangan peribadi.
Di samping itu, PNB dan ASNB turut menganjurkan kempen Pandu Impianmu, Gen Labur! akan bermula 1 September 2025 ini, bagi menggalakkan rakyat Malaysia berdisiplin dalam pelaburan sebagai langkah awal menuju kemerdekaan kewangan.
Kempen ini menawarkan pelbagai hadiah menarik iaitu:
• Hadiah Pertama 1x BMW i4 Grand Coupe (EV)
• Hadiah Kedua 1x Ford Ranger XLT Plus
• Hadiah Ketiga 1x BYD Atto 2 (EV)
• Hadiah Keempat 3x Vespa Primavera S 150
• Hadiah Kelima 3x 3H2M Penginapan Park Hyatt
• Hadiah Keenam 20x unit amanah ASNB bernilai RM1,000
Syarat-syarat penyertaan adalah seperti berikut:-
• Kempen bermula pada 1 September 2025 hingga 31 Mac 2026.
• Melalui semua saluran dan platform pengedaran.
• Terbuka kepada semua (kecuali kakitangan PNB/ASNB dan ahli keluarga terdekat)
• Pendaftaran adalah secara manual.
• Setiap langganan minimum sebanyak RM500 (tidak termasuk melalui RIA) dalam satu transaksi layak mendapat 1 tiket penyertaan;
• Terpakai untuk pelaburan dalam semua dana ASNB; dan
• Pengeluaran dibenarkan sepanjang kempen, tetapi baki bersih akaun mesti meningkat sekurang-kurangnya RM500 pada akhir tempoh kempen.
Sempena sambutan Hari Kebangsaan tahun ini, PNB dan ASNB dengan ini mengajak semua rakyat Malaysia untuk sama-sama menggerakkan misi Kita Generasi Labur. Satu misi nasional yang mengajak kita semua untuk mengambil langkah kecil, tapi bermakna, demi masa depan diri dan negara. Kerana kemerdekaan sebenar bukan sekadar bebas dari penjajahan, tetapi juga bebas dari beban kewangan. Sama-samalah kita berkongsi ikrar kemerdekaan kewangan di media sosial, tag ASNB dan gunakan hashtag #KITAGENERASILABUR.