Ingin kira penjimatan jika anda kurangkan secawan kopi seminggu?

Kesenjangan Ekonomi di Malaysia

Hariri - econs-dept-PNB-BM
Hariri-guest-writer-econs-dept
Hariri Hamid

6 minit masa membaca

“Kemiskinan harus dilihat sebagai kekurangan keupayaan asas (deprivation of basic capabilities), dan bukan semata-mata sebagai kekurangan pendapatan." (Amartya Sen, Development as Freedom)

Kesenjangan ekonomi (Economic Inequality) merupakan isu global yang sering mendapat perhatian khalayak khususnya buat pakar ekonomi pembangunan (development economist). Perihal kesenjangan ekonomi ini juga merupakan isu yang (masih) membimbangkan di Malaysia. Walaupun negara kita telah mencatatkan kemajuan ekonomi yang pesat, jurang antara golongan kaya dan miskin masih ketara.

Jadi, tidak peliklah kerajaan MADANI melalui kerangka (framework) Ekonomi MADANI menggagaskan antara fokus utama kerajaan adalah untuk memperkasa rakyat (menaikkan siling dan menaikkan lantai).    

Kesenjangan ini memberi impak kepada kesejahteraan rakyat, kestabilan sosial, dan ekonomi negara secara keseluruhan. Oleh itu, mencari solusi yang efektif serta holistik untuk mengurangkan kesenjangan ekonomi di Malaysia adalah penting demi memastikan Malaysia berada dilandasan ekonomi yang lestari.

Kesenjangan Ekonomi di Malaysia

Kesenjangan ekonomi di Malaysia dapat dilihat melalui pelbagai aspek. Antaranya adalah perbezaan pendapatan antara kawasan bandar dan luar bandar serta antara kelas pendapatan. Data menunjukkan jurang pendapatan antara kumpulan pendapatan terendah (B40) dan tertinggi (T20) semakin melebar, mencerminkan ketidakseimbangan dalam pengagihan kekayaan.

Di kawasan bandar, terutamanya di Kuala Lumpur dan Selangor misalnya, kos sara hidup yang tinggi menyebabkan banyak keluarga berpendapatan rendah (dan juga M40) bergelut untuk memenuhi keperluan asas.

Kesenjangan ekonomi dapat dilihat melalui Indeks Gini (Gini coefficient), yang merupakan salah satu ukuran yang paling popular (dikembangkan oleh ahli statistik Itali, Corrado Gini).

Secara mudahnya, Indeks Gini dinyatakan dalam julat antara 0 atau 0% (kesamarataan sempurna atau perfect equality) hingga 1 @ 100% (kesenjangan maksimum atau maximum inequality). Indeks Gini Malaysia pada tahun 2022 merekodkan sedikit penurunan kepada 40.7% daripada 41.2% pada tahun 2019. Walaupun Indeks Gini Malaysia mencatatkan penurunan, ia berbeza mengikut negeri terutamanya bandar dan luar bandar.

Kita juga boleh melihat dari segi kadar kemiskinan tegar untuk memahami tentang isu ini. Jika kita lihat data yang terkini, jumlah miskin tegar di Malaysia meningkat kepada 6.2% pada tahun 2022, lebih tinggi daripada kadar pra-pandemik sebanyak 5.6% pada tahun 2019.

Peningkatan ini didorong dari segmen isi rumah bandar (urban households), yang meningkat kepada 4.5% pada tahun 2022 berbanding 3.8% pada tahun 2019 (dipetik dari laporan Households and the Pandemic 2019-2022 oleh Khazanah Research Institute).

ekonomi-Malaysia-b4-m40

Teori Kesenjangan Ekonomi

Pakar ekonomi seperti Amartya Sen telah memberikan pandangan yang mendalam tentang kesenjangan ekonomi.

Amartya Sen,dalam teorinya mengenai "kemampuan" (capability), menekankan bahawa kemajuan ekonomi bukan hanya tentang pertumbuhan ekonomi (GDP), tetapi juga tentang meningkatkan kemampuan individu untuk mencapai potensi mereka.

Beliau berpendapat bahawa pembangunan ekonomi perlu menumpukan kepada kesejahteraan manusia (human well-being), bukan hanya kepada angka ekonomi.

Dalam konteks Malaysia, ini bermakna memastikan bahawa setiap rakyat, terutama mereka yang berada dalam kelompok B40 (juga terpakai untuk M40), mempunyai akses kepada pendidikan berkualiti dan peluang pekerjaan yang baik.

Kita sering dimomokkan antara sebab kemiskinan adalah kerana sikap malas dan seumpamanya.

Ini adalah pemahaman yang jauh sekali dari kebenaran kerana antara sebab kemiskinan terjadi adalah kerana kurangnya peluang (lack of opportunity).

Pernahkah anda mengenali individu yang mempunyai pekerjaan yang bagus hasil daripada pendidikan yang berkualiti, yang merasakan itu adalah hasil daripada usaha mereka semata-mata? Tapi pada masa yang sama, individu tersebut mempunyai akses (oleh kerana hidup dalam keluarga yang senang) untuk memperolehi pembelajaran melalui tutor peribadi dari kecil sehingga ke universiti dan seterusnya mendapat pendedahan awal tentang pekerjaan melalui lingkaran sosial (social circle).

Sudah tentulah mereka mampu mendapatkan pekerjaan yang bagus yang dapat diterjemahkan dengan pendapatan yang tinggi kerana peluang itu telah tersedia sejak kecil kepada mereka.

Selain itu, pakar ekonomi seperti Joseph Stiglitz dan Angus Deaton juga telah menggariskan pentingnya mengurangkan kesenjangan ekonomi. Stiglitz menekankan keperluan untuk mengekalkan dasar ekonomi yang menyokong pengagihan kekayaan yang lebih adil dan meningkatkan kualiti pendidikan dan kesihatan sebagai cara untuk memerangi ketidaksamaan. Deaton pula mencadangkan agar fokus diberi kepada pengurangan kemiskinan melalui pengukuhan jaring keselamatan sosial (social safety net) dan akses kepada perkhidmatan asas yang berkualiti.

memperkasa-pendidikan-Malaysia

Solusi untuk Mengurangkan Kesenjangan Ekonomi di Malaysia

Untuk mengatasi masalah kesenjangan ekonomi di Malaysia, penulis berpendapat beberapa langkah perlu diambil antaranya adalah:

1. Memperkasakan Pendidikan: Meningkatkan akses kepada pendidikan berkualiti adalah kunci untuk mengurangkan kesenjangan ekonomi. Kerajaan perlu memastikan akses yang lebih adil kepada pendidikan, terutama di kawasan luar bandar.

2. Dasar Cukai yang Lebih Progresif: Malaysia perlu mempertimbangkan pelaksanaan dasar cukai yang lebih progresif, di mana golongan berpendapatan tinggi dikenakan cukai yang lebih tinggi, dan hasil daripada cukai ini digunakan untuk menyokong program sosial bagi golongan berpendapatan rendah.

3. Meningkatkan Peluang Pekerjaan yang Berpendapatan Tinggi: Kerajaan dan sektor swasta perlu bekerjasama untuk mencipta lebih banyak peluang pekerjaan yang menawarkan pendapatan yang stabil dan tinggi.

4. Perlindungan Sosial yang Lebih Kukuh: Program perlindungan sosial seperti bantuan kewangan, perumahan mampu milik, dan akses kepada penjagaan kesihatan perlu diperkukuhkan bagi membantu golongan berisiko tinggi.

5. Pembangunan Infrastruktur yang Adil: Meningkatkan infrastruktur di kawasan luar bandar untuk memastikan semua rakyat mempunyai akses kepada perkhidmatan asas seperti elektrik, air bersih, dan jalan raya yang baik.

Kesimpulan

Mengurangkan kesenjangan ekonomi di Malaysia bukan sahaja penting untuk memastikan keadilan sosial, tetapi juga untuk menjamin kemaslahatan dan kestabilan negara pada masa hadapan. Pada akhirnya, masyarakat yang lebih adil dan seimbang adalah asas kepada negara yang kuat dan makmur.