Kadar Faedah dan Kesannya Kepada Kewangan Anda
Setiap kali ingin meminjam, tidak kiralah sama ada untuk membeli kereta, rumah, pinjaman peribadi, kad kredit atau apa saja kemudahan lain yang berbentuk pinjaman, perkara pertama yang sepatutnya kita ambil tahu ialah kadar faedah yang dikenakan.
Ini kerana kadar faedah menentukan jumlah sebenar keseluruhan pinjaman yang perlu dibayar berdasarkan tempoh pinjaman yang dipilih. Kadar faedah dan tempoh pinjaman kemudiannya akan menentukan ansuran bulanan yang perlu dibayar.
Sebagai contoh, katakan anda ingin membeli kereta berharga RM100,000. Sebelum membuat sebarang keputusan, anda sepatutnya mengambiltahu berapa ansuran bulanan dan jumlah sebenar pinjaman yang perlu anda tanggung.
Katakan anda membayar pendahuluan 10% daripada harga kereta, dikenakan kadar faedah 3% dan meminjam untuk 9 tahun, jumlah ansuran bulanan yang perlu dibayar ialah RM1,058.33 dan jumlah pinjaman keseluruhan ialah RM114,300 (Gunakan Kalkulator Pinjaman Kereta untuk membuat kiraan).
Bagaimanapun, jika anda dikenakan kadar faedah 5%, jumlah ansuran bulanan perlu dibayar meningkat kepada RM1,208 manakala jumlah keseluruhan pinjaman meningkat kepada RM130,500.
Perbezaan 2% dalam kadar faedah menyebabkan jumlah pinjaman anda bertambah sebanyak RM16,200 manakala ansuran bulanan meningkat RM150 setiap bulan.
Lebih tinggi kadar faedah, maka lebih tinggilah kos keseluruhan pinjaman yang perlu ditanggung, oleh itu sebagai pengguna anda perlulah bijak membuat perbandingan untuk mendapatkan pinjaman terbaik untuk mengoptimumkan nilai wang anda.
Tahukah anda, sekiranya perbezaan RM150 dalam ansuran bulanan berkenaan dilaburkan dalam pelaburan yang memberi pulangan purata tahunan 5% setahun selama 9 tahun, anda boleh mengumpul tabungan sebanyak RM13,587 sekiranya modal dan dividen tidak dikeluarkan sepanjang tempoh pelaburan.
Kesan Kadar Faedah Kepada Pinjaman Dan Pelaburan
Pinjaman
Pemberi pinjaman seperti bank akan mengenakan caj faedah terhadap pinjaman yang diberikan. Kadar faedah ini sebearnya merupakan kos meminjam yang mana kadar faedah yang tinggi akan menyebabkan pinjaman lebih mahal manakala kadar faedah rendah menjadikan pinjaman lebih mampu milik.
Terdapat 2 jenis kadar faedah yang dikenakan iaitu:
1. Faedah tetap : Kadar tetap sepanjang tempoh pinjaman
2. Faedah berubah : Kadar berubah berdasarkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang ditetapkan Bank Negara.
Simpanan / Pelaburan
1. Penyimpan
Apabila anda menyimpan duit dalam Akaun Simpanan, bank akan membayar faedah kerana membenarkan mereka menggunakan wang anda. Namun begitu kadar faedah yang diberikan sangat kecil dan mungkin langsung tidak memberi kesan kepada wang yang disimpan, lebih-lebih lagi jika wang sering dikeluarkan.
2. Pelabur
Kadar faedah juga memberi kesan kepada pelaburan seperti bon dan deposit tetap bank. Sebagai contoh, jika anda membeli bon, anda sebenarnya telah meminjamkan wang kepada pengeluar bon dan sebagai pulangan, anda akan menerima faedah.
Dalam pelaburan, kadar faedah sering dirujuk sebagai pulangan atau dividen yang mana pelabur menerima keuntungan daripada pelaburan mereka. Untuk pelaburan berisiko rendah, kadar pulangan mungkin sekitar 2-3% manakala untuk pelaburan berisiko tinggi, ia mungkin memberi pulangan antara 5-7%, bergantung kepada persekitaran ekonomi semasa.
Pertimbangan Pinjaman vs Pelaburan
Kita ambil contoh mudah untuk menerangkan bagaimana anda boleh mengurus kewangan dengan lebih baik dengan memahami kesan kadar faedah kepada kewangan anda.
Pinjaman
Sebagai contoh, Kad Kredit mengenakan caj faedah 18% setahun dan 1.5% sebulan. Ini bermakna jika anda membeli menggunakan kad kredit dan tidak membayar dalam tempoh bebas faedah, anda akan dikenakan caj faedah 18% untuk barangan yang dibeli.
Katakan anda membeli beg tangan berjenama berharga RM5,000 dan hanya membayar 5% kadar minimum untuk memastikan kad kredit kekal aktif. Hutang tertunggak daripada pembelian beg ini akan dikenakan faedah terkompaun. Justeru sekiranya anda hanya membayar 5% setiap bulan, anda memerlukan 69 bulan untuk melangsaikannya dan anda akan membayar faedah keseluruhan sebanyak RM1,875. Ini menjadikan harga sebenar beg berkenaan ialah RM6,875 termasuk faedah.
Apabila anda membeli barangan menggunakan kemudahan pinjaman dengan kadar faedah tinggi, anda sebenarnya membayar harga yang jauh lebih tinggi berbanding harga asal.
Oleh itu, apabila menggunakan sebarang kemudahan berbentuk pinjaman, anda perlu menilai kadar faedah yang dikenakan. Sebarang kesilapan dalam membuat penilaian bukan saja akan menyebabkan anda menanggung beban kewangan yang tinggi, tetapi juga mengikat aliran tunai dalam hutang yang membebankan.
Pelaburan
Bagi mengelak menggunakan pinjaman untuk membeli barangan yang diidamkan, anda digalakkan untuk melabur. Sebagai contoh, anda boleh melabur RM200 setiap bulan dalam unit amanah yang memberi pulangan purata 5% setahun selama 2 tahun untuk mengumpul tabungan berjumlah RM5,052.00 dengan syarat modal pelaburan dan dividen tidak dikeluarkan sepanjang tempoh pelaburan.
Dengan modal pelaburan sebanyak RM4,800, anda menerima pulangan sebanyak RM252, berbanding kadar faedah RM1,875 yang perlu anda bayar sekiranya menggunakan kad kredit yang mengenakan caj faedah 18% setahun.
Bezanya, anda berjaya mengumpul RM5,000 dalam 2 tahun, sedangkan anda memerlukan kira-kira 5 tahun untuk melangsaikan hutang kad kredit berkenaan.
Kepentingan Memahami Kadar Faedah
Memahami kadar faedah adalah penting untuk mengurus kewangan peribadi, justeru membuat keputusan untuk mengambil pinjaman perlu dilakukan dengan maklumat, pertimbangan dan panduan yang betul supaya anda tidak terbeban dengan kos pinjaman yang tinggi.
Paling penting, apabila membuat keputusan mengambil pinjaman, pastikan anda membuat perbandingan dari segi kadar faedah yang dikenakan dan tempoh pembiayaan untuk menentukan jumlah ansuran bulanan yang perlu dibayar.
Ada kalanya, mengelak daripada meminjam sebenarnya adalah pilihan terbaik kerana ia memberi anda lebih fleksibiliti dalam pengurusan kewangan memandnagkan wang anda tidak terikat dengan komitmen bulanan yang perlu dilangsaikan.
Gunakan aplikasi kalkulator di ASNB Academy untuk membantu anda mengira perbezaan antara pelaburan dan pinjaman untuk mengoptimumkan wang anda.