Ingin kira penjimatan jika anda kurangkan secawan kopi seminggu?

Ringgit Lemah, Apakah Puncanya?

Prof. Madya Dr. Ahmed Razman bin Abdul Latiff
Prof-Madya-Ahmed-Razman
Prof. Madya Dr. Ahmed Razman bin Abdul Latiff

7 minit masa membaca

Prestasi ekonomi negara boleh dinilai oleh pelbagai indikator ekonomi makro.

Antara indikator yang sering dilaporkan oleh kerajaan dan juga Jabatan Perangkaan Malaysia ialah pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), kadar inflasi dan kadar dasar semalaman atau Overnight Policy Rate (OPR).

Selain itu, rakyat juga melihat pergerakan Ringgit Malaysia (RM) terutamanya apabila dibandingkan dengan Dollar AS sebagai salah satu penanda aras kemakmuran ekonomi negara.

Namun, ramai yang kurang pasti, adakah pergerakan RM itu memberi kesan kepada mereka dan juga negara. Mereka juga kurang pasti apakah langkah yang harus diambil bagi mendepani situasi nilai RM yang sentiasa berubah-ubah.

ringgit lemah

Untuk memahami faktor-faktor yang mempengaruhi pergerakan nilai RM ini, kita harus faham konsep permintaan dan penawaran.

Apabila sesuatu barangan atau perkhidmatan itu mendapat permintaan yang tinggi, tetapi kuantiti barangan dan perkhidmatan itu adalah terhad, ianya akan menyebabkan nilai jualan barangan dan perkhidmatan meningkat.

Ini kerana apabila ramai yang ingin membeli, harga jualan akan dinaikkan supaya hanya yang sanggup membayar dengan harga yang tinggi akan mendapatnya.

Walaupun RM merupakan mata wang yang digunakan sebagai medium pertukaran untuk barangan dan perkhidmatan, RM juga boleh berfungsi sebagai aset yang membolehkan pemiliknya mendapat pulangan pelaburan atas aset tersebut.

Ini bermakna, sebagai aset, jika berlaku peningkatan permintaan terhadap RM, ianya akan menyebabkan nilai RM meningkat.

Perkara yang sebaliknya juga boleh berlaku, iaitu jika permintaan terhadap RM menurun, nilainya juga akan menurun.

Permintaan terhadap RM akan berlaku jika pelabur asing ingin melabur di negara kita dan mereka akan menukarkan mata wang asing mereka dengan membeli RM.

Selain itu, jika kita mendapat permintaan yang tinggi terhadap barangan eksport kita, pembeli antarabangsa juga akan membayar kepada kita dan wang yang diterima akan ditukarkan kepada RM dengan membeli RM.

Namun, ada juga faktor lain yang akan menyebabkan RM seolah-olah mengalami penurunan nilai, tetapi yang sebenarnya berlaku ialah faktor luaran yang di luar kawalan negara kita.

Ini berlaku apabila kita membandingkan nilai RM dengan nilai mata wang asing yang lain seperti Dollar AS. Sebagai contoh, pada awal tahun 2023, nilai RM pernah berada di bawah RM4.30 untuk $1, namun awal tahun 2024 menyaksikan nilai RM kini berada lebih dari RM4.70 untuk $1.

Ramai yang menyangka, RM yang semakin merudum adalah disebabkan permintaan terhadap RM yang semakin menurun.

Tetapi, hakikatnya ialah permintaan terhadap Dollar AS yang sebenarnya meningkat, menyebabkan semua mata wang asing termasuklah RM seolah-olah mengalami penurunan nilai.

Dollar AS semakin mengukuh sejak akhir-akhir ini kerana indikator ekonominya menunjukkan peningkatan prestasi ekonomi, yang menyebabkan Rezab Persekutuan mengambil keputusan untuk tidak menurunkan kadar faedahnya yang ketika ini berada pada kadar 5.5%.

Kadar ini lebih tinggi dari kadar OPR yang ditetapkan oleh Bank Negara Malaysia iaitu 3%. Ini menyebabkan pulangan atas pelaburan di AS adalah lebih tinggi jika pelabur meletakkan pelaburan mereka di dalam bank-bank di AS, berbanding di Malaysia.

Apabila mereka mengambil keputusan untuk melabur di AS, mereka akan membeli Dollar AS dan itulah yang menyebabkan Dollar AS semakin mengukuh.

Apabila RM dilihat semakin merudum berbanding Dollar AS, ada beberapa implikasi.

Peniaga akan mendapati barangan yang diimport dari luar negara akan lebih mahal kerana mata wang yang digunakan di peringkat antarabangsa ialah Dollar AS.

Ini akan menyebabkan harga barangan yang dijual di pasaran domestik akan meningkat terutamanya jika barangan tersebut menggunakan komponen atau bahan mentah yang diimport.

Sebagai contoh, majoriti makanan ayam adalah diimport. Oleh itu, jika makanan ayam menjadi lebih mahal, maka kos membeli ayam juga akan turut meningkat, sekaligus menyebabkan kos sara hidup rakyat meningkat.

Namun, RM yang semakin menurun akan turut menyebabkan barangan tempatan yang dieksport akan menjadi lebih murah di mata pembeli antarabangsa.

Ini akan membawa kepada peningkatan eksport kerana harga barangan dan perkhidmatan kita akan menjadi lebih kompetitif.

Ini akan meningkatkan output perniagaan, membuka peluang pekerjaan dan gaji yang lebih kompetitif kepada rakyat.

Namun kelebihan ini akan hilang jika kita bergantung kepada bahan mentah import untuk dieksport ke pasaran antarabangsa.

Selain itu, RM yang semakin melemah akan menarik pelabur asing untuk melabur ke negara kita kerana ianya menjadi semakin murah untuk mereka.

Namun, mereka akan hanya melabur jika mereka yakin nilai RM akan kembali mengukuh terutamanya apabila mereka sudah mendapat pulangan atas pelaburan mereka dan ingin membawa pulangan tersebut kembali ke negara mereka.

Untuk mendepani situasi pergerakan RM yang sentiasa berubah-ubah, sebagai rakyat, kita harus bijak dalam berbelanja.

Utamakan barangan tempatan yang menggunakan sepenuhnya bahan mentah dan komponen tempatan.

local

Sebagai peniaga, kita juga harus memastikan kita mempunyai pembekal tempatan supaya kita tidak terkesan dengan kenaikan harga barangan import.

Kita juga harus mengambil kesempatan meluaskan pasaran barangan kita ke peringkat antarabangsa apabila RM dilihat menurun.

Di peringkat negara, kerajaan harus berterusan memperkasakan pasaran domestik dengan menggalakkan peniaga tempatan untuk mengembangkan pasaran ke antarabangsa dan pada masa yang sama bekerjasama dalam ekosistem tempatan.

Kerajaan juga harus menggalakkan pewujudan pasaran baharu dalam pelbagai sektor ekonomi yang terkini seperti ekonomi digital supaya negara kita menjadi negara pengeluar dan pencipta, dan bukan negara pengguna semata-mata.

CTA Button-BlueYellow-BM