Kewangan dan Pelaburan Bijak di Era Digital

Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan Malaysia 2026 – 2030 (National Strategy for Financial Literacy 2026-2030, NS2.0) membawa hala tuju baharu untuk membantu rakyat Malaysia memahami kewangan dengan lebih baik, sambil membina asas daripada strategi sebelum ini (2019–2023). NS2.0 direka supaya sesuai untuk semua golongan dan mengambil kira cabaran baharu seperti digitalisasi, perubahan ekonomi, serta gaya hidup dan cara kita menguruskan wang sekarang.
Visi NS2.0 adalah untuk memberikan rakyat Malaysia kewangan yang lebih stabil dan bersedia menghadapi masa depan dengan yakin. Strategi ini juga memastikan semua golongan mudah belajar tentang kewangan, supaya mereka boleh membuat keputusan kewangan yang bijak dan selamat. Untuk mencapai matlamat ini, NS2.0 dibina di atas lima fokus strategik (Strategic Priorities, SP 2026–2030). Fokus tersebut merangkumi usaha untuk meningkatkan kesedaran, pengetahuan, dan tabiat pengurusan kewangan rakyat, memperkukuh ekosistem literasi kewangan, memantapkan literasi kewangan digital, serta menggalakkan akses dan penggunaan produk kewangan yang selamat dan bertanggungjawab.
Lima fokus ini akan menjadi panduan utama dalam pelaksanaan Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan Malaysia, dari peringkat individu hingga peringkat nasional. Ini bagi memastikan rakyat Malaysia lebih bersedia menghadapi cabaran kewangan masa kini dan masa depan.
Di era digital hari ini, peluang pelaburan juga semakin mudah diakses, tetapi ia juga bermakna pelabur perlu lebih cakna dengan risiko yang hadir. Salah satu daripada lima fokus strategik NS2.0 ialah menggalakkan penggunaan perkhidmatan kewangan digital secara selamat, yakin dan bermakna (SP 4). Fokus ini menekankan kepentingan rakyat Malaysia untuk bijak menggunakan platform pelaburan digital, termasuk aplikasi saham dan pelaburan unit amanah secara dalam talian, sambil menanam kesedaran tentang keselamatan siber dan amalan membuat keputusan kewangan yang bertanggungjawab.
Berikut ialah beberapa panduan praktikal untuk membantu rakyat Malaysia membuat keputusan pelaburan yang lebih bijak.
Panduan untuk Membuat Keputusan Pelaburan Bijak
Gunakan Platform Sah dan Selamat
Pastikan platform pelaburan yang digunakan sah dan berlesen. Ini melindungi wang anda dan mengurangkan risiko penipuan. Selain itu, beri perhatian kepada ancaman keselamatan siber yang semakin canggih. Penjenayah kini menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk menghasilkan emel phishing yang kelihatan sangat meyakinkan, meniru penasihat atau institusi kewangan untuk mendapatkan maklumat peribadi atau mendorong keputusan kewangan terburu-buru. AI juga digunakan dalam serangan deepfake seperti video atau audio palsu untuk menipu pelanggan agar memindahkan wang atau berkongsi data sensitif.
Gunakan Kemudahan Berkala di Platform Digital
Pelaburan tidak perlu bermula dengan jumlah besar. Mulakan dengan jumlah yang anda selesa, sambil terus belajar tentang pasaran dan strategi pelaburan. Contohnya, anda boleh mula melabur dalam pelaburan berisiko rendah seperti ASB, dan boleh juga gunakan kemudahan seperti Auto Labur @ my ASNB untuk bantu didik diri anda melabur secara berdisiplin dan kekal konsisten.
Pantau Prestasi Pelaburan
Jangan hanya melabur dan lupakan pelaburan anda. Pantau prestasi pelaburan secara berkala, termasuk melalui saluran dalam talian yang mudah dan selamat. Saluran dalam talian akan mudahkan anda untuk pantau akaun, menyemak transaksi dan memastikan maklumat peribadi terkini dan teratur. Jika perlu, sesuaikan strategi supaya tetap relevan dengan perubahan ekonomi dan matlamat kewangan anda.
Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan Malaysia 2026 – 2030 menekankan bahawa literasi kewangan bukan sekadar pengetahuan tentang wang, tetapi kemampuan untuk membuat pilihan lebih baik, bertanggungjawab, dan memanfaatkan teknologi dengan bijak. Untuk makluman, Jaringan Pendidikan Kewangan (Financial Education Network, FEN) juga akan bekerjasama dengan Kementerian yang berkaitan, persatuan industri, institusi, kumpulan pengguna dan juga pihak berkepentingan utama lain untuk melaksanakan, memantau dan menilai inisiatif pendidikan kewangan di bawah Strategi Kebangsaan. Dengan mengambil langkah yang berhati-hati serta berbekalkan maklumat relevan, rakyat Malaysia boleh membina asas kewangan yang lebih kukuh dan mencapai masa depan yang lebih selamat dan stabil.
