Berapa perlu anda labur untuk miliki rumah idaman?

KWSP i-Lindung : Wajarkah Diambil?

Anuar
Anuar-Shuib
Anuar Shuib

7 minit masa membaca

Pengenalan 

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah memainkan peranan yang besar dikalangan pekerja didalam sektor swasta sama ada golongan bawahan sehinggalah golongan atasan. Tidak terkecuali peranan yang amat besar yang dimainkan oleh KWSP ketika seluruh dunia dilanda wabak Covid-19 yang banyak membantu kehidupan rakyat Malaysia dalam meneruskan kehidupan.

Ramai yang tidak dapat meneruskan pekerjaan serta ditamatkan perkhidmatan dikala syarikat yang menaungi mereka sudah tidak dapat bertahan lagi akibat serangan Covid-19, menyebabkan ramai yang tenggelam punca serta kacau-bilau. Kebenaran diberikan oleh kerajaan untuk pencarum KWSP mengeluarkan simpanan dari akaun KWSP masing-masing bagi meneruskan kehidupan dalam tempoh serta jumlah tertentu banyak membantu seolah-olah memberikan nafas baru disaat pencarum KWSP dalam kelemasan akibat ketiadaan sumber pendapatan ketika Covid-19. 

Kini serangan Covid-19 kekal sebagai sejarah yang telah meragut lebih tujuh (7) juta nyawa diseluruh dunia menurut catatan wikipedia. Kesan dari Covid-19 menyebabkan ramai yang mengalami pengurangan dari jumlah pendapatan selepas serangan Covid-19 terpaksa berkerja dan berjimat dengan apa yang ada. Yang telah ditamatkan pekerjaan semasa Covid-19 kini mula mendapat pekerjaan mungkin dengan pendapat yang lebih rendah dari semasa sebelum Covid-19 melanda terpaksa bersyukur dengan rezeki yang ada.  

Perancangan Kewangan Peribadi 

Di Malaysia lebih dari seratus lima puluh ribu (150,000) orang diberhentikan kerja di Malaysia semasa Covid-19 menurut laporan di Parlimen Malaysia yang diterbitkan oleh Malaysiakini pada 23hb September 2021. Kekangan kewangan memberikan kesan terhadap perancangan kewangan peribadi dan keluarga rakyat Malaysia.  

Salah satu daripada bahagian penting dalam perancangan peribadi dan keluarga adalah perlindungan insuran/takaful. Ramai yang mengambil jalan mudah untuk tidak meneruskan perlindungan insuran/takaful sedia ada mereka memandangkan tekanan kewangan yang dihadapi akibat dari wabak Covid-19. Ini menyebabkan perancangan peribadi mereka menjadi pincang atau tidak lengkap akibat ketiadaan unsur yang paling penting iaitu perlindungan insuran/takaful. 

Langkah KWSP melancarkan i-lindung pada bulan Julai 2022 adalah satu langkah yang bertepatan dengan keperluan perancangan kewangan peribadi dan keluarga.

kwsp lindung

Ia memberikan peluang kepada mereka yang mengalami masalah kewangan akibat wabak Covid-19 kembali mendapatkan perlindungan insuran/takaful tanpa perlu mengeluarkan bayaran tunai kerana i-lindung menawarkan pelbagai produk insuran dan takaful yang disediakan oleh pelbagai syarikat insuran dan takaful di Malaysia secara dalam talian sahaja.

Pencarum KWSP hanya perlu mengakses laman sesawang i-akaun KWSP dari mana-mana sahaja tanpa perlu hadir kemana-mana cawangan KWSP. Ianya sangat mudah kerana perlindungan yang ditawarkan oleh pelbagai syarikat insuran/takaful ini memberikan peluang pencarum mendapatkan perlindungan kematian dan hilang upaya kekal dari RM5,000 sehingga RM200,000 tanpa perlunya pemeriksaan perubatan manakala perlindungan penyakit kritikal pula ditawarkan sehingga RM50,000.

Ada diantara syarikat insuran/takaful yang menawarkan perlindungan sehingga umur 70 (tertakluk kepada syarikat insuran/takaful masing-masing). Tawaran sebut harga juga diberikan dengan kadar segera secara dalam talian memudahkan pencarum KWSP untuk membuat perbandingan sekaligus membuat keputusan berkenaan pilihan perlindungan yang ditawarkan oleh syarikat insuran/takaful, manakah yang menepati keperluan mereka. 

perlindungan-insurans-takaful-i-lindung

Semua perlindungan diberikan dengan harga tawaran premium/sumbangan yang amat rendah sekali. Ini memberikan peluang kepada semua pencarum KWSP untuk mempunyai perlindungan insuran/takaful hanya dengan melayari laman sesawang i-akaun KWSP. Bayaran/sumbangan pula adalah dalam bentuk tahunan yang terus dibayar menggunakan akaun 2 KWSP pencarum.

Bayaran/sumbangan untuk setahun ini banyak membantu kerana ramai juga dari kalangan masyarakat Malaysia yang menggunakan caruman secara bulanan menghadapi masalah menguruskan bayaran/sumbangan bulanan kerana kesibukan kerja seharian. Ini boleh menyebabkan mereka terlupa dan menyedari bahawa mereka berada dalam keadaan tidak dilindungi akibat tiada bayaran/sumbangan dilakukan pada ketika tertentu kerana masa sebulan adalah terlalu singkat berlalu. 

Perlindungan yang diberikan juga adalah untuk setahun, ini memudahkan setiap pencarum KWSP untuk melakukan perancangan kewangan mereka sama ada mahu meneruskan atau tidak ditahun berikutnya. Selain dari i-lindung membantu mereka yang telah mempunyai polisi/sijil insuran/takaful, ianya juga membantu memperkenalkan mereka yang belum mempunyai apa-apa perlindungan langsung untuk mencuba mendapatkan perlindungan insuran/takaful, ini membantu tahap penerimaan perlindungan insuran/takaful dikalangan ahli masyarakat.

Apabila ramai ahli masyarakat mempunyai perlindungan insuran/takaful, ianya dapat mengurangkan beban ahli keluarga mereka yang ditimpa malapetaka kematian, hilang upaya kekal ataupun penyakit kerana perlindungan insuran/takaful dari i-lindung ini dapat membantu mengurangkan beban kos perubatan serta lain-lain kos akibat adanya pembiayaan dari i-lindung. 

Secara umumnya boleh dikatakan i-lindung banyak membantu setiap individu rakyat Malaysia yang mencarum dalam KWSP untuk melengkapkan salah satu tunjang yang paling penting dalam perancangan kewangan peribadi dan keluarga iaitu perancangan perlindungan insuran/takaful.  

Ini membantu mencapai matlamat kerajaan untuk memastikan lebih ramai dari kalangan rakyat Malaysia untuk mempunyai perancangan kewangan peribadi dan keluarga yang lengkap lantas mengurangkan beban kerajaan dalam membantu rakyat apabila mereka ditimpa malapetaka kematian, hilang upaya kekal ataupun penyakit kritikal. 

i-lindung

Kesimpulan 

Kerajaan ingin memastikan setiap dari rakyat Malaysia mempunyai perancangan kewangan peribadi yang mantap bagi memastikan beban kerajaan dapat dikurangkan dalam memastikan kebajikan setiap ahli masyarakat.

Perancangan perlindungan insuran/takaful yang merupakan salah satu daripada tunjang utama dalam perancangan kewangan peribadi, jadi dengan adanya i-lindung lebih ramai rakyat Malaysia akan mampu untuk mempunyai perancangan perlindungan insuran/takaful sekaligus melengkapkan perancangan kewangan peribadi dan keluarga mereka. 

Dengan tercapainya penambahan bilangan mereka yang mempunyai perancangan perlindungan insuran/takaful ini bermaksud bertambah juga bilangan rakyat Malaysia yang mampu melengkapkan perancangan kewangan peribadi dan keluarga mereka dengan ini maka lebih mudah bagi pihak kerajaan untuk mencapai peningkatan jumlah rakyat Malaysia yang mencapai hasrat kerajaan tersebut.

Akhir kata boleh saya simpulkan bahawa i-lindung bukan sekadar wajar diambil malah menjadi keperluan kepada pencarum KWSP memandangkan ramai yang telah pun menggunakan wang simpanan KWSP mereka menyebabkan risiko masalah kewangan menimpa diri mereka serta keluarga mereka sekiranya terjadi malapetaka seperti kematian, hilang upaya kekal ataupun penyakit kritikal dalam keadaan kita semua baru sahaja keluar dari kemelut kewangan akibat dari wabak Covid-19. 

Maklumat lanjut KWSP i-Lindung boleh dilayari di laman sesawang KWSP.