Berapa perlu anda labur untuk miliki rumah idaman?

Kesihatan Vs Kekayaan, Mana Lebih Utama?

health is wealth
ASNB Logo
ASNB Academy

8 minit masa membaca

‘Kekayaan yang pertama ialah kesihatan’ demikian tulisan ahli falsafah berasal daripada Amerika Syarikat, Ralph Waldo pada 1860.

Petikan ini menunjukkan bahawa kesedaran mengenai peri pentingnya menjaga kesihatan telah lama ditekankan dalam masyarakat.

Kita sewajarnya menyedari bahawa tanpa kesihatan yang baik, kekayaan tidak begitu bermakna kerana kita tidak dapat menikmatinya, malahan mungkin terpaksa menghabiskan duit yang banyak untuk membiayai kos mengubatinya.

Kita mungkin boleh terus hidup dengan selesa tanpa wang yang banyak, tetapi belum pasti lagi kita boleh meneruskan kehidupan yang berkualiti tanpa kesihatan yang baik.

Sememangnya kesihatan bukanlah satu perkara yang boleh dibeli, tetapi dengan wang, kita boleh mengambil langkah untuk menjaga, mencegah dan merawat diri sekiranya jatuh sakit.

Untuk memastikan bahawa kesihatan dan kekayaan dapat digandingkan dengan seimbang dalam kehidupan, kita perlulah berusaha untuk menjaga kesihatan, walaupun sibuk mencari rezeki setiap hari.

Mengapa Kita Perlu Menjaga Kesihatan

1. Kos Rawatan Semakin Mahal

Mereka yang sakit terutamanya yang menghidap sakit berpanjangan, perlu memperuntukkan sejumlah wang untuk rawatan setiap bulan, berbanding mereka yang sihat.

Mereka yang sihat dapat memperuntukkan wang berkenaan untuk tujuan lain seperti pelaburan, berlibur, pendidikan dan sebagainya.

2. Individu Sihat Lebih Produktif

Apabila kita sihat, kita dapat melakukan banyak perkara dengan lebih baik. Tidak kiralah sama ada kita bekerja secara tetap atau tidak, badan yang sihat memberi peluang kepada kita untuk menghasilkan kerja yang lebih berkualiti, justeru membuka peluang untuk kenaikan pangkat atau menerima bonus prestasi yang lebih banyak.

Badan yang sihat membolehkan kita membuat lebih dari satu kerja, seperti freelance untuk menjana lebih banyak pendapatan.

3. Badan yang Sihat Memberi Lebih Keyakinan

Kesihatan yang baik membina keyakinan diri yang lebih tinggi. Ini membantu kita berdepan dan menangani masalah dengan lebih baik, seterusnya membuka ruang untuk kita mencapai apa yang diimpikan.

4. Insurans Kesihatan Semakin Mahal

Dengan peningkatan kos rawatan, kos insurans kesihatan juga semakin meningkat. Justeru memiliki badan yang sihat akan membantu mengurangkan premium bulanan yang perlu dibayar, lebih-lebih lagi jika insurans berkenaan diambil ketika masih muda.

5. Bersenam itu Percuma

Kos untuk bersenam sebenarnya adalah percuma jika kita bijak mencari peluang dan mengurus masa. Malahan ia boleh dilakukan di rumah, di tempat kerja atau di banyak taman yang ada di sekitar ibu kota.

Tidak perlulah melanggan mana-mana gym untuk bersenam, sebaliknya senaman seperti joging, yoga, menari dan senaman mudah lain boleh dilakukan pada bila-bila masa mengikut kesesuaian. Malahan, ia mungkin hanya mengambil 2-3 jam sahaja dan boleh dilakukan hanya 2-3 kali seminggu.

Pelbagai panduan senaman percuma yang disediakan mereka yang berpengalaman di saluran YouTube. Mulakan cabaran anda hari ini.

6. Badan Sihat, Minda Cerdas

Pepatah ini telah lama dikongsikan sejak dari zaman datuk nenek kita dahulu. Tidak dapat dinafikan, badan yang sihat akan memberi kesan positif kepada minda seterusnya memberi peluang kepada kita untuk meneruskan kehidupan berkualiti.

Menikmati makanan yang kaya dengan zink dan minyak ikan Omega-3 boleh membantu minda anda mencapai potensi terbaiknya.

7. Kesihatan adalah Pelaburan

Jika kita boleh memperuntukkan wang untuk membeli barangan mewah dan berjenama seperti kasut sukan, minuman dan makanan viral dan sebagainya, mengapa tidak melabur untuk menjaga kesihatan?

Kesihatan yang baik merupakan satu pelaburan untuk diri kerana ia badan yang sihat membolehkan kita melakukan pelbagai aktiviti, berfikir dengan lebih baik dan seterusnya merancang kehidupan lebih berkualiti.

Bagaimana Menjaga Kesihatan dan Membina Kekayaan

1. Diet Seimbang

Usah terlalu terikut dengan trend yang menjadi kegilaan sehingga menyebabkan anda kehabisan wang dalam usaha menjaga kesihatan.

Sebaliknya tumpukan kepada gaya hidup sihat menerusi pemakanan yang baik dan senaman berterusan. Pemakanan yang baik termasuklah memastikan anda makan pada waktunya, memilih makanan segar seperti sayur-sayuran dan buah-buahan dan makanan yang membekalkan sumber-sumber vitamin dan mineral yang diperlukan untuk badan yang sihat.

Jika boleh, elakkan selalu makan diluar atau mengunjungi restoran makanan segera atau makan makanan sudah diproses seperti mee segera. Adalah lebih baik jika kita boleh memasak dan membawa bekal ke pejabat.

Dengan cara ini, kita bukan sahaja menjaga kesihatan, malah dapat mengawal dompet dengan berbelanja secara berhemah dan mengurangkan perbelanjaan tidak perlu terutamanya yang berkaitan dengan pemakanan kurang sihat seperti makanan segera dan junk food.

makanan seimbang

2. Bersenam Secara Berterusan

Dalam persekitaran hari ini yang mana kebanyakan kita bekerja di pejabat yang memerlukan kita berdiri atau duduk selama berjam-jam lamanya, amalan melakukan senaman dalam rutin harian sepatutnya menjadi keutamaan.

Usah buang duit dengan menjadi ahli gym sekiranya anda tahu anda tidak mempunyai masa untuk melakukannya, sebaliknya selitkan saja senaman selama 30 minit hingga satu jam setiap hari dengan menaiki atau menuruni tangga di pejabat dan berjalan ketika waktu makan tengah hari.

3. Langgan Insurans/Takaful Perubatan/Kesihatan

Mempunyai insurans/takaful yang memberi pampasan atau melindungi kos rawatan terutamanya untuk kemalangan dan penyakit kritikal, akan memberi ketenangan fikiran dan kestabilan kewangan jangka panjang.

Dengan adanya insurans/takaful, anda tidak perlu mengeluarkan wang sendiri untuk kos rawatan sekiranya anda menghidap penyakit yang dilindungi dalam polisi yang dibeli.

Justeru, kedudukan kewangan anda tidak akan terjejas teruk walau anda sakit.

Untuk memastikan polisi insurans/takaful memberi perlindungan yang diinginkan, pastikan anda menerima penjelasan lengkap daripada ejen insurans anda.

4. Melabur untuk Membina Tabungan Kecemasan

Walaupun anda mempunyai insurans/takaful yang akan membiayai kos rawatan, anda masih memerlukan sumber kewangan untuk meneruskan kehidupan, lebih-lebih lagi jika sakit berkenaan menyebabkan anda hilang upaya atau sumber pendapatan untuk bekerja.

Justeru, adalah penting untuk membina tabung kecemasan dari hari pertama anda bekerja untuk memastikan anda tidak berdepan situasi kewangan luar kawalan hingga terpaksa meminjam jika anda tiba-tiba jatuh sakit.

Badan yang sihat akan membolehkan anda bekerja dan memperuntukkan sejumlah wang untuk pelaburan untuk membina tabungan.

Sekiranya anda sering sakit, dan perlu pula membayar kos rawatan, usaha anda untuk membina kekayaan mungkin sukar direalisasikan kerana sukar memberi tumpuan kepada kerjaya.

Pelaburan serendah RM100 setiap bulan dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB) contohnya, mampu membina tabungan berjumlah RM15,500 dalam tempoh 10 tahun sekiranya anda menerima purata dividen tahunan 5% dan tidak mengeluarkan wang pelaburan sepanjang tempoh itu.

Oleh itu, jagalah kesihatan supaya anda boleh sentiasa bekerja dan menjana pendapatan untuk membina tabungan sebagai sumber kewangan waktu sukar atau untuk kehidupan selesa apabila bersara.

5. Berhenti Merokok

Sekiranya anda seorang perokok, adalah lebih baik anda berhenti kerana ia bukan sahaja satu pembaziran, malah memberi kesan negatif kepada kesihatan anda dan orang di sekeliling yang berdepan kemungkinan mengidap penyakit yang disebabkan asap rokok.

Merokok bukan saja satu tabiat yang mahal, tetapi pada masa yang sama ia meningkatkan risiko anda mendapat penyakit seperti kanser paru-paru. Semestinya, implikasi kepada kesihatan yang disebabkan oleh tabiat merokok ini adalah tidak berbaloi.

6. Gaya Hidup Seimbang untuk Kesihatan Minda

Lebih daripada 70% peratus penyakit kritikal dikaitkan dengan tekanan, justeru adalah penting untuk mempunyai sempadan jelas antara waktu kerja dan waktu rehat bagi mengurangkan tekanan dan kegelisahan melampau.

Ramai memandang ringan kesihatan minda hingga menyebabkan mereka berdepan tekanan dan kegelisahan berterusan. Keadaan ini sebenarnya boleh mengganggu usaha untuk bekerja dan mencari rezeki kerana ia mengekang keupayaan untuk bersosial dan berkomunikasi.

Jika anda berpendapat anda perlu memberi 120% untuk karier anda, mungkin anda patut fikirkannya semula kerana ada petikan yang menyebut, ‘ketika keluarga masih menangisi anda, majikan telahpun mula mencari pengganti anda’.

Justeru pastikan anda sentiasa bijak mengurus masa dengan memberi waktu yang seimbang untuk kerja dan kehidupan peribadi, supaya anda sentiasa mempunyai minda yang sihat.

7. Pastikan Anda Tahu Nombor Penting Ini

Antara angka yang perlu anda tahu ialah angka berkaitan tekanan darah, kadar degup jantung ketika berehat, tahap kolesterol, Indeks Jisim Badan (BMI) dan tahap glukosa dalam darah kerana semua angka ini merupakan indikator tahap kesihatan anda.

Dengan sentiasa memantau angka-angka ini, anda akan dapat mengambil tindakan segera untuk mengawal penyakit, yang mana ia sekaligus mengurangkan jumlah wang yang perlu diperuntukkan untuk kos rawatan.

Ada yang disahkan mengidap penyakit seperti darah tinggi dan kencing manis serta mempunyai kadar kolesterol tinggi pada usia dibawah 40 tahun. Keadaan ini sedikit sebanyak menganggu usaha mereka untuk bekerja dan membina kekayaan.

Oleh itu, jaga diri dan amalkan gaya hidup sihat serta sentiasa pantau angka-angka penting berkenaan untuk mencegah penyakit daripada melarat sebelum ia dapat dikesan.

CTA Button-Blue Gradient