Berapa perlu anda labur untuk miliki rumah idaman?

Insurans/Takaful - Adakah Kita Memerlukannya?

car-insurance
ASNB Logo
ASNB Academy

4 minit masa membaca

Hidup tidaklah seindah yang dibayangkan. Sebanyak mana pun kita merancang, ada sahaja kejadian luar kawalan yang boleh berlaku dan menjejaskan perancangan kita.

Kita selalu berasa kecewa apabila berlakunya perkara luar dugaan ini kerana ia seringkali menjejaskan kedudukan kewangan kita. Malahan keadaan menjadi lebih sukar jika ia menjejaskan keupayaan kita untuk menikmati kehidupan.

Namun begitu, tahukah anda kita sebenarnya boleh melindungi diri dan keluarga daripada menanggung beban kewangan berlebihan sekiranya berlaku perkara luar dugaan?

Salah satu caranya ialah dengan menyediakan pelan perlindungan risiko menerusi langganan insurans/Takaful.

Pelan perlindungan risiko boleh membantu kita :

1. Mengurangkan Risiko Kerugian

Kehidupan penuh dengan ketidakpastian dan kejadian yang tidak dijangka boleh berlaku pada bila-bila masa dan menyebabkan kita menanggung kerugian.

Insurans dan takaful boleh membantu mengurangkan beban kewangan akibat perkara luar dugaan menerusi pampasan kewangan yang tersedia berdasarkan polisi yang kita langgan.

2. Perlindungan Aset

Insurans/Takaful juga boleh melindungi aset seperti kereta, rumah dan barangan peribadi menerusi pampasan sekiranya berlaku kemalangan atau kecurian. Cuba bayangkan apa akan berlaku jika anda terlibat dalam kemalangan dan tidak mempunyai insurans?

Tidak dapat tidak, anda perlu mengeluarkan wang tabungan untuk membaiki kereta berkenaan kerana anda tidak mempunyai insurans untuk membuat tuntutan.

Apabila ini berlaku, jumlah tabungan anda akan berkurang atau jika anda tidak bernasib baik, tabungan anda mungkin terus habis.

Dengan adanya insurans/takaful, pampasan yang diberikan akan menampung kos untuk membaiki kenderaan dan anda boleh kembali kepada situasi seperti sedia kala tanpa mengusik tabungan.

3. Kos Penjagaan Kesihatan

Kos rawatan boleh menjadi besar terutamanya jika anda cedera parah atau didiagnosis dengan penyakit seperti barah.

Kadangkala, penyakit atau kecederaan ini pula memerlukan masa yang panjang untuk sembuh. Sepanjang tempoh itu, anda mungkin tidak dapat bekerja atau lebih teruk lagi, anda mungkin kehilangan pekerjaan.

Insurans/Takaful perubatan akan membantu anda mempunyai akses kepada rawatan tanpa menggunakan atau mengabiskan wang dalam tabungan.

4. Penggantian Pendapatan

Insurans hayat akan memberi pampasan kepada waris sekiranya penyumbang utama kewangan keluarga meninggal atau hilang upaya.

Dengan adanya insurans ini, pasangan dan waris anda akan dapat meneruskan kehidupan dengan selesa sementara mereka membina semula kehidupan.

 5. Kelangsungan Perniagaan

Insurans dan takaful juga boleh membantu peniaga melindungi perniagaan daripada kerugian akibat perkara seperti kematian pemilik secara tiba-tiba atau kecurian produk.

Pelan perlindungan risiko yang baik akan memberi ketenangan fikiran dan membolehkan kita menumpukan perhatian kepada kehidupan dan usaha untuk mencapai matlamat kewangan tanpa berasa bimbang.

Walaubagaimanapun, elakkan daripada mengambil perlindungan yang berlebihan kerana ia hanya membazirkan wang.

Contohnya, untuk perlindungan am seperti rumah dan kereta, satu polisi insurans sudah memadai kerana kita hanya boleh membuat tuntutan daripada satu syarikat insurans sahaja.

Kesimpulannya, insuran/Takaful merupakan komponen penting dalam perancangan kewangan kerana ia dapat mengurangkan beban kewangan sekiranya berlaku perkara luar dugaan.

Pelindungan ini sekaligus membolehkan kita dan insan tersayang meneruskan kehidupan seperti biasa sementara keadaan pulih seperti sediakala.

Ia sama seperti satu jaringan keselamatan yang melindungi kita daripada menanggung beban kewangan keterlaluan jika berlaku perkara luar dugaan, dan pada masa yang sama membolehkan kita mencapai matlamat kewangan jangka panjang.

CTA Button-Blue Gradient