Ingin kira penjimatan jika anda kurangkan secawan kopi seminggu?

Zakat ASB: Fahami Kaedah Pembayarannya

Dr Ahmad Basri Ibrahim
Dr Ahmad Basri
Dr. Ahmad Basri Ibrahim

8 minit masa membaca

Zakat merupakan rukun Islam yang ketiga dan disebut sebanyak 58 kali dalam Al-Quran menunjukkan peri pentingnya amalan zakat dalam kehidupan seorang muslim bahkan dalam hidup bermasyarakat.

Kewajipan membayar zakat bukan hanya tuntutan syarak yang wajib ditunaikan oleh umat Islam, bahkan sebagai medium pengagihan kekayaan sesama masyarakat dan juga sebagai jalan membasmi masalah kemiskinan.

Ibadah zakat adalah suatu manifestasi ‘ubudiyyah’ seorang hamba kepada Rabbnya yang meliputi aspek duniawi iaitu harta.

Di sisi manusia, harta itu adalah suatu yang amat penting bagi menguruskan kehidupan namun di sana syarak telah menetapkan beberapa kadar zakat yang perlu dilunaskan kepada asnaf sepertimana dalam firman Allah SWT dalam surah At-Taubah ayat 60:

إِنَّمَا الصَّدَقَاتُ لِلْفُقَرَاءِ وَالْمَسَاكِينِ وَالْعَامِلِينَ عَلَيْهَا وَالْمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمْ وَفِي الرِّقَابِ وَالْغَارِمِينَ وَفِي سَبِيلِ اللَّهِ وَابْنِ السَّبِيلِ ۖ فَرِيضَةً مِّنَ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ

“Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.” (Surah al-Taubah: 60)

Dalam Al-Quran, zakat juga disebut dengan lafaz lain seperti lafaz sedekah sepertimana dihuraikan oleh Imam Al-Mawardi dalam kitabnya Al-Ahkam Al-Sultaniah bahawa perkataan sedekah itu semakna dengan perkataan zakat, sebutan nama yang berlainan tetapi memberi makna yang serupa.

Amalan mengeluarkan zakat menyuburkan lagi keberkatan harta si pemberi di samping menyucikan sebahagian harta yang berkemungkinan bercampur di antara yang halal dan tidak halal.

zakat asb

Ini bererti orang yang mengeluarkan zakat tidak sedikit pun rugi, bahkan keberkatan akan meliputi segala hartanya yang lain. Allah SWT menegaskan bahawa zakat itu membersihkan dan menyucikan orang yang membayarnya juga menjanjikan keluasan rezeki kepada hamba-Nya yang membelanjakan hartanya sepertimana dalam firmanNya:

خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِم بِهَا وَصَلِّ عَلَيْهِمْ ۖ إِنَّ صَلَاتَكَ سَكَنٌ لَّهُمْ ۗ وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

“Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah, supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk), dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka, dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar Lagi Maha Mengetahui.” (At-Taubah:103)

قُلْ إِنَّ رَبِّي يَبْسُطُ الرِّزْقَ لِمَن يَشَاءُ مِنْ عِبَادِهِ وَيَقْدِرُ لَهُ ۚ وَمَا أَنفَقْتُم مِّن شَيْءٍ فَهُوَ يُخْلِفُهُ ۖ وَهُوَ خَيْرُ الرَّازِقِينَ

“Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya di antara hamba-hambaNya, dan Ia juga yang menyempitkan baginya; dan apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya; dan Dia lah jua sebaik-baik Pemberi rezeki” (Saba’:39)

Pensyariatan zakat juga terkait rapat dengan sistem ekonomi di mana ia menjadi salah satu tanggungjawab sosial seseorang individu kepada masyarakat dalam menjana kestabilan dan kemampanan ekonomi rakyat dalam negara.

Allah SWT mengancam mereka yang menyimpan hartanya dan tidak membelanjakan pada jalan Allah dengan membayar zakat kerana ia menyebabkan harta kekayaan hanya berputar pada orang-orang kaya berharta sahaja.

Antara tujuan atau maqasid ibadah zakat ini adalah untuk menyucikan harta, menjana pembangunan ummah dan melatih jiwa.

Justeru, ia bukan hanya sekadar memberi pulangan ganjaran akhirat kepada pembayarnya bahkan kebaikan dan keberkatan ibadah zakat itu melimpah kepada seluruh manusia di atas muka bumi.

Zakat ASB - Praktis Semasa Pusat-Pusat Zakat

ASB (Amanah Saham Bumiputera) adalah sebuah instrumen pelaburan unit amanah di mana zakat diwajibkan keatasnya kerana setiap harta yang berkembang dikenakan zakat.

Ini berdasarkan sebuah kaedah fiqh dalam ibadah zakat yang berbunyi كل مال نام فهو وعاء للزكاة yang bermaksud setiap harta yang berkembang adalah sumber untuk zakat.

Ibnu Qudamah menganggap istilah al-nama’ (berkembang) dalam kaedah fiqh di atas sebagai salah satu sifat yang diiktiraf dalam zakat (Al-Maqdisi, 1997).

Begitu juga Dr Yusuf Al-Qaradawi menegaskan bahawa setiap harta yang subur dan berkembang (wujud nilai kekayaan) perlu dikenakan zakat (Al-Qaradawi, 2021).

Berasaskan kaedah inilah dapat disimpulkan bahawa zakat diwajibkan pada harta yang subur atau berpotensi untuk subur. Manakala harta yang tidak subur seperti harta untuk keperluan asas tidak diwajibkan zakat.

Pelaburan yang dibuat di ASB adalah bertujuan untuk mengembangkan harta serta mendapatkan pulangan diperolehi menerusi dividen dan bonus ASB setiap tahun.

Oleh itu, zakat yang yang dikenakan ke atas saham adalah 2.5% daripada nilai pelaburan di hujung haul.

Tempoh pelaburan hendaklah mencapai minimum 12 bulan (cukup haul) mengikut tahun kalendar setiap unit amanah bagi tujuan pengiraan zakat.

logo asn

Mengikut praktis semasa pusat-pusat zakat di dalam negara, kaedah pengiraan zakat ASB boleh dikategorikan kepada tiga (3) situasi dan cara kiraan:

1. Pelaburan ASB Menggunakan Wang atau Modal Sendiri

Bagi pelaburan ASB menggunakan modal sendiri tanpa pembiayaan pihak bank, pengiraan zakat adalah ke atas nilai prinsipal (pokok) dan pulangan (dividen dan bonus ASB) pelaburan yang diperolehi oleh pelabur.

Terdapat dua formula taksiran zakat ASB iaitu:

a) Baki akhir pelaburan tahunan x 2.5%

b) Baki minimum pelaburan tahunan x 2.5%

Zakat hanya dikenakan apabila melebihi nilai nisab.

Nisab adalah jumlah minimum harta kekayaan yang dimiliki oleh individu Muslim sebelum diwajibkan untuk membayar zakat.

Jumlah nilai pelaburan akan dibandingkan dengan jumlah nisab yang dikeluarkan oleh Pusat Zakat Negeri masing-masing bagi menentukan kelayakan pembayaran zakat.

2. Pelaburan ASB Menggunakan Fasiliti Pembiayaan ASB dengan Pihak Bank

Bagi situasi pelaburan menggunakan fasiliti pembiayaan ASB dengan pihak bank, pengiraan zakat hanya dikenakan ke atas pulangan pelaburan (dividen dan bonus ASB) sahaja.

Zakat tidak dikenakan ke atas modal pelaburan kecuali setelah berlakunya penebusan sijil pelaburan ataupun setelah selesai tempoh bayaran balik pembiayaan.

Formula taksiran zakat adalah seperti berikut:

Pulangan pelaburan (dividen dan bonus ASB) x 2.5%

Jika nilai tersebut mencapai atau melebihi kadar nisab, maka dikenakan zakat ke atasnya.

Adapun jika nilai tersebut tidak mencapai atau melebihi kadar nisab, amaun tersebut hendaklah dicampurkan dengan kesemua pemilikan harta individu yang lain yang telah cukup haulnya untuk dizakatkan.

Namun, jika pulangan pelaburan (dividen dan bonus ASB) yang diperolehi digunakan bagi membuat pembayaran semula pembiayaan bank, dan nilai bayaran tersebut melebihi jumlah pulangan pelaburan (dividen dan bonus ASB), maka zakat tidak dikenakan ke atasnya.

Zakat hanya dikenakan ke atas baki atau lebihan pulangan pelaburan (dividen dan bonus ASB) yang masih ada selepas ditolak jumlah pembayaran semula pembiayaan.

3. Perolehan Selepas Penyerahan Semula Sijil Pembiayaan Pelaburan ASB

Bagi situasi ini, pelabur menggunakan kaedah pembiayaan pelaburan ASB dan dalam tempoh tertentu membuat penebusan sijil (surrender) dan menyelesaikan bayaran baki pembiayaan bank.

Di sini terdapat dua situasi dan formula taksiran zakat:

a) Penyerahan semula sijil pelaburan lebih awal sebelum tamat tempoh pembiayaan

[Lebihan tunai selepas penyerahan sijil pelaburan + nilai dividen tahun semasa ASB] x 2.5%

b) Penyerahan semula sijil pelaburan pada tahun akhir pembiayaan atau selepas tamat tempoh pembiayaan

[Nilai penyerahan sijil pada tahun akhir pembiayaan atau selepas tamat tempoh pembiayaan + nilai dividen tahun semasa ASB] x 2.5%

Rebat Zakat

Antara manfaat pembayar zakat adalah nilai bayaran zakat yang dibuat tersebut mendapat potongan dan pengurangan cukai bagi tahun taksiran semasa.

Pembayar zakat diingatkan agar menyimpan semua bukti pembayaran zakat, samada resit atau penyata zakat untuk dikemukakan kepada LHDN sekiranya diminta.

Bagaimanapun, untuk menuntut rebat ini, pembayar zakat mestilah membayar zakat dalam tahun taksiran semasa dan membayarnya dengan pihak berkuasa agama yang dibenarkan untuk layak mendapat potongan cukai.

CTA Button-BlueYellow-BM