Ingin kira penjimatan jika anda kurangkan secawan kopi seminggu?

Insurans/Takaful : Hayat Vs Berkaitan Pelaburan

Suzardi Maulan
Suzardi Maulan
Suzardi Maulan

7 minit masa membaca

Ramai masih melihat insurans hayat atau takaful keluarga sekadar satu lagi perbelanjaan budi bicara. Maksudnya, kalau ada ok, jika tidak ada pun tidak mengapa.

Namun, pandemik COVID-19 yang mencatatkan lebih 35,000 kematian dalam masa yang singkat sepatutnya menjadi asbab mula mendapatkannya.

Sesebuah keluarga dapat hilang punca pendapatan yang besar sekiranya salah satu pasangan meninggal dunia secara tiba-tiba. Seterusnya menyebabkan kualiti hidup keluarga terjejas teruk. Dilaporkan 46% rakyat Malaysia tidak mempunyai sebarang perlindungan.

Insurans atau takaful adalah seumpama payung. Anda perlu mendapatkannya sebelum hujan. Jika hujan sudah turun, waktu itu sudah terlambat.

 Apa itu Insurans Hayat / Takaful Keluarga?

Secara mudah, ia adalah perkongsian risiko. Antara sekumpulan peserta dengan syarikat insurans atau pengendali takaful.

 Apabila berlaku kematian kepada orang yang dilindungi atau peserta maka sejumlah manfaat tunai akan diberi kepada waris atau penerima manfaat.

Bagi membolehkan manfaat tunai itu dituntut, maka bayaran premium atau sumbangan mestilah dibuat kepada syarikat insurans atau pengendali takaful mengikut jadual yang dipersetujui.

insurans

Kenapa Perlu Kepada Insurans Hayat / Takaful Keluarga?

Individu yang mengambil insurans hayat atau takaful keluarga mahu melindungi tanggungan mereka dari kerugian kewangan apabila mereka meninggal dunia kelak. Tanggungan itu barangkali pasangan atau anak-anak mereka. Malah, ibu bapa termasuk syarikat juga dapat menjadi penerima manfaat.

Kebiasaannya manfaat tunai itu digunakan untuk:    

  • Melangsaikan baki hutang rumah dan hutang piutang lainnya selepas kematian.
  • Membayar baki kos perubatan dan pengkebumian.
  • Derma atau wakaf selepas kematian.
  • Sebagai penggantian pendapatan untuk kegunaan waris.
  • Hadiah atau hibah kepada pasangan bagi tujuan kelangsungan hidup.
  • Hadiah atau hibah kepada anak untuk tujuan pendidikan.
  • Dan apa-apa lagi manfaat lain yang dirasakan sesuai.

Insurans atau Takaful Bertempoh

Juga dikenali sebagai insurans atau takaful term. Ini merupakan insurans hayat atau takaful keluarga yang paling asas.

Nilai perlindungan adalah tetap untuk tempoh waktu yang spesifik seperti 1 tahun, 5 tahun, 10 tahun dan seterusnya. Atau, tempoh perlindungan sehingga berusia 60 tahun, 70 tahun, 80 tahun dan seterusnya.

Premium atau sumbangan adalah tetap sepanjang tempoh perlindungan dan lebih rendah berbanding jenis yang lain. Manfaat selalunya terhad kepada kematian atau hilang upaya kekal menyeluruh.

Manfaat tunai hanya dibayar sekiranya pemilik polisi atau peserta meninggal dunia dalam tempoh perlindungan sahaja. Sekiranya pemilik polisi atau peserta masih hidup selepas tamat tempoh, maka tiada manfaat tunai diterima. Tiada nilai tunai atau cash value.

Ini merupakan jenis insuran hayat atau takaful keluarga yang paling mampu milik dan ‘tidak banyak songeh’. Justeru, lebih ramai patut dapat mempunyai perlindungan jika mempunyai kesedaran mengenainya.

Pelan Berkaitan Pelaburan

Juga dikenali sebagai investment-linked plan. Berbeza dengan insurans dan takaful bertempoh, pelan berkaitan pelaburan mempunyai perlindungan dan pelaburan.

Manfaat tunai adalah tetap berdasarkan nilai perlindungan manakala nilai tunai pula sekiranya ada mengikut prestasi pelaburan.

Kebiasaannya peserta menetapkan jumlah perlindungan yang dimahukan terlebih dahulu. Proses seterusnya bergantung kepada syarikat insurans atau pengendali takaful.

Ada yang perlu memilih dahulu perlindungan tambahan seperti manfaat sakit kritikal, kemasukan ke hospital, kemalangan atau pendidikan. Ada pula yang menetapkan jumlah minimum untuk bayaran premium dan sumbangan untuk memastikan pelan tersebut berdaya tahan.

Apa yang penting untuk difahami, ia dipecahkan kepada dua iaitu perlindungan dan pelaburan. Peserta sebaiknya mengambil tahu berapakah yang mereka bayar untuk dua perkara tersebut.

Oleh kerana ini merupakan pelan berkaitan pelaburan, maka profil risiko peserta dinilai supaya pelaburan dapat diuruskan dengan wajar.

investment link

Pelaburan dibuat ke dana-dana ekuiti dan berpendapatan tetap. Justeru, wujud risiko yang sama seperti pelaburan-pelaburan lain yang dibuat di luar dari pelan ini.

Pengurusan dana-dana ini adalah sama seperti pelaburan saham amanah. Ada risiko dan keuntungan tersendiri. Apa yang berlaku dalam pelan ini ialah:

i. Pemilihan dana-dana pelaburan dibuat berasaskan profil risiko

ii. Nilai pelaburan dapat naik dan turun.

Justeru, nilai pelaburan berpotensi meningkat banyak dan juga ada potensi nilai pelaburan mengalami kerugian.

Mereka yang mempunyai profil risiko yang agresif berpotensi mendapat untung (atau rugi) yang lebih besar. Mereka yang mempunyai profil risiko yang kurang agresif pula sebaliknya. Keuntungan atau kerugian bergantung sepenuhnya kepada prestasi pasaran semasa.

Ilustrasi produk atau jualan adalah hipotetikal sahaja. Bukan janji. Bukanlah satu jaminan pelaburan itu pasti untung. Ilustrasi dibuat untuk menunjukkan senario-senario yang berkemungkinan dapat terjadi sahaja.

Oleh sebab itu apabila berlaku kematian, waris atau penerima manfaat mendapat manfaat tunai dan nilai tunai sekiranya ada. Manfaat tunai adalah tetap tetapi nilai tunai tidak tetap.

Kebaikan nilai tunai ialah sekiranya pemegang polisi atau peserta tidak dapat membayar premium atau sumbangan untuk satu tempoh waktu, maka ia dapat ditolak dari situ.

Ini dapat memanjangkan tempoh perlindungan. Jika nilai tunai telah habis, maka polisi pun terbatal dan tidak ada lagi perlindungan dapat diberikan.

Apa Yang Sesuai?

Bergantung.

Pelbagai faktor perlu dinilai terlebih dahulu seperti aliran tunai, aset & hutang sedia ada. Faktor lain seperti polisi insurans dan takaful lain sedia ada seperti yang diambil semasa membeli kereta dan rumah.

Apa yang penting ialah mempunyai perlindungan. Jumlahnya kecil dahulu pun tidak mengapa kerana setelah situasi kewangan menjadi semakin baik di kemudian hari, dapat ambil yang baru agar mempunyai nilai perlindungan yang cukup. Dari tidak ada langsung sehingga menjejaskan kualiti hidup tanggungan yang disayangi.

Sesungguhnya polisi insurans hayat atau takaful keluarga yang baik ialah polisi yang masih berkuatkuasa iaitu premium atau sumbangannya tidak miss bayar!

CTA Button-BlueYellow-BM